NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pandangan Sisi Wawancara Tun Mahathir Mohamad Dengan Aljazeera: Persamaan Plot British Ke Atas Tanah Melayu dan Palestin.

oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Saya telah mengikuti dengan penuh minat wawancara terbaru antara Aljazeera yang berpusat di Qatar dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah disiarkan siri pertamanya pada 5 April 2020. Wawancara yang disiarkan dalam rancangan “Syaahidun ‘ala al’asr” atau Witness to The Times yang dikendalikan oleh pengacara Mahmood Mansor ini mengandungi beberapa siri, dimulakan dengan siri pertama menceritakan pengalaman dan pendirian Tun Mahathir terhadap penjajah British.

Bagi saya wawancara ini jelas menunjukkan sikap dan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak pernah berganjak terhadap kejahatan penjajah ke atas negara yang tercinta ini. Sebagai seorang anak watan yang lahir pada awal 1900, sudah tentu beliau mampu mengimbau kembali era zaman penjajahan British ke atas Tanah Melayu dan menceritakannya kepada semua anak bangsa.

Dalam wawancara tersebut Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendedahkan sebab-sebab perubahan perasaannya terhadap British dari rasa cinta dan kekaguman kepada kebencian dan ketidakpuasan, serta mendedahkan plot yang mereka rancang ke atas Tanah Melayu adalah sama dengan apa yang mereka lakukan ke atas Palestin pada tahun 1940-an iaitu melalui strategi penghijrahan.

Jelas jika dikaji secara teliti, memang benar wujud persamaan akan strategi tersebut. Malangnya strategi tersebut berhasil terhadap Palestin kerana apabila berlaku kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1918 yang menjadi penjaga bumi Palestin, British menakluk Palestin sehingga selepas Perang Dunia Kedua dan kemudian menyerahkannya kepada Zionis Yahudi untuk menjadi tuan kepada bumi Palestin pada 1948.

Ketika itu berlaku penghijrahan bangsa Yahudi secara besar – besaran terutamanya dari Eropah ke Palestin dan juga ketika itu Zionis Yahudi sudah mula memiliki sebahagian besar tanah penduduk Palestin. British yang menjajah Palestin selepas kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah secara halus telah mula menjalankan operasi licik Zionis Yahudi untuk mendominasi Palestin.

Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa lebih 90% peratus bangsa Yahudi yang ada di Palestin saat ini adalah bukan penduduk asal Palestin walaupun memang jelas dalam sejarah, bangsa Yahudi adalah sebahagian daripada penduduk asal Palestin. Menurut Professor Justin A. McCarthy, seorang pakar sejarah dan demografi dari University of Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat menyatakan pada awal 1900, hanya terdapat seramai 59,000 orang Yahudi yang bermastautin di Palestin.

Ini tidak mengambil kira bahawa hampir setengah daripada populasi bangsa Yahudi tersebut bukan berasal atau dilahirkan di Palestin kerana menurut kajian awal Professor Justin A. McCarthy, di anggarkan lebih daripada 10,000 penduduk Yahudi ketika itu tidak dilahirkan di Palestin atau boleh disimpulkan sebagai golongan imigran.

Ini adalah kerana Kerajaan Uthmaniyyah yang berpusat di Turki yang menjadi penjaga kepada bumi Palestin telah melarang atau tidak membenarkan mana – mana orang Yahudi tinggal di bumi Palestin dan begitu juga dengan pemilikan asing terhadap sebarang tanah di bumi Palestin. Ia juga adalah polisi Kerajaan Uthmaniyyah sejak berkurun lamanya sehingga kejatuhannya pada 1918.

Ketika mula menjajah Palestin, British telah menutup Jabatan Tanah dan membukanya kembali setahun kemudian. Ketika itu bangsa Yahudi sudah mula dibenarkan membeli tanah milik penduduk Palestin samada secara paksaan atau sukarela. Ketika inilah iaitu dari tahun 1918 – 1948 telah berlaku penghijrahan besar – besar bangsa Yahudi ke Palestin terutamanya dari Eropah seperti Hungry, Poland, Jerman dan beberapa negara lagi.

Deklarasi Belfour pada 2 Novermber 1917 sebenarnya adalah galakan British kepada bangsa Yahudi untuk berhijrah ke Palestin dengan menamakan Palestin sebagai tanah air bangsa Yahudi. Pembelian tanah – tanah milik penduduk Palestin adalah untuk menampung kemasukan imigran Yahudi yang berhijrah secara besar – besaran dari Eropah.

