NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sistem ekonomi berpaksi usaha sama


MINGGU ini, saya masih lagi menulis tentang perkara berkaitan persediaan setelah tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19). Tujuan saya menulis pelbagai isu pasca-PKP adalah untuk mengajak pembaca yang dalam kelapangan waktu duduk di rumah ketika ini lebih bersedia dan mengambil peluang merangka program pemerdayaan diri menghadapi pasca-PKP ini.

Ia mengajak pembaca menganjak minda dan paradigma dalam melihat sesuatu menggunakan parameter yang berlainan daripada sebelum ini.Perbincangan kali ini lebih menjurus kepada sistem ekonomi yang diamalkan dunia berpaksikan sistem kapitalis.

Tidak keterlaluan jika saya katakan akibat pandemik Covid-19, seluruh dunia terkesan dari segi ekonomi, keselamatan, kesihatan dan juga sosial.

Ekonomi dunia berdasarkan sistem kapitalis ditunjang sistem hutang yang kompleks. Seorang kaya yang memiliki aset lebih sepuluh juta ringgit umpamanya mungkin memiliki hutang sepuluh kali ganda daripada nilai asetnya itu.

Dari segi logiknya beliau bukanlah kaya kerana hutangnya melebihi aset. Namun kerana beliau mampu mengatur pembayaran balik dengan baik hanya aset beliau yang diambil kira.Begitu juga dengan sebuah negara diukur antara lain dengan aset, pelaburan, perbelanjaan dan lain-lain lagi bagi membentuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hutang pula dibandingkan dengan KDNK.

Dalam tempoh PKP di Malaysia atau di luar negara, ada yang membuat perintah berkurung, perniagaan tidak dapat beroperasi yang menyebabkan negara mengambil alih sebahagian tanggungjawab membantu rakyat dengan memberi wang untuk berbelanja.

Hutang
Kadar faedah bank juga diturunkan, manakala KDNK negara menguncup. Itu semua memberi kesan bukan sahaja kepada negara tetapi syarikat dan rakyat. Kemampuan untuk membayar hutang akan lebih ketat dan lama-kelamaan ia bertukar menjadi ketidakmampuan.

Permasalahan itu adalah nyata kerana sistem yang berasaskan hutang akan menjadikan beban kepada semua. Malah, negara pula akan mengejar nilai KDNK bagi menggalakkan pelaburan dan pemerdayaan negara tersebut.

Sudah sampai masanya kita beralih daripada sistem berpaksikan hutang ini kepada sistem yang lebih adil iaitu usaha sama. Hutang sepatutnya bukanlah suatu perniagaan tetapi hanya suatu keistimewaan kepada orang lain tanpa menekan orang yang mendapat hutang.

Usaha sama dalam bentuk musyarakah ataupun bentuk yang lain perlu dilakukan di mana kedua-dua pihak akan menikmati keuntungan bersama dan dalam masa yang sama menanggung risiko kerugian secara bersama juga.

Dengan cara ini, kedua-dua belah pihak akan berusaha memastikan sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan untuk dibahagi. Prinsip ihsan perlu diterap kerana kemungkinan satu pihak mempunyai alasan yang sah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang dibebankan kepadanya.Berpindah kepada sistem itu adalah suatu perpindahan yang besar dan memerlukan penelitian dan kemahuan yang tegas. Sistem riba yang diamalkan sekarang hanya memberi pulangan kepada pemberi hutang sahaja dan tiada ihsan kepada penerima hutang.

Sistem perbankan Islam yang diamalkan khususnya di negara kita kini alhamdulillah dari sudut akad dan hukumnya selesai dan tidak melibatkan larangan daripada ALLAH SWT dan Rasul-Nya.

Namun realitinya pembiayaan Islam masih membebankan penerima kerana terpaksa membayar balik berlipat kali ganda. Saya tidak mengatakan sistem pembiayaan Islam itu haram tetapi ia perlu diperbaiki dari masa ke masa.

Oleh itu, sudah sampai masanya kita melihat kembali sistem ekonomi yang diamalkan sekarang supaya dapat beralih kepada sistem yang lebih adil dan tidak lagi berpaksikan hutang. Jika kita berpindah fokus kepada usaha sama itu, pasti jika wabak apapun yang melanda insya-ALLAH sistem ekonomi kita tidak terjejas.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo