NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tempoh PKP mungkin dipanjangkan lagi

oleh: DR. HJ. WAN MAT BIN SULAIMAN
20 April 2020 | 26 Sya'ban 1441H

Berdasarkan trend peratusan jumlah kes aktif berbanding jumlah kes positif pada setiap hari, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan perlu dilanjutkan sehingga ke 15 Mei bagi memastikan langkah pengawalan dan pencegahan penularan COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan.

Dalam situasi purata kes kematian pada setiap hari adalah minima iaitu tidak melebihi tiga kes dan jumlah kes baharu pada setiap hari adalah mendatar, keupayaan untuk meningkatkan jumlah kes sembuh adalah kunci utama ke arah menamatkan tempoh PKP dengan kadar lebih segera.

Selain bergantung kepada keberhasilan usaha penyelidikan dan pembangunan ubat antiviral atau vaksin yang memakan masa secepat-cepatnya 12 hingga 18 bulan, kemampuan untuk merawat gejala-gejala pada pesakit serta rawatan sokongan untuk orang yang dijangkiti perlu segera dan sentiasa ditingkatkan termasuk pada aspek sumber manusia, ketersediaan fasiliti dan bekalan ubat-ubatan.

Walau bagaimanapun, situasi boleh bertambah buruk sekiranya peraturan-peraturan di bawah PKP ini tidak dipatuhi atau kelongaran-kelongaran yang diberikan tidak ditadbir dengan prosedur pengendalian standard (SOP) yang teliti dalam keadaan belum ada vaksin berjaya dibangunkan.

Jika demikian, tidak mustahil kes baharu akan terus ada direkodkan sehingga pertengahan September nanti sebelum negara boleh diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada penyakit itu.

Justeru,

1. Semua pihak; daripada orang awam sehinggalah pemimpin kerajaan hendaklah mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan sepanjang tempoh PKP ini.

2. Kerajaan perlu memantau penyampaian dan keberkesanan inisiatif-inisiatif di bawah semua Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan disamping mestilah melibatkan pakar dan pihak berkepentingan dalam membangunkan pelbagai rancangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menyokong perniagaan dan membantu rakyat.

3. Majikan dan entiti perniagaan perlu menyediakan kaedah pelaksanaan dan pemantauan operasi masing-masing yang bersesuaian dengan keterbatasan jangka panjang supaya menjamin pendapatan dan pekerjaan serta produktiviti. Pelan luar jangka dan pemulihan yang menyeluruh juga mesti dibangunkan.

4. Masyarakat hendaklah memberikan perhatian terhadap keperluan komuniti atau jiran masing-masing bagi memastikan semua orang dalam keadaan sejahtera.

5. Isi rumah mesti meningkatkan keupayaan kendiri ke arah membebaskan kebergantungan kepada pihak lain dalam memenuhi keperluan asas untuk tempoh yang lebih panjang.

6. Setiap individu perlu sentiasa prihatin dengan keadaan kesihatan fizikal serta mental dan emosi diri masing-masing.

Sekian.

DR. HJ. WAN MAT BIN SULAIMAN ialah Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Sumber: https://www.tsis.my/tempoh-pkp-mungkin-dipanjangkan-lagi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo