NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuduhan SIS terhadap Zailah bukti kurang faham ajaran Islam



BANGI, 18 Syaaban 1441H, Ahad
– Pertubuhan liberal Sister In Islam (SIS) mesti buka minda dengan lebih luas, bukannya terlalu terikat dengan penyelesaian Barat semata-mata, tegas Presiden Gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan SIS terhadap Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga (KWK), Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung saranan beliau cara untuk menghadapi tekanan dalam keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, Siti Zailah memuat naik rakaman video di media sosial, di mana beliau mengakui PKP boleh memberi tekanan kepada keluarga, yang akhirnya menyebabkan masalah keganasan rumah tangga.




Beliau memberikan tiga kaedah untuk meredakan tekanan, termasuk mempunyai sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.

Pada masa sama, Siti Zailah berkata, mangsa keganasan rumah tangga perlu menghubungi hotline Talian Kasih kendalian kementeriannya, untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun SIS berpandangan mesej tersembunyi di sebalik nasihat timbalan menteri itu sebagai tidak boleh diterima.

Dakwanya, nasihat Siti Zailah yang dinyatakan menerusi video berdurasi lima minit itu, mempunyai mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami mereka.

"Ini tidak boleh diterima dan sebagai timbalan menteri, beliau sepatutnya memperkasakan wanita dengan menegaskan mereka layak untuk bebas daripada keganasan dan ketakutan, selain menegaskan keselamatan kanak-kanak dan wanita adalah keutamaan kementeriannya," katanya.

Haji Aminuddin menyifatkan tuduhan SIS terhadap video yang dimuatnaik oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menunjukkan hakikat akan kurangnya kefahaman pertubuhan itu terhadap ajaran Islam.

"Mungkin juga mereka tidak yakin dengan penyelesaian yang diberikan Islam kerana apa yang dinyatakan oleh YB Siti Zailah itu semuanya ada asas dan hujahnya dalam syarak, bukannya hanya sesuatu yang difikirkan secara semberono.

"Pada masa sama juga, beliau (YB Siti Zailah) tidak menyatakan bahawa tindakan-tindakan susulan lain tidak perlu dibuat. Sebenarnya ini adalah sebahagian dari 'langkah defensif' sebagaimana yang disarankan syarak. Bukan bermakna beliau menolak tindakan ofensif seperti membuat aduan, tindakan undang-undang dan sebagainya.

"Lagipun, adalah sesuatu yang sukar untuk menjelaskan satu per satu dan semua tindakan yang perlu diambil melalui media sosial dalam tempoh yang singkat. Berlaku adillah kerana itu adalah 'short video' sahaja," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin turut menggesa SIS melihat secara lebih menyeluruh nasihat Siti Zailah sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan masalah, bukannya menolak terus secara total.

"Mungkin selama ini SIS tidak pernah atau tidak biasa dengan penyelesaian dan pendekatan berlandaskan Islam sebagaimana yang cuba dibawa oleh pemimpin negara sebegini. Maka, janganlah cepat rasa fobia dan rasa tidak betul," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/04/12/tuduhan-sis-terhadap-zailah-bukti-kurang-faham-ajaran-islam/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo