9 Mei 1975 - 2020: Penantian, Harapan Dan Perjuangan 45 Tahun Rakyat Kelantan


Hj Nazri Deraman
Presiden R
9 Mei 2020

Tarikh 9 Mei merupakan titik permulaan suatu harapan besar rakyat Kelantan untuk menikmati hasil kekayaan bumi Negeri Serambi Mekah penuh barokah. Ini kerana tarikh tersebut amat signifikan dan ianya amat rapat dengan setiap detik nafas kami aktivis royalti.

Pada tarikh ini, genaplah 45 tahun tempoh harapan, penantian dan perjuangan rakyat Kelantan. Sesungguhnya tempoh tersebut terlalu lama.

Pada 9 Mei 1975 suatu perjanjian disebut sebagai Perjanjian Royalti telah ditandatangani oleh YAB Dato' Muhamed Nasir selaku Menteri Besar Kelantan ketika itu (Sebagai MB 1974-1977) dan YM Tengku Razaleigh Hamzah (YBM Ku Li) selaku Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas yang pertama.

Perjanjian Royalti

Di sini kami kongsikan petikan / intipati utama perjanjian tersebut sebagaimana berikut :-

1. Penyerahan hak petroleum negeri kepada Petronas. Kelantan dengan ini telah memberi untuk selama-lamanya dan memindah hak dan meletakhakkan pada Petronas pemunyaan mengenai petroleum dan hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan-kebebasan, dan keistimewaan-
keistimewaan ekslusif untuk mencari, mengeksploit, mendapatkan dan memperolehi petroleum yang berada samada di pantai atau di luar pantai Malaysia. Pemberian, pemindahanhakkan dan peletakhakkan yang dibuat ini tidak boleh dibatalkan dan hendaklah berjalan kuatkuasanya bagi faedah Petronas dan penggantinya.

2. Petronas hendaklah membayar wang tunai (lebih dikenali sebagai royalti) kepada Kerajaan Kelantan secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan.

3. Pembayaran hendaklah dibayar pada tiap-tiap setengah tahun. Setengah tahun pertama adalah pada atau sebelum satu haribulan September dan pembayaran bagi setengah tahun kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac tahun berikutnya.

Kenapa Kelantan Tandatangan Perjanjian?

Persoalannya kenapa kesemua Negeri di Malaysia bersetuju untuk menandatangani perjanjian tersebut? Sedangkan jelas urusan pembangunan petroleum (mineral) adalah termasuk di bawah jadual Negeri yang dijamim di dalam Perlembagaan Persekutuan? Tidakkah ianya suatu kerugian yang nyata?

YBM Ku Li selaku arkitek utama penubuhan Petronas yang juga adalah anak jati Kelantan bahkan seorang kerabat Di Raja. Di atas kapasitinya tersebut seharusnya beliau mengambil kira kepentingan negara dan Negeri Kelantan. Beliau pastinya mempunyai asas yang amat kukuh kenapa perjanjian tersebut dirangka seperti itu...?

Kami sempat mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama beliau untuk mendapatkan pandangan dalam menangani isu tuntutan royalti.

Beliau menyatakan bahawa perjanjian dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dirangka demi untuk menjaga kepentingan negara dalam memastikan kekayaan hasil bumi diusahakan dengan lebih baik. Berbanding sebelum itu syarikat asing (contoh Shell) mengeploitasi dan menguasai industri petroleum kita tanpa pengawasan yang teliti dan pulangan yang sewajarnya. Pihak asing telah sekian lama semenjak sebelum merdeka lagi mendapat laba dari negara kita. Negeri tidak mampu untuk membangunkan industri petroleum secara bersendirian kerana faktor modal dan keperluan teknologi tinggi. Apabila industri petroleum "dipusatkan" dan diusahakan secara sekala besar ianya akan lebih berdaya maju.

Apabila PDA diluluskan maka hak untuk mengusahakan industri petroleum telah berpidah kepada Kerajaan Persekutuan/ Petronas. Oleh kerana hak ke atas hasil mineral adalah di bawah bidang kuasa negeri, suatu penyerahan hak perlu dilaksanakan. Maka perjanjian dirangka menjurus kepada matlamat tersebut.

Negeri-negeri pengeluar minyak akan dibayar wang tunai (royalti) sebagai balasan penyerahanhak tersebut. Kesemua negeri pengeluar minyak telahpun dibayar royalti kecuali Kelantan.


