NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Risiko operasi di dalam konteks Covid-19

oleh:Nik Hasyudeen

Perniagaan pada asasnya adalah satu usaha yang menghadapi mengambil risiko untuk menjana keuntungan. Tidak ada perniagaan yang tiada risiko. Jika kita ada produk yang bagus pun, risiko produk tidak laku adalah satu risiko yang sentiasa dihadapi oleh kesemua perniagaan.

Bank yang dikatakan teguh itu pun sentiasa menghadapi risiko. Sekurang-kurangnya ada tiga:

1. Risiko kredit (credit risk) yang mana pihak yang dibiayai oleh bank gagal membayar semula.

2. Risiko pasaran (market risk) yang mana perubahan di dalam kadar faedah/keuntungan akan menyebabkan tekanan kepada margin keuntungan kerana bank kena bayar faedah/keuntungan kepada pendeposit mereka pula. Bukan kesemua duit bank tu duit pemegang saham. Duit pendeposit jauh lebih banyak.

3. Risiko operasi (operational risk) yang merangkumi pelbagai perkara seperti sistem maklumat, kecurian, kegagalan mematuhi pelbagai peraturan seperti undang-undang anti-penggubahan wang haran, serangan siber dan banyak lagi perkara berkenaan operasi.

Wabak Covid-19 menambah lagi risiko kepada kesemua perniagaan. Bila PKP dikuat kuasakan, banyak perniagaan yang menghadapi masalah untuk menjual.

Kita ambil contoh sebuah firma audit yang mempunyai 50 juruaudit. Katakan di dalam keadaan biasa setiap seorang boleh membuat kerja bernilai RM 10,000 seorang. JIka perniagaan ditutup selama sebulan, kehilangan produktiviti firma itu adalah RM 500,000. Dari sinilah nak bayar gaji, sewa dan sebagainya. Jika firma ini tidak ada dana simpanan, tentulah pemilik, pekerja dan keluarga akan menanggung akibatnya. Bila perniagaan ditutup, bukan senang nak buka balik.

Ada berapa ratus ribu perniagaan di negara ini. Jumlah kehilangan produktiviti inilah yang menjadi kehilangan besar kepada negara yang berbilion tu.

Bila perniagaan boleh diteruskan, adakah semuanya balik seperti asal? Tidak. Semua orang perlu mempastikan perniagaan boleh dijalankan dengan selamat bukan sahaja kepada pekerja tetapi kepada pelanggan dan pelbagai pihak lain. Ini semua akan meningkatkan risiko operasi kepada kesemua perniagaan. Jika ada orang yang terjangkit, mungkin perniagaan akan tergendala.

Saya percaya kebanyakan perniagaan akan mengambil langkah yang lebih berhati-hati di dalam menentukan kaedah operasi masing-masing. Kebersihan, kesihatan dan langlah-langkah penjarakan sosial akan menjadi keutamaan. Kos akan bertambah dan produktiviti mungkin tidak akan kembali seperti biasa. Pelanggan pun mungkin sudah ada yang tak mampu menjadi pelanggan.

Boleh juga rujuk bagaimana perniagaan di negara-negara lain memberi respon kepada zaman selepas PKP versi mereka.

Covid-19 menambahkan risiko ke atas kesemua perniagaan dan kita kena belajar untuk sentiasa bersedia kerana setakat ini Covid-19 belum ada tarikh luput. Kena sama-sama ambil tanggungjawab jaga diri, keluarga, pekerja, pelanggan dan pihak lain yang berurusan dengan perniagaan kita.

Jangan harap orang lain yang jaga keselamatan dan kepentingan kita. Semua orang ada masalah dan cabaran masing-masing.

Sumber:https://www.facebook.com/hasyudeen/posts/10158313935454655

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo