Umat Islam di Pattani solat Jumaat pertama selepas larangan


PATTANI, 23 Ramadan 1441H, Sabtu
– Umat Islam di wilayah Pattani di selatan Thailand menunaikan solat Jumaat pertama selepas larangan berkuat kuasa pada 27 Mac lepas untuk membendung penularan pandemik COVID-19.

Sebanyak 180 buah masjid di wilayah Pattani mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Pattani (MAIP) untuk menunaikan solat Jumaat.

Yang Dipertua Majlis MAIP Wae Deramae Mat Mingchik berkata permohonan beberapa masjid untuk menunaikan solat Jumaat ditolak kerana gagal memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan Pejabat Sheikul Islam Thailand.

Antara syarat yang ditetapkan adalah semua jemaah perlu memakai pelitup muka, mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing, katanya.

"Bagi pihak masjid pula, hanya satu pintu masuk masjid dibuka untuk menjalankan saringan suhu badan terhadap semua jemaah yang masuk. Selain itu, pihak masjid perlu menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk.

"Semua jemaah perlu mengamalkan jarakan sosial 1.5 hingga 2 meter," katanya kepada Bernama sambil menambah semua jemaah yang menunaikan solat Jumaat juga perlu mendaftarkan diri.
Kanak-kanak di bawah usia 10 tahun dan mereka yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan solat di masjid, katanya.

Di Masjid Jamek Pattani, kira-kira 800 umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Pada 3 Mei lepas, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon mengumumkan bahawa umat Islam di Thailand dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Majlis Agama Islam di setiap wilayah dan imam di masjid serta surau perlu berbincang dan mendapatkan kebenaran untuk melakukan solat Jumaat, bagaimanapun aktiviti solat sunat tarawih secara berjemaah dan berbuka puasa di masjid dan surau dilarang.

Pada 8 Mei, umat Islam di Songkhla, selatan Thailand telah dibenarkan menunaikan solat Jumaat.
Wilayah yang memiliki penduduk majoriti Islam yang lain di selatan Thailand iaitu Yala dan Narathiwat masih dilarang menjalankan solat Jumaat berikutan kes COVID-19 di wilayah berkenaan masih tinggi. – Bernama
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post