1992 Kelantan Bergelar Negeri Pengeluar Petroleum

Hasil petroleum pertama dikeluarkan dari perairan Kelantan adalah pada 1992 iaitu dari kawasan Blok PM303 (lebih tepat lagi dari Medan Jerneh yang merupakan 3/4 berada dalam perairan Kelantan dan hanya 1/4 sahaja berada dalam perairan Terengganu).

Pada ketika itu sehingga tarikh 1 Mac 2020 Kelantan merupakan negeri pembangkang, maka alasan tersebut mungkin menjadi asas penafian hak royalti Kelantan.

Kerajaan Perikatan Nasional; Sinar Baharu Untuk Kelantan

Seluruh rakyat Kelantan amat mengharapkan pembayaran royalti menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Lantaran kebanyakan isu teknikal telahpun hampir selesai. Isu sempadan laut, penentuan telaga yang bertindih dan lain-lain yang berkaitan seharusnya tidak mengambil masa yang lama untuk diputuskan.

Segala usaha yang baik ke arah pembayaran royalti Kelantan yang telah dirintis oleh kepimpinan kerajaan lalu seharusnya diteruskan. Pihak Kerajaan Persekutuan telah mengesahkan bahawa Kelantan sememangnya mempunyai beberapa kawasan medan pengeluaran minyak dan ianya telahpun mengeluarkan hasil. Pihak kerajaan juga telah menyatakan persetujuan bahawa bermula 2020 Petronas akan menjelaskan bayaran tunai (royalti) terus kepada Negeri (Kelantan). Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Dato' Seri Azmin Ali sewaktu menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019.

Seluruh rakyat Kelantan amat berharap agar sinar baharu untuk negeri ini di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Peringkatan Nasional dengan pembayaran royalti pertama dalam sedikit masa sahaja lagi insyaAllah, Biiznillah.

Sekarang adalah "moment" terbaik untuk kedua-dua kepimpinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan bagi merealisasikan perjuangan suci rakyat Kelantan yang telah menjangkau usia matang 45 tahun.

Lantaran dari perubahan Kerajaan Persekutuan dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dan terkini Perikatan Nasional (PN), harapan seluruh rakyat Kelantan sememangnya semakin cerah untuk mendapatkan bayaran royalti petroleum tersebut.


Royalti Dibayar Selepas Pendemik Covid-19?

Kini setelah lebih 2 bulan Negara di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan Kabinet Kerajaan PN, ramai yang bertanya Kelantan dah dapat royalti? Bila Petronas nak bayar royalti?

Berdasarkan situasi semasa negara yang masih lagi bergelut dengan krisis pandemik Covid-19, hampir seluruh kekutan negara dan perhatian diberikan untuk menyelesaikan permasalah tersebut agar negara dapat keluar dari masalah ini dalam masa terdekat. Maka isu tuntutan royalti ini mungkin "direhatkan" sementara.

Kami yakin tempoh rehat ini tidak mengambil masa yang agak lama memandangkan negara kita telah menghampiri kejayaan melawan penularan coronavirus tersebut.

Kini, sebahagian besar sektor awam, ekonomi dan sosial telahpun dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat dengan kawalan yang ketat.

Sebaik sahaja keadaan reda dan negara boleh beroperasi sebagaimana sedia kala, kami amat yakin, suatu berita baik akan menanti rakyat Kelantan. Bayaran royalti akan menjadi kenyataan insyaAllah Biiznillah

Sebagai rakyat Malaysia, pihak kami juga ingin menyatakan perasaan puas hati rakyat dengan usaha dan langkah Kerajaan dalam mengharugi suasana getir ini. Walaupun Kerajaan Persekutuan baru sahaja dibentuk dalam suasana politik yang bercelaru dan ditambah pula dengan permasalahan covid-19 yang mencengkam seluruh dunia, namun kepimpinan Kerajaan berjaya mengharunginya dengan pelbagai langkah dan inisiatif seperti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin.

Keberkatan Ramadan

Sempena memperingati tempoh 45 tahun perjanjian royalti ini, pihak kami ingin menyeru seluruh rakyat Kelantan agar terus berdoa dan bermunajat Ke Hadrat Allah Taala agar dipermudakan urusan pembayaran royalti ini. Lebih-lebih lagi kita kini berada di dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

"Royalti : Penantian, Harapan Dan Perjuangan Rakyat Kelantan"
"Bayar Royalti, Kelantan Maju, Negara Sejahtera"

#TuntutRoyalti
#RamadanKarim
#PerangiCovid-19
#Sebarkan
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post