Setelah Zionis Israel menjajah Palestin pada 1948, lebih 900 km persegi bumi Palestin adalah milik Zionis Yahudi. Ketika ini, dua organisasi besar milik Zionis Israel iaitu Jewish National Fund ( JNF ) dan Palestine Jewish Colonization Association telah mula membeli tanah penduduk Palestin secara besar besaran.

Dalam satu laporan khas PBB ( UNSCOP ) yang dikeluarkan pada 15 Mei 1947 berkenaan dengan masa depan bumi Palestin, dijelaskan dalam laporan tersebut bahawa ketika itu terdapat lebih daripada 600,000 orang bangsa Yahudi yang bermastautin di Palestin. Ia adalah jumlah penghijrahan yang cukup besar memandangkan awalnya hanya sekitar 59,000 bangsa Yahudi sahaja bermastautin di Palestin.

Jelaslah strategi penghijrahan yang dipelopori British untuk bangsa Yahudi berjaya membuahkan hasil. Hari ini jelas kita semua lihat siapa tuan di bumi Palestin. Orang – orang Palestin dihalau keluar dari bumi mereka sendiri atau merempat di tanah air mereka sendiri. Saat ini mereka berjuang untuk menuntut hak mereka ke atas tanah air mereka.

Namun strategi sama yang digunakan di Palestin tidak berjaya dilakukan ke atas Tanah Melayu kerana ia sama sekali gagal. Jika diamati dalam lipatan sejarah, orang – orang Melayu bangkit menentang penjajahan British dan strategi mereka, baik orang kebanyakkan, alim – ulama, cendekiawan, orang politik, golongan bangsawan mahupun institusi Diraja. Kesemuanya berganding bahu menentang penjajahan British sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Begitulah hebatnya orang Melayu menentang penjajah sejak dari zaman Kesultanan Melaka kerana tidak pernah sekalipun berputus asa menentang penjajah. Jika dinilai dari satu sudut, boleh disimpulkan bahawa orang Melayu lebih hebat dari bangsa Arab, malah mungkin lebih hebat dari bangsa – bangsa lain di dunia kerana kekerapan menentang dan menumpaskan penjajah sejak sekian lama dari seluruh dunia.

Sikap tidak putus asa dan berjuang milik orang Melayu tidak mampu dinafi oleh mana – mana pihak. Namun naratif jijik peninggalan penjajah terhadap orang Melayu meresapi masyarakat sehingga ke hari ini termasuk orang Melayu sendiri. Ianya adalah salah dan tidak betul namun akibat mempercayainya, maka orang Melayu sendiri mula mundur dan terkebelakang akibat termakan naratif jijik tersebut.

Di Tanah Melayu pula British menanamkan naratif buruk ke atas orang Melayu sebagai bangsa yang malas dan tak boleh dipercayai namun dalam pada masa yang sama British menggalakkan kaum Cina dan India untuk berhijrah dan tinggal di Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu.Maka berlaku penghijrahan besar dari tanah besar China dan India oleh kaum Cina dan India ke Tanah Melayu bermula dari pertengahan tahun 1800.

British ketika itu memberikan kepada kaum Cina dan India pekerjaan malah pendidikan yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepada orang Melayu selaku pribumi dan penduduk asal Tanah Melayu. Diasingkan orang Melayu, Cina dan India di kelompok – kelompok tertentu mengikut kluster ekonomi seterusnya ditanam bibit – bibit perpecahan. Akibatnya berlakulah pergolakan yang sememangnya didamba oleh British untuk mencengkam lebih kuat Tanah Melayu.

Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ketika itu orang Melayu telah mula menyedari perancangan British apabila British memberi sokongan terhadap Malayan Union yang mana usaha tersebut adalah bertujuan untuk memecah - belahkan orang Melayu dan membuka jalan kepada golongan minoriti dari kaum Cina dan India yang patuh kepada British untuk menjadi warganegara.

Walaubagaimanapun perancangan Biritsh ini telah dihidu oleh golongan elit Melayu pada ketika itu dan mereka menggagalkan perancangan British dengan cara menolak Malayan Union. Ketika inilah bermulanya peranan UMNO yang menyatupadukan orang Melayu menentang penjajahan British yang seterusnya membawa kepada kemerdekaan negara lalu memaksa British keluar dari Tanah Melayu.

Pada pandangan saya, kesedaran untuk menentang perancangan penjajah British ini adalah gabungan usaha antara alim – ulama, golongan bangsawan/elit Melayu, institusi diraja malah juga orang kebanyakkan.

Penentangan – penentangan tersebut berjaya membangkitkan semangat orang Melayu samada penentangan secara pertempuran bersenjata sebagaimana yang dilakukan oleh Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Dato Maharajalela, Rosli Dhobi, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan lain-lain lagi sehingga kepada pertembungan politik dengan penubuhan parti politik seperti UMNO, Hizbul Muslimin dan lain-lain yang berjaya menghalau British keluar dari Tanah Melayu.

