AI teras utama pembangunan negara

oleh:Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin

KEHIDUPAN pulih seperti biasa di Malaysia sejak 4 Mei lalu. Di jalanan, kenderaan sudah kembali bersesak. Ramai mempertikaikan, mungkin terlalu awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Akan tetapi, bukan Malaysia sahaja yang merasai penangan pandemik Covid-2019. Britain, antara kuasa terbesar dunia, mengakui akan kerugian £1.19 trilion (RM6.35 trilion) dalam tempoh lima tahun jika penduduknya tidak segera kembali bekerja.

Ramai mencemuh tindakan kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Mereka mendakwa Malaysia mungkin tersilap langkah seperti Jepun. Kes Covid-19 mungkin kembali meningkat kerana PKPB.

Penulis lebih cenderung untuk melihat kesan Covid-19 kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) khususnya aspek perspektif perlaksanaan dan pembangunan sistem kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Penulis berpendapat sudah sampai masa pengaplikasian sistem AI dilaksanakan secara intensif dalam kehidupan seharian. Seterusnya, menuju kepada pengaktifan situasi berasaskan gubahan maklumat dan data sedia ada di seluruh dunia.

AI mampu membangun dan menggunakan sistem analitik canggih serta pantas sekali gus menjadikan data sedia ada memacu sasaran bagi menghasilkan keputusan positif.

Cuti Nuzul Quran pada Isnin lalu mengingatkan penulis tentang kehebatan al-Quran mengandungi 114 surah mencakupi lebih 6,000 ayat yang memperincikan kehidupan manusia di dunia sejak zaman Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad SAW. Kitab suci dijadikan pedoman kehidupan.

Rasulullah menerima wahyu al-Quran bermula malam 17 Ramadan pada usia 40 tahun. Al-Quran diturunkan berperingkat selama 20 tahun. Peristiwa penurunan ayat al-Quran disebut dalam Surah Al-Qadr (97:1), Al-Buruj (85:21-22), Al-Baqarah (2:185) dan Ad-Dukhaan (44:3).

ALLAH SWT menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah (2:185), “Ramadan bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, sesiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. ALLAH menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan ALLAH atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur.”

Kehebatan

Kelebihan al-Quran ialah tiada satu perkara pun yang terlepas untuk kehidupan seharian manusia. Kehebatan penyusunan data dan maklumat dalam al-Quran sumber utama inspirasi pembangunan AI.

AI mencakupi dalam sistem pengurusan termasuk operasi model dan keseluruhan masalah skala kecil serta besar menggunakan teknologi data raya, pengkomputeran awan (IoT).

Keupayaan AI dalam menganalisis banyak perkara bergantung kepada perkataan tadbir urus AI yang dimodenisasikan kepada pelbagai model aplikasi analitik bagi menentukan sama ada andaian asasnya betul atau sebaliknya atau masih benar.

Penganalisaan itu menyebabkan prasarana, teknik dan kewujudan data baharu lebih berupaya sekali gus menyebabkan ia dilaksanakan dengan lancar dan cepat. Kajian Intel International Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat menunjukkan lebih 51 peratus syarikat mula menggunakan aplikasi AI.

AI sebenarnya dapat mengukuh pembangunan maklumat data. Ia juga mengelak ketirisan maklumat. Dalam kes Covid-19, AI mampu mengesan rantaian pandemik supaya tidak merebak dengan cepat.

Penulis percaya al-Quran mengandungi 1,001 rahsia tentang AI. Namun, terpulanglah kepada manusia untuk mencari rahsia tersebut.

* Prof Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post