OPR: Bank Perlu Bantu IKS Untuk Bangkit Semula



MAZLI NOOR
15 Ramadhan 1441H
8 Mei 2020

Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyambut baik keputusan terbaharu Jawantankuasa Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan lagi Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00%. Ini adalah penurunan ketiga OPR untuk tahun ini selepas dua kali penurunan sebelumnya. Dengan suasana prospek ekonomi yang menguncup sekarang ini adalah langkah tepat.

Disamping itu tindakan BNM membenarkan bank dan institusi kewangan untuk menggunakan Malaysian Government Securities (MGS) dan Malaysian Government Investment Issues (MGII) sebagai alternatif untuk memenuhi keperluan Rezab Berkanun (SRR) juga positif untuk meningkatkan kecairan di dalam pasaran Malaysia. Berdasarkan congakkan yang dilakukan oleh penganalisa langkah ini mampu membekalkan tambahan tunai sebanyak RM16 billion ke dalam pasaran.

Dengan kedua-dua langkah terbaharu daripada BNM bagi mengawal dan mengurus kecairan di dalam pasaran Malaysia, kami berpandangan ianya adalah kondusif bagi terus menyokong dan membantu terutama sektor perusahan kecil dan sederhana (IKS). Ini kerana regim dasar monetari yang ada sekarang adalah amat menyebelahi IKS, justeru harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Dengan kadar OPR yang rendah sekarang, IKS sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan dana bagi memulihkan perniagaan mereka dan bagi membuat persediaan sumber yang sepatutnya untuk menghadapi lonjakan ekonomi selepas ianya pulih daripada krisis COVID-19 kelak. Regim kadar faedah yang rendah sekarang harus dimanfaat bagi membina kekuatan dari segi peningkatan kemahiran sumber manusia, mendapatkan teknologi baharu berasaskan digital dan juga bagi mengadaptasi strategi perniagaan terkini untuk era normal baharu selepas COVID-19. Ini bagi memastikan apabila pasaran pulih dalam tahun 2021, semua IKS telah bersedia untuk bersaing dengan segala kekuatan. Berdasarkan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ekonomi Malaysia akan pulih dan tumbuh dengan agresif pada kadar 9% dalam tahun 2021.

Dari segi perancangan dana dan aliran tunai, kami berpandangan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN RM250 billion yang diumumkan kerajaan mampu untuk membantu IKS dalam mendepani dan bertahan menghadapi krisis yang sedang berlaku sekarang. BNM menjangkakan pakej PRIHATIN akan memberi kesan dan menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 2.8 mata (percentage point).

Justeru bagi fasa seterusnya IKS disarankan untuk mendapatkan dana yang ada melalui pasaran kewangan dan ianya harus digunakan bagi tumpuan untuk persediaan dan lonjakan baharu selepas ekonomi pulih semula. Oleh itu pihak bank harus terus menyokong usaha kerajaan ini dengan menawarkan pakej pinjaman yang optimum dan fleksibel bagi menyokong langkah IKS untuk bangkit semula.

Dengan dana ini IKS harus mengatur pelan dan strategi bagi pemulihan perniagaan mereka dengan penekanan kepada perkara-perkara berikut:

1. Perlu untuk dirangka dan dilancarkan pelan perancangan baharu bagi menghadapi pasaran yang akan berterusan berada dalam keadaan tidak stabil dengan pelbagai ketidaktentuan yang akan wujud. Pelan perancangan yang utuh harus didefinasi semula.

2. Dengan pandemik yang begitu membentuk trauma kepada pasaran, IKS harus menyediakan model baharu yang mampu memberi keyakinan semula kepada pelanggan terhadap tahap kesihatan dan keselamatan produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan. Mentaliti pelanggan selepas ini akan tertumpu kepada apa yang dijamin selamat dan sihat.

3. Disamping pelanggan, IKS juga harus memberikan keyakinan kepada pekerja bahawa mereka boleh bekerja dengan sihat dan selamat dalam suasana baharu. Model berkerja baharu yang boleh memberi motivasi kepada pekerja untuk terus bekerja harus disediakan.

4. Dengan ekonomi yang terjejas teruk disebabkan COVID-19 maka dana yang secukupnya penting untuk IKS mewujudkan semula permintaan yang terjejas disebabkan faktor sumber manusia dan bekalan bahan mentah. Pelanggan asas harus dipulihkan semula agar permintaan terus wujud bagi memastikan paras harga kekal optimum dan tekanan deflasi dapat dikawal.

5. Untuk bangkit semula IKS perlu bergerak dengan pantas bagi memenuhi permintaan yang tertunggak akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Oleh itu kemampuan untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi dengan cepat adalah penting. IKS juga perlu mampu untuk mengenal pasti jumlah permintaan supaya ianya boleh dipenuhi dengan cepat dan tepat apabila ekonomi pulih semula dalam tahun 2021 nanti.

6. IKS juga perlu bersedia untuk berpindah kepada normal baharu dengan mengaplikasi semua teknologi yang ada terutama teknologi digital, bukan sahaja dalam urusniaga dengan pelanggan malah dalam mengoptimumkan sumber tenaga kerja.

7. Kami juga percaya banyak IKS yang berjaya dan mampu dalam mendepani krisis ini dengan keupayaan mereka sendiri mengubah kaedah dan mengadaptasi normal baharu dalam pengurusan perniagaan. Sudah pasti banyak nilai tambah baharu telah berjaya diwujudkan dengan bantuan kerajaan melalui pakej PRIHATIN. Maka dengan itu langkah seterusnya yang perlu bagi IKS ialah mendapatkan dana daripada pihak bank agar pelaburan semula dapat dilakukan untuk kekal utuh dan maju apabila keadaan pulih nanti.

***MAZLI NOOR ialah merangkap Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post