Kematian George Floyd Dan Penipuan Demokrasi Amerika Syarikat.

Sudah lebih seminggu dunia melihat porak peranda demokrasi Amerika Syarikat. Sudah lebih seminggu juga dunia melihat pergolakan perkauman dan rusuhan yang berlaku dilebih 140 buah bandar di seluruh Amerika Syarikat.

Detik ini juga menjadi sejarah kerana ia adalah insiden terburuk yang mencetuskan tunjuk perasaan dan rusuhan yang membabitkan isu perkauman sejak dari zaman Martin Luther King Jr. pada tahun 1960an dahulu yang mencetuskan kebangkitan kaum kulit hitam di Amerika Syarikat.

Semuanya berlaku gara - gara tersebarnya video dimedia sosial tentang keganasan empat orang anggota polis dari bandar Minneapolis yang menahan George Floyd dan rakannya setelah mendapat panggilan kecemasan di talian 911 daripada sebuah kedai serbaneka yang menuduh George Floyd membeli sebungkus rokok menggunakan wang palsu USD20.00.

Setelah menahan George Floyd, empat anggota polis tersebut menekan tubuh George Floyd ke permukaan jalan raya sambil salah seorang daripadanya yang bernama Derek Chauvin menekan lututnya ke leher George Floyd dalam tempoh yang lama hingga mengakibatkan kematiannya.

Kematian George Floyd telah mengakibatkan kemarahan kaum kulit hitam Amerika Syarikat yang selama ini memperjuangkan hak mereka yang ditindas dan diperlakukan sesuka hati oleh pihak polis di Amerika Syarikat terutamanya oleh kaum kulit putih.

Lebih mengeruhkan keadaan, setelah beberapa hari kematian George Floyd, tiada satu pun tindakan diambil ke atas anggota polis tersebut melainkan buang kerja. Namun setelah kebangkitan berlaku di seluruh pelusuk Amerika, barulah pihak berkuasa menahan Darek Chauvin diatas pertuduhan membunuh kelas ketiga.

Penahanan dan pertuduhan jenayah tersebut tidak memuaskan hati ramai pihak, maka tunjuk perasaan dan rusuhan menjadi lebih buruk hingga terpaksa ditenangkan oleh keluarga George Floyd. Akhirnya saat penulisan ini, baki anggota polis yang terbabit ditahan dan menghadapi tuduhan jenayah bersubahat dan pertuduhan ke atas Derek Chauvin diubah kepada membunuh kelas kedua.

Amerika Syarikat Tidak Layak Bercakap Soal Keadilan dan Demokrasi.

Selama ini dunia termasuk Malaysia dihidangkan dengan gambaran bahawa Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang memperjuangkan kebebasan, keadilan dan penuh skala demokrasinya. Jentera propaganda Amerika Syarikat seperti industri hiburan, akhbar berpengaruh dan kempen - kempennya menggambarkan bahawa Amerika Syarikat adalah peneraju kepada demokrasi dunia.

Sejak perang dunia pertama, kempen - kempen dan propaganda tersebut telah mula memperdaya dunia dan umat manusia. Demokrasi ciptaan Amerika Syarikat digambarkan sebagai pembawa kemajuan, keadilan dan kemakmuran dunia. Suntikan propaganda dan kempen Amerika Syarikat telah berjaya memperdaya dunia sehingga ke hari ini.

Maka majoriti negara di dunia telah mengikut jejak langkah dan saranan Amerika Syarikat untuk berubah selaras dengan peredaran zaman. Dunia Islam ketika itu turut terpedaya dengan tipudaya licik Amerika Syarikat. Namun akhirnya jelas hari ini, demokrasi tajaan Amerika Syarikat hanyalah untuk mengaburi niat sebenar mereka iaitu untuk menguasai dunia.

Dunia makin sedar saat ini bahawa tujuan Amerika Syarikat menjaja demokrasi ke serata dunia adalah untuk mendominasi dunia. Tidak dinafikan jika diteliti, terdapat banyak aspek dalam demokrasi membawa kebaikan kepada dunia dan umat manusia namun tujuan asalnya buat Amerika Syarikat sangat berbeza dengan konsep hakiki demokrasi.

Berakhirnya perang dunia kedua menyaksikan demokrasi mula menyelaputi ke seluruh isi dunia. Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu ( PBB ) ditubuhkan selepas itu disampaing beberapa agensi utama dunia seperti WTO, Bank Dunia, WHO dan IMF, semuanya untuk menjadikan keadilan dan demokrasi teras keamanan dan keadilan dunia.

