Malaysia dan politik penyatuan dunia Islam


Tidak ada nama lain yang paling mudah dibayangkan apabila menceritakan isu politik dunia Islam selain Dato' Seri Abdul Hadi Awang, yang pernah berperanan dalam mendamaikan pertembungan dalaman di Yaman, dan antara yang menyuarakan pertimbangan paling rasional berhubung konflik di Syria.

Usaha damai di Yaman ialah yang paling banyak diceritakan oleh beliau sendiri, yang melibatkan sokongan rasmi daripada kerajaan Malaysia.

Sejak awal krisis di Syria bermula, Abdul Hadi juga menyuarakan pandangan tidak popular, yang di dalam negara, mencetus suasana tegang ekoran sentimen sektarian anti-Syiah yang berleluasa hingga sebarang pandangan yang tidak sepenuhnya memusuhi kerajaan Syria mudah dianggap mewakili Iran dan Syiah.

Pandangan berbeza itu meletakkan beliau bertentangan dengan tokoh dunia Islam Dr Yusuf al-Qaradawi, yang berperanan sebagai suara dasar luar Qatar dalam isu Syria dan kemudian Libya.

Abdul Hadi walau bagaimanapun kekal aktif berperanan dalam Kesatuan Ulama Sedunia yang berpengkalan di Qatar, dan merupakan salah satu instrumen dasar luar kerajaan Qatar.

Qatar mewakili kuasa baharu dalam dunia Islam, dengan instrumen berkesan seperti stesen berita al-Jazeera, dan hubungan luar yang mantap dengan Amerika Syarikat melalui antaranya, pengkalan udara al-Udeid.

Di seberang lain ialah Emiriyah dengan Majlis Hukama dan beberapa pertubuhan lain, membawa aliran moderat atau wasatiyah, dan memusuhi aliran politik yang dipelopori Ikhwan Muslimin.

Qatar mempunyai saham sangat besar dalam apa yang berlaku di Syria dan kemudian Libya, dua projek perubahan rejim yang mengambil kesempatan daripada kebangkitan serantau.

Abdul Hadi konsisten memberikan pandangan yang seimbang, menolak campur tangan asing di Syria dan Libya, dengan hujah kuasa asing musuh Islam akan mengambil kesempatan, seperti yang paling jelas, Israel di Syria.

Pandangan beliau walau bagaimanapun juga tidak popular dalam partinya sendiri, yang menyaksikan aliran anti-Iran/Syiah semakin kukuh, dan mendepani usaha bantuan yang disertai sekali dengan kempen propaganda yang mengikut sepenuhnya skrip kem anti-Iran.

Cabaran pertembungan kem Iran dengan Arab Saudi dan negara Arab lain hanya satu bahagian daripada persaingan sengit dalam kalangan kuasa-kuasa dunia Islam ini.

Persaingan yang semakin sengit dan terbuka kini ialah antara kem Turki-Qatar dengan Arab Saudi-Emiriyah Arab Bersatu. Persaingan ini muncul dalam manifestasi jelas melibatkan geopolitik dan aliran pemikiran agama.

Selepas persaingan berzaman Saudi (Salafi/Wahabi) dengan Iran (Syiah Imamiyah), pertembungan sengit masa kini antara Ankara-Doha dengan Riyadh-Abu Dhabi, yang disokong kuat juga oleh Kaherah, ialah yang paling mempengaruhi dunia Islam di Asia Barat dan Afrika.

Medan utamanya kini tertumpu di negara-negara sepanjang Laut Merah, dari Yaman hingga ke Mesir. Saudi-Emiriyah agak mendahului dalam mengukuhkan posisi di sepanjang pantai Yaman dan Laut Merah di Afrika, pada masa sama juga diusahakan penubuhan sebuah forum Laut Merah dipimpin Saudi.

Pada masa yang sama, negara Afrika Utara, Libya, juga menyaksikan perang proksi antara kem Saudi-Emiriyah dengan Turki-Qatar, tetapi kurang mendapat perhatian dunia Islam berbanding semasa usaha giat menjatuhkan Muammar Gaddafi dulu.

Pembahagian kem ini sangat jelas, dan dapat diperhatikan semasa berlangsung Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lepas.

Pemimpin utama dunia Islam yang hadir ialah pemimpin Turki dan Qatar, manakala pemimpin negara tonggak yang diharapkan hadir, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan tidak hadir kerana ditekan oleh Riyadh.

Pas pimpinan Abdul Hadi menyokong Sidang Kemuncak KL, dan menganggapnya sebagai satu kesinambungan visi D8 oleh pemimpin Turki, Necmettin Erbakan, yang dianggap sebagai guru oleh Abdul Hadi.

Ini menunjukkan satu pendirian berbeza beliau dengan banyak pihak, termasuk dalam kem Qatar sendiri, yang mendukung Kesatuan Ulama.

Maka Sidang Kemuncak KL itu menunjukkan ke mana haluan dasar luar Malaysia di bawah Pakatan Harapan, yang menjarakkan dan menjejaskan hubungan dengan Saudi dan Emiriyah.

Dalam hal hubungan dengan Saudi, Abdul Hadi dengan PH mempunyai pandangan agak selari, dan pendirian itu semakin jelas ditunjukkan sepanjang pemerintahan PH.

Kerajaan Perikatan Nasional walau bagaimanapun kembali memulihkan hubungan dengan Saudi dan Emiriyah. Menteri Luar Dato' Seri Hishammuddin Hussein sendiri menegaskan akan segera memulihkan hubungan dengan Saudi dan Emiriyah.

Beliau juga dikhabarkan pernah diminta untuk membantu kerajaan PH memulihkan hubungan antara Malaysia dengan Saudi.

Pelantikan Abdul Hadi berlaku pada masa kerajaan Malaysia sudah memulihkan hubungan dengan Saudi dan Emiriyah, dan kelihatan lebih berhati-hati dan pragmatik dalam hubungan luar berbanding PH.

Kerajaan hari ini bukan lagi kerajaan yang menjejaskan hubungan dengan Saudi, dan menunjukkan haluan berbeza apabila mengadakan satu sidang kemuncak menyaingi OIC dihadiri pemimpin Turki dan Qatar.

Selepas suasana mencabar di bawah kerajaan PH, cabaran terkini ialah mengimbangi kuasa-kuasa utama dunia Islam, pada masa persaingan semakin sengit di seluruh Asia Barat dan Afrika.

Sumber: https://www.facebook.com/hariszalkapli/posts/10158472064626522
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post