Pasca PKP: Kerajaan perlu rangka polisi untuk persiapkan pekerja ekonomi gig


KUALA LUMPUR: Dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, terutamanya golongan pekerja sewaktu dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan disarankan untuk melihat kembali polisi mengenai pekerja ekonomi gig secara menyeluruh.

Pengasas bersama firma GigxGlobal, Shareen Abdul Ghani berkata, kumpulan ekonomi itu sudah pun diiktiraf antara penyumbang yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, ujarnya lagi, beberapa kaji selidik mendapati sebilangan besar pekerja ekonomi gig tidak mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan mempunyai jaringan keselamatan seperti tabungan atau insurans.

“Saya rasa kerajaan perlu melihat kepada ekonomi gig secara keseluruhan. Kebanyakannya faham tentang e-hailing, ride-hailing sebab kita menggunakan perkhidmatan tu. Namun ada juga pekerja gig yang profesional seperti perkhidmatan perakaunan sebagai contoh.

“Tetapi satu polisi yang holistik perlu dilihat dan dilaksanakan supaya kepentingan dan kebajikan mereka terjaga. Sebab kalau mereka tidak ada majikan, mereka tidak mempunyai hak ke atas skim Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) kalau berlaku perkara tak diingini,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Shareen, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corp berkata, kaji selidik yang dibuat menunjukkan pekerja ekonomi gig dengan skil bawah dan pertengahan tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk tiga bulan.

"Dari segi KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pula memang mereka ada satu skim caruman sukarela. Tetapi kesedaran agak rendah, ataupun mereka menjalankan kerja ekonomi gig berdasarkan projek yang ada, jadi dia tidak ada displin untuk menabung atau menggunakan skim KWSP,” katanya lagi.

Shareen berkata, dalam usaha mendesak kerajaan mewujudkan polisi kebajikan bersesuaian, pekerja ekonomi gig juga perlu menjaga kebajikan mereka seperti caruman dan insurans.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar pekerja ekonomi gig, serta rakyat secara keseluruhannya mengambil peluang dari impak COVID-19 ke atas sektor pekerjaan negara, dengan mengembang dan mencaturkan kembali kemahiran yang mereka ada.

“Kami melihat ekonomi gig ini bergantung kepada kepakaran. Bagi mereka yang kebanyakannya berkemahiran pertengahan dan rendah, mereka harus melihat masa hadapan. Kalau kita tengok e-hailing ni, sampai bila anda mahu memandu kereta atau membawa motosikal? Perlu ada kemahiran tambahan untuk memajukan mereka.

“Bagi pekerja ekonomi gig berkemahiran tinggi pula, mereka perlu terus belajar kemahiran lain kerana proses pembelajaran itu adalah sepanjang hayat,” katanya lagi.

Shareen berkata, firma gigxglobal.com yang beliau asaskan bersama Zuraidah Mian, merupakan platform yang direka untuk membantu mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang ekonomi gig, termasuk penyediaan perkhidmatan kemahiran, serta padanan dengan syarikat yang memerlukan.

Sumber:http://www.astroawani.com/berita-bisnes/pasca-pkp-kerajaan-perlu-rangka-polisi-untuk-persiapkan-pekerja-ekonomi-gig-242359
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post