Alim – ulama seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan beberapa tokoh besar lagi dalam ilmuwan Islam di Tanah Melayu ketika itu juga turut memainkan peranan besar dalam perjuangan menentang penjajah. Walaupun bermula dari tempat pengajian mereka, gerakan tersebut seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang penjajahan British sehingga ke peringkat yang lebih besar.

Begitu juga PAS yang turut sama menentang penjahahan British sehingga Tanah Melayu merdeka. PAS yang menjadi sebahagian daripada UMNO sebelum keluar menuruti perjuangannya sendiri sehingga tertubuhnya PAS turut meneruskan kesinambungan perjuangan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan.

Tokoh PAS seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan beberapa tokoh lagi dari PAS turut bersama – sama memperjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapainya seterusnya menghalau keluar British selama – lamanya dari Tanah Melayu. 31 Ogos 1957 terpahat dalam memori dan ingatan setiap anak bangsa bahawa Tanah Melayu telah merdeka dari penjajahan yang cukup memeritkan selama ini.

Malaysia adalah hasil daripada penyatuan setiap agama dan bangsa yang bermastautin di bumi yang tercinta ini baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai bangsa serta agama lagi. Mungkin ada yang terlepas pandang tetapi dari satu sudut sebenarnya kemerdekaan adalah perjuangan yang dipelopori oleh setiap bangsa dan agama dari kalangan rakyat Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu.

Memperjuangkan kemerdekaan sudah selesai dan kita semua telah mengecapinya tetapi mempertahankan kemerdekaan adalah cukup sukar. Senantiasa akan terdapat cabaran dan halangan yang perlu kita tempuhi samada ringan mahupun berat yang perlu kita semua lalui. Jangan kita leka dengan kemanisan kemerdekaan namun lalai mempertahankannya.

Ulasan ini bagaimanapun hanya menceritakan perihal bagaimana British selaku penjajah pada ketika itu sanggup melakukan segala macam perkara untuk memenuhi impiannya dalam menguasai dunia. Bagaimana dalam sesuatu keadaan penduduk asal dimanipulasi untuk memenuhi impian penjajah mahupun proksi mereka.

Dalam sudut Palestin, tiada bangsa mahupun agama lain digunakan sebagai topeng ataupun alat untuk memenuhi impian penjajahan mahupun kehendak proksi mereka tetapi dari sudut Tanah Melayu ketika itu, kaum Cina dan India digunakan untuk mencapai cita – cita dan impian besar penjajahan mereka. Nyata dan jelas, kita semua adalah mangsa penjahahan dan manipulasi British ketika itu dan mungkin sehingga hari ini.

Namun walaupun British menjajah Tanah Melayu hingga semua warganya sengsara, tidak semua yang ditinggalkan British buruk dan jijik kerana masih banyak kebaikan dan manfaat yang kita kecapi sehingga hari ini contohnya sistem pentadbiran dan kenegaraan yang digunapakai sejak dari merdeka. Ia berjaya mengangkat dan merubah landksap tanah air sehingga berjaya menjadi negara yang berjaya dan disegani di mata dunia.

Apa sekalipun, Tun Dr. Mahahtir tetap tokoh negarawan ulung negara. Walau terdapat sedikit perbezaan pandangan yang mungkin menimbulkan perseteruan mahupun kekeliruan, sebenarnya saya secara peribadi mahupun PAS merasakan sebenarnya terdapat banyak persamaan baik dari sudut idea, politik dan pemikiran.

Di atas persamaan itulah, maka PAS meraikan dan akan terus menghormati Tun Dr. Mahahtir kerana saya percaya jika diletakkan ke tepi perbezaan yang sedikit tersebut, persamaan yang banyak itu mampu memanfaatkan negara dan rakyat secara keseluruhannya seterusnya mampu melonjakkan negara ke tahap yang lebih baik dalam pelbagai sudut.

Semoga Malaysia, tanah air kita semua yang tercinta ini mampu bangkit kembali menjadi sebuah negara yang disegani, dihormati dan maju dalam pelbagai sektor yang dapat memanfaatkan sekelian rakyat. Sesungguhnya orang Melayu bukan seperti yang digambarkan sebagai pemalas dan tidak boleh dipercayai tetapi sebaliknya orang Melayu adalah bangsa pejuang yang kental sehingga berjaya bangkit menghalau pejajah dan menjadi tuan kepada tanahnya sendiri.

Semoga Malaysia diberkati dan dirahmati.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo