NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat terbuka kepada Tun Dr Mahathir


Oleh DATUK SERI SYED ALI ALHABSHEE

1. KE HADAPAN YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri ke-7 yang amat saya kasihi lagi dihormati.

2. Saya terpanggil untuk meluahkan sedikit pandangan bersabit senario politik hari ini yang menyaksikan ada cubaan untuk mengemukakan usul ketidakpercayaan terhadap kedudukan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8.

3. Usul tersebut difahamkan akan dibawa pada Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini.

4. Adalah jelas dalam Perlembagaan dan amalam demokrasi berparlimen, apa juga usul dibolehkan untuk dikemukakan pada persidangan Parlimen termasuk menyatakan ketidakyakinan atau hilang sokongan secara majoriti ahli dewan terhadap seseorang Perdana Menteri.

5. Bagaimanapun, usaha Tun untuk mengemukakan “Resolusi untuk membawa ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat”, pada hemat saya tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat keseluruhannya di negara ini.

6. Sebaliknya, rakyat akan lebih menjuruskan andaian mereka bahawa tindakan Tun itu semata-mata didorong oleh rasa kecewa ‘yang amat sangat’ terhadap kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri ke-8 berdasarkan Perlembagaan Negara.

7. Saya khuatir, rakyat akan melemparkan tohmohan bahawa tindakan Tun itu juga hanya menyerlahkan sikap Tun yang hanya memikirkan agenda dan kepentingan politik peribadi daripada mengutamakan perpaduan rakyat dan kestabilan negara.

8. Malah saya juga bimbang dengan kecaman rakyat terhadap Tun bahawa Tun sebenarnya adalah pemain politik yang tergamak mencaturkan kehidupan rakyat demi memuaskan nafsu politik dan ‘tidak rela’ orang lain menyandang jawatan Perdana Menteri.

9. Percayalah, rakyat terutama orang Melayu akan tertanya-tanya, apa lagi yang Tun kejar dan mahu sedangkan Allah S.W.T. sudah memberikan dua kali peluang kepada Tun memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, yang merupakan rekod dunia.

10. Ada juga andaian dan kepercayaan yang Tun sebenarnya sedang dipengaruhi dan dipergunakan oleh “pihak-pihak tertentu” yang mahu melihat suasana politik tidak stabil dan mereka cuba menangguk di air keruh. Ingatlah apa lagi yang Tun harapkan dengan usia Tun yang sudah terlalu lanjut ini.

11. Apa yang rakyat harapkan, Tun kekalkan legasi terbaik Tun semasa menjadi PM kali pertama sebagai Bapa Pemodenan Malaysia agar diingati selama-lama oleh negara dan dunia.

12. Apabila Tun bersama sekutu politik PH dilihat cuba menyingkirkan Muhyiddin selaku PM, rakyat juga akan bertanya: “Tun mahu siapa sebenar yang jadi PM?”

13. Paling menyedihkan, Tun yang sedang dipergunakan oleh “pihak-pihak tertentu” itu, akan dilihat sebagai pemimpin tamak yang sedang menyusun permainan politik paling kotor dalam sejarah, ketika negara kita sedang berdepan krisis pandemik COVID-19.

14. Sepatutnya Tun dan pemimpin PH turut bersolidariti dan berganding bahu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin untuk membangunkan negara dan memulihkan kesejahteraan rakyat akibat penularan wabak tersebut.

15. Banyak lagi agenda Melayu Bumiputera yang belum selesai. Saya pasti hasrat itu masih tertanam dalam jiwa sanubari Tun. Dan saya yakin ia boleh dijayakan dengan berganding bahu bersama-sama kerajaan Melayu-Islam yang sedang memerintah sekarang.

16. Tanpa dirasuk oleh sikap prejudis politik tidak bersangka buruk, seeloknya Tun menunjukkan teladan sebagai seorang ‘negarawan’ tulin dengan menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri.

17. Memang tidak dinafikan bahawa Tun dan saki baki pengikut Tun mempunyai wawasan politik yang terlalu besar untuk menguasai negara ini, tetapi tunggulah penentuan dan ‘hukuman’ rakyat pada PRU-15 akan datang.

18. Saya bagaimanapun amat berharap Tun sepatutnya ikhlas untuk menerima hakikat bahawa rakyat terutama orang Melayu sudah serik dengan ‘bebanan kekecewaan’ yang mereka pikul selama 22 bulan PH mentadbir negara ini dengan Tun sendiri selaku PM.

19. Rakyat sudah letih dengan permainan politik dan adu-domba politik yang tidak membawa sebagai kebaikan kepada negara. Ia harus dihentikan segera.

20. Orang Melayu sangat kecewa, hampa dan amat muak dengan sandiwara politik yang dipentaskan oleh pemimpin-pemimpin PH yang mana Tun sendiri ‘gagal’ mengawal tindak-tanduk mereka, yang amat ketara begitu songsang dan bercanggah dengan lunak manisnya manifesto PRU14 PH.

21. Sebagai tanda hormat dan sayang saya kepada Tun, saya juga amat berharap Tun akan menghormati “Usul dan resolusi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dibenarkan dibawa ke dalam sidang Dewan Rakyat,” seperti yang sudah diperjelaskan oleh
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof.

22. Mohamed Ariff menerusi surat balasan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu, usul tersebut tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

23. “Ia mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan Perdana Menteri.”

24. Sebagai kesimpulannya, sekali lagi saya dengan penuh hormat dan rendah diri, merayu kepada Tun supaya lihat secara lebih terbuka akan suara rakyat, bukannya terpukau dengan momokkan politik sekutu PH yang berkepentingan.

25. Besarlah harapan saya agar Tun juga akan menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia hari ini telah menerima Muhyiddin sebagai PM yang sedang bertungkus lumus bersama jemaah kabinet PN untuk membawa satu perubahan kepada normal hidup rakyat dan negara kearah yang lebih baik dan bermaruah.

26. Sekian, terima kasih dan saya doakan agar Tun sekeluarga dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah S.W.T.

— BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo