NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Chini Memilih: Hanya mandat rakyat tentukan kerajaan yang stabil - Mohammad


PEKAN: Mandat rakyat yang diperoleh menerusi pilihan raya merupakan jalan terbaik untuk menentukan kestabilan sesebuah kerajaan dengan majoriti yang selesa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pilihan raya juga berupaya memastikan
sesebuah kerajaan itu dapat menjalankan pembangunan negara tanpa sebarang ancaman.

Beliau sebelum ini mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membolehkan ketidakstabilan politik yang sedang dihadapi dalam negara dapat diurus dengan baik.

“Itu sebenarnya saya saranankan (bubar Parlimen), selepas kita (kerajaan) dan rakyat Malaysia berjaya mengekang COVID-19 ini.

“Kita fikir fikirkan supaya dapat mandat daripada rakyat, biarlah rakyat memastikan kerajaan yang benar benar mendapat mandat majoriti selesa, yang penting kerajaan boleh menumpukan sepenuh perhatian membina negara,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas mengenai desas-desus penubuhan parti politik baharu yang didakwa bakal dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain turut membariskan nama beberapa menteri dan pemimpin parti politik lain.

Penubuhan Parti Reformasi Bersatu Negara seperti yang tular di media sosial didakwa akan menggantikan kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Mohamad, sekalipun tidak perlu mempercayai khabar angin itu, namun dalam masa sama, beliau mengingatkan Ahli Parlimen agar menghormati mandat rakyat yang telah diberikan kepada mereka.

“Jangan buat sesuka hati itu dan ini, mandat rakyat perlu kita hormati. Itu sebabnya saya katakan kerajaan perlu mendapat mandat yang besar kerana kerajaan yang majoriti amat tipis sentiasa sahaja diambang ancaman," tegas beliau.

Mohamad berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui dalam kempen calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain di Chini pada Sabtu.

Mengulas mengenai Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, beliau yakin kerusi tradisi BN itu boleh dikekalkan menjelang hari pengundian pada 4 Julai ini.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/chini-memilih-hanya-mandat-rakyat-tentukan-kerajaan-yang-stabil-mohammad-248917

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo