Kisah pelik Pakatan Harapan

Asyik menggunakan alasan mandat rakyat, demi rakyat, sedangkan ketika 22 bulan memerintah mereka membelakangkan dan menghina rakyat

Muhyiddin takut kehilangan jawatan Perdana Menteri apabila beberapa kali dilihat menangguhkan dan memendekkan masa Sidang Parlimen yang akan berlangsung 18 Mei ini. Tidak cukup dengan mengehadkan masa, terkini beliau dilihat mengelak apabila tiada usul akan dibawa dan dibentangkan apabila hanya titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang akan dibenarkan, dengan menggunakan alasan Covid-19.

Gambaran di atas hebat dicanangkan ketika ini oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan dalam memberi persepsi buruk buat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat dibenci mereka kerana menjadi punca Pakatan Harapan kehilangan kuasa hanya setelah 22 bulan berkuasa.

Benar, Pakatan Harapan telah kehilangan kuasa, namun hakikatnya bukan kerana Muhyiddin tetapi kerana Perdana Menteri mereka sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad yang tersilap mencatur. Pakatan Harapan kehilangan kuasa bukan kerana Mahathir meletakkan jawatan tetapi sebaliknya kerana keengganan Mahathir menyerahkan tampuk pemerintahan negara yang telah dijanjikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan inilah yang menjadi punca sebenar sehingga akhirnya Mahathir meletakkan jawatan rentetan daripada keengganan beliau melunaskan janjinya.

Mangsanya tentulah Anwar, yang kempunan dalam menahan sabar melihat kerenah Mahathir memerintah dengan langsung tidak mempedulikankannya malah kerap menyindir dan memperlekeh beliau.

Yang paling menderita dan sakit hati tentulah Nurul Izzah yang pernah memujuk Mahathir kerana rundingan membentuk Pakatan Harapan hampir gagal sebelum ini tetapi diselamatkan oleh anak perempuan Anwar ini yang bertemu dengan keluarga Mahathir di London semasa Hari Raya tahun 2017. Tentu beliau menyesal ketika ini kerana ayahandanya berterusan ditipu dan dibuli oleh Mahathir.

Maka apakah justifikasi yang membenarkan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan menggalas idea memburukkan Muhyiddin apabila mengatakan beliau takut berhadapan dengan pembangkang di Sidang Parlimen pada 18 Mei ini?

Adakah pula benar Muhyiddin takut apabila menangguhkan, memendekkan masa dan terkini usul ditiadakan di Sidang Parlimen tersebut walaupun alasannya kuat iaitu membendung ancaman wabak pandemik Covid-19 yang masih wujud?

Adakah benar Pakatan Harapan mahu membentangkan usul Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Parlimen sedangkan boleh sahaja mereka membuat sidang media dengan menghadirkan semua Ahli Parlimen yang kononnya menyokong mereka, malah lebih mudah dan tidak perlupun kepada Sidang Parlimen – kerana jika terbukti Muhyiddin tidak lagi mempunyai majoriti tentunya beliau akan membubarkan Parlimen dan bukannya menyerahkan tampuk pimpinan kepada pembangkang.

Dengan pembubaran Parlimen yang akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 tentunya bukan pilihan terbaik buat Pakatan Harapan ketika ini yang kehilangan kepercayaan daripada pengundi-pengundi mereka sendiri kerana terbukti memerintah dengan teruk selama 22 bulan – justeru apakah motif sebenar mereka beriya mahukan usul tersebut dibentangkan?

Adakah kerana Mahathir terdesak atas faktor usia yang menghambatnya kerana bukan sahaja anaknya Mukhriz masih tidak menjadi Perdana Menteri malah ketika ini hayat Menteri Besar anaknya berada di hujung tanduk apabila hampir kehilangan jawatan tersebut buat kali kedua – yang memberi tamparan hebat ke muka Mahathir sendiri. Apatah lagi selepas ketiadaannya yang kini mendekati usia 96 tahun, bila-bila masa sahaja akan kembali menemui Pencipta-NYA, tentunya Mukhriz tidak akan ke mana-mana tanpa ayahandanya.

Adakah Anwar pula terdesak kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri yang didambakannya sejak 22 tahun lepas, sama dengan usia pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat, tentunya banyak pihak yang ‘melabur’ dengan beliau mula menekan dan menarik diri kerana jenuh menanti buah yang tidak gugur – yang sebenarnya ‘pokok buah’ tersebut tidak pernahpun menjadi milik beliau selama ini.

Adakah DAP pula terdesak kerana masih banyak agenda yang tersirat, masih ada syarikat dan aset-aset negara yang kebanyakannya milik Melayu Islam yang dicemburui mereka masih belum ditukar ganti, diambil alih, dijarah sesuka hati mereka, apatah lagi gelap mata selepas melihat sendiri kekayaan negara yang dikumpul oleh kerajaan sebelum ini berada betul-betul di depan mata mereka.

Manakala Warisan pula adakah demi kelangsungan kuasa di Sabah yang tidak mungkin akan dilepaskan manakala Amanah pula seperti biasa menuruti apa sahaja kehendak DAP asalkan agenda mereka terlaksana?

Jelas, keterdesakan mereka bukan kerana rakyat, bukan kerana negara, bukan kerana pengundi, bukan kerana penyokong, bukan kerana Muhyiddin tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana hilang sokongan majoriti, bukan kerana Malaysia akan hancur dan bankrap, bukan juga kerana ingin menghapuskan rasuah dan kleptokrasi yang dicanang mereka selama ini – tetapi hanya semata-mata kerana nafsu serakah mereka dan memenuhi agenda peribadi masing-masing.

Selamatkan rakyat, selamatkan negara, mandat rakyat, reformasi dan lain-lain retorik mereka selama ini hanyalah alasan semata-mata.

Jika tidak, tentunya dalam masa 22 bulan memerintah ini rakyat dapat melihat hasilnya, bukannya menyaksikan pertambahan hutang, menyaksikan pertambahan penjualan aset strategik secara berleluasa dan tidak terkawal, termasuk kerap menyakitkan hati rakyat serta penjawat awam dengan penghinaan demi penghinaan yang dilemparkan.

Apabila sudah tumbang barulah alasan memenuhi ‘mandat rakyat’ dikitar semula sedangkan peluang untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini disia-siakan dan rakyat hanya dipandang sebelah mata.

Sebegitulah peliknya Pakatan Harapan.

Sumber: https://www.editormalaysia.com/15167/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post