Namun disebalik semua itu, kesemua badan dan agensi berkenaan dikawal oleh Amerika Syarikat dan sekutunya seperti British untuk meletakkan dunia dibawah telunjuk dan kekuasaan mereka. Seperti yang kita lihat saat ini, agenda asal keamanan dan keadilan dunia tidak berjaya dikotakan. Badan dan agensi - agensi tersebut digunakan sewenang - wenangnya untuk kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Dunia hari ini telah menjadi medan pertembungan untuk memperluaskan pengaruh dan kekuasaan. Yang lemah dan miskin akan dijajah, yang kuat dan kaya akan terus menindas dan menguasai dunia. Walau dikecam dan dijauhi, Amerika Syarikat masih lagi dijulang oleh majoriti negara dunia sebagai ketua mahupun peneraju kepada demokrasi dunia.

Apa yang berlaku ke atas George Floyd baru - baru ini telah membuka pekung yang selama ini cuba disembunyikan oleh Amerika Syarikat kepada dunia sejak sekian lama. Amerika Syarikat sebenarnya bukan juara demokrasi dunia tetapi adalah perosak kepada demokrasi dunia. Keadilan dan kebebasan yang diperjuangan hanya tipudaya untuk mengaburi sikap sebenarnya dimata dunia.

George Floyd bukanlah kisah pertama ketidakadilan dan rasis perkauman yang berlaku di Amerika Syarikat. Februari 2020 sebelum George Floyd terbunuh, Ahmaud Arbery telah ditembak oleh kaum kulit putih ketika beriadah di kawasan kejiranannya. Mac 2020, Breonna Taylor, juruteknik wad kecemasan telah ditembak berulang kali setelah pihak polis merempuh masuk rumahnya dengan alasan yang cukup tidak kukuh.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak kejadian sebegini yang menyasarkan kaum minoriti terutamanya kaum kulit hitam sebagai mangsa oleh kaum kulit putih di Amerika Syarikat termasuklah orang Islam. Selepas kebangkitan kaum minoriti terutamanya kaum kulit hitam ketika era Martin Luther King Jr. pada tahun 1960an, telah banyak berlaku “ civil discourse “ untuk merapatkan jurang antara kaum di Amerika Syarikat.

Harapan tinggi diletakkan ketika itu untuk memulihkan kembali keyakinan dan kepercayaan antara kaum terutamanya kepercayaan dan keyakinan kaum kulit putih terhadap kaum lain. Hakikatnya dari saat tersebut hingga ke hari ini, hanya terdapat sedikit sahaja perubahan yang berlaku sebenarnya. Ketenangan yang dipaparkan selama ini hanyalah bersifat sementara dan memendam perasaan.

Pasca peristiwa 9/11 menyaksikan orang Islam menjadi sasaran di Amerika Syarikat. Malah baru - baru ini umat Islam dari beberapa negara Islam telah disekat dan dihalang untuk menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat akibat sikap perkauman dan prejudis pentadbiran Donald Trump terhadap umat Islam.

Saat menularnya wabak pendemik Covid-19 menyaksikan orang Asia terutamanya kaum Cina menjadi sasaran di Amerika Syarikat. Kaum pribumi di Amerika Syarikat iaitu kaum Red Indian pula telah sekian lama menjadi sasaran, dimanipulasi dan dirampas tanah - tanah mereka untuk kepentingan pihak tertentu.

Namun yang menjadi sasaran utama ialah kaum kulit hitam, yang sebenarnya telah bermula sejak sekian lama iaitu di zaman perhambaan pada kurun ke 16 dan 17 dahulu. Walaupun pelbagai undang - undang telah dibuat untuk menghilangkan kesan perkauman antara kaum kulit putih dan kulit hitam, ianya tetap berlaku sehingga ke hari ini.

Era moden ini, kaum kulit hitam bersolidariti disebalik pertubuhan Black Lives Matters yang memperjuangkan nasib kaum kulit hitam. Nasib kaum kulit hitam dikatakan menjadi lebih buruk ketika Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat akibat polisi dan sikapnya yang memberikan kelebihan kepada kaum kulit putih dan menindas kaum kulit hitam.

Benar, Donald Trump boleh dikatakan seorang rasis dan menyokong white nationalist yang membenci bangsa, agama dan kaum lain. Tindakan dan polisi dalam negara Donald Trump banyak menaikkan kemarahan kaum kulit hitam yang dilihat menindas mereka. Namun sebenarnya tidak kira siapa Presiden Amerika Syarikat, prejudis dan kebencian terhadap kaum kulit hitam malah kaum lain tidak pernah berubah.

Salah seorang yang bertanding untuk menjadi calon Presiden bagi parti Demokrat, Micheal Bloomberg dikiritik hebat kerana ketika menjadi Datuk Bandar New York dahulu, beliau memperkenalkan polisi “ stop and frisk “ untuk Polis New York yang menyasarkan kaum kulit hitam. Seorang lagi calon, Senator Amy Klobuchar turut dikiritk hebat kerana ketika menjadi pendakwaraya di Minnesota dahulu, beliau dikatakan mendakwa beberapa orang kulit hitam dalam kes kendaliannya tanpa bukti dan alasan yang kukuh.

Jika dilihat dari beberapa statistik atau dapatan yang diperolehi di Amerika Syarikat, jelas kaum kulit hitam senantiasa menjadi mangsa akibat sikap perkauman dan prejudis kaum kulit putih di Amerika Syarikat. Teratas dalam dapatan umum di Amerika Syarikat ialah prejudis oleh pihak berkuasa terutamanya pihak polis terhadap kaum kulit hitam dengan hanya 14 peratus kaum kulit hitam benar - benar yakin dengan pihak polis.

Di penjara Amerika Syarikat, hampir 40 peratus penghuninya adalah kaum kulit hitam walaupun mereka hanya mewakili 13 peratus daripada rakyat Amerika Syarikat. Kadar pengganguran dikalangan kaum kulit hitam adalah tertinggi dikalangan semua kaum iaitu sebanyak 7.7 peratus. Kadar pendapatan perkapita bagi setiap isi rumah kaum kulit hitam adalah terendah di Amerika Syarikat iaitu sebanyak USD 40,100.

Daripada jumlah tenaga kerja di Amerika Syarikat, hanya 12 peratus sahaja dari jumlah tenaga kerja di Amerika Syarikat terdiri daripada kaum kulit hitam dan hanya 34 peratus kaum kulit hitam yang mempunyai simpanan persaraan, yang terendah berbanding kaum - kaum lain.

Dari sudut politik dan pentadbiran negara pula, daripada 100 kerusi Dewan Senat Amerika Syarikat, hanya dua daripadanya diwakili oleh kaum kulit hitam iaitu Senator Cory Booker dan Senator Kamala Harris. Daripada 435 kerusi di Dewan Kongres, hanya 44 sahaja yang diwakili oleh kaum kulit hitam seperti Maxine Waters dan Ayanna Pressley

Semua ini menunjukkan bahawa kaum kulit hitam cukup terpinggir, ketinggalan dan teraniaya di Amerika Syarikat dalam pelbagai sudut baik politik, ekonomi, pentadbiran, pekerjaan dan pelbagai sektor lagi. Tidak hairanlah jika mereka ini bangkit menentang ketidakadilan yang berlaku kerana sudah cukup lama terkesan dan terseksa.

Jelasnya, penindasan terhadap kaum kulit hitam oleh kaum kulit putih bukan hanya terdiri daripada beberapa aspek, malah ia boleh dikatakan hampir meliputi kesemua aspek kehidupan baik dari sudut “ social justice”, ekonomi, kehidupan mahupun kepercayaan. Hakikatnya, bukan sahaja kaum kulit hitam malah kaum - kaum lain juga turut menempuhi nasib yang sama di Amerika Syarikat termasuk orang Islam.

Namun peristiwa kebangkitan rakyat Amerika Syarikat akibat pembunuhan George Floyd kali ini menyaksikan sedikit kelainan kerana bukan sahaja kaum kulit hitam dan lain - lain kaum minoriti bangkit menyuarakan bantahan, malah ramai kaum kulit putih juga turut membantah, berarak dan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perlakuan sedemikian.

Adakah dengan peristiwa ini situasi perkauman di Amerika Syarikat akan berubah dan menjadi lebih baik ? Adakah dengan peristiwa ini juga polisi antarabangsa Amerika Syarikat juga akan berubah ? Adakah dengan peristiwa ini juga akan menyaksikan berlakunya peralihan kuasa selepas pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang akan menyaksikan Amerika Syarikat akan berubah selepas itu ?

Jawapan yang pastinya mungkin tidak sama sekali malah cukup mustahil untuk Amerika Syarikat berubah. Hakikat sebenarnya, Amerika Syarikat tidak layak menjadi peneraju demokrasi dunia akibat sikapnya bukan hanya di dunia malah terhadap rakyatnya sendiri. Acuan demokrasi Amerika Syarikat wajar ditinggalkan malah tidak salah untuk mencorak demokrasi sendiri yang benar - benar berpaksikan keadilan, keamanan dan kebebasan.

Namun sebagai umat Islam, panduan atau hukum yang terbaik adalah dari Allah SWT. Ia diciptakan bukan sahaja untuk keberkatan, keadilan dan kesaksamaan kepada umat manusia di dunia malah juga diakhirat. Jadikan panduan daripada Allah SWT sebagai pedoman dan rujukan, nescaya umat manusia tidak akan sesat dan ketinggalan.

Sejarah pernah membuktikan Islam menerajui dunia dan tiada manusia yang dizalimi, ditindas dan ketinggalan. Bukan itu sahaja malah ia mampu mencapai kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang meliputi seluruh umat manusia samada umat Islam mahupun bukan Islam. Semoga Islam bangkit demi kesejahteraan umat manusia dan kesepakatan Dunia Islam.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post