Hukuman Bagi Kesalahan-Kesalahan Di Bawah Akta 336 Perlu Ditambah



Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil dibuat dalam tahun 1955. Ia disemak dalam tahun 1987 dan diberi nama Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336). Sebelum Merdeka, undang-undang kita tidak dipanggil akta sebab kita belum ada Parlimen. Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dipanggil akta.

Akta 336 terpakai di Malaysia Barat sahaja. Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang yang berasingan.

Semasa saya menjadi Majistret dalam tahun 1969 dan 1970, saya selalu membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang itu. Pada masa itu pun, saya merasakan bahawa hukuman yang diperuntukkan terlalu rendah.

Saya masih ingat saya membicarakan satu kes di Mahkamah Majistret Baling, Kedah yang melibatkan seorang lelaki Cina yang ditangkap pada jam lebih kurang 4.00 pagi membawa seekor lembu yang disyaki dicuri, dalam lorinya. Saya percaya pertuduhan dibuat di bawah seksyen 29. Saya menjatuhkan hukuman denda RM100.00, hukuman maksima pada masa itu. Nampaknya pindaan telah dibuat untuk menambahkan hukuman bagi kesalahan di bawah seksyen itu.

Pada masa itu, saya merasakan bahawa hukuman itu terlalu ringan memandangkan berapa orang anggota polis yang terlibat untuk membuat tangkapan itu yang memerlukan mereka membuat “serangan hendap” di waktu malam, menyimpan, memberi makan dan minum lembu itu sementara menunggu hari perbicaraan dan membawanya ke mahkamah sebagai barang kes. Bayangkan berapa banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan untuk mendapat hukuman denda RM100.00.

Pada 23 06 2018, dua orang pelancong perempuan dari negara Cina yang memakai seluar pendek, baju-T tanpa lengan menampakkan ketiak dan seluruh lengan dan terbuka di bahagian perut divideokan menari berirama di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Mereka dituduh di bawah seksyen 15 Minor Offences Ordinance 1953 (Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1953 (Sabah)).

Seksyen itu memperuntukkan, setakat yang berkenaan dengan kes itu, seperti berikut:

“15. Mana-mana orang yang …. bersalah atas apa-apa ….. tingkah laku tidak senonoh …. di kawasan terdekat (immediate vicinity) mana-mana tempat ibadah ….boleh dikenakan denda sebanyak dua puluh lima ringgit, dan dipenjarakan selama empat belas hari, dan pada sabitan kedua atau kemudiannya didenda lima puluh ringgit dan dipenjarakan selama tiga bulan.” (Terjemahan saya).

Mereka mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM25.00 jika tidak bayar penjara 7 hari. Hukuman denda itu adalah hukuman maksima.

Dalam rencana saya bertajuk “Menari di atas tembok masjid: denda RM25.00” (02 07 2018, boleh di dapati dalam laman-laman web saya), saya mencadangkan pindaan dibuat kepada undang-undang itu bagi menambahkan hukumannya.

Pada 04 03 2020, tersiar pula berita seorang wanita Cina didakwa kerana mengeluarkan kata kurang sopan ‘idiot‘ (bodoh) terhadap seorang anggota polis di sekatan jalan raya, satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman maksima denda tidak melebihi RM100.00.

Hari ini, 05 04 2020, tersiar pula kisah seorang pelajar berumur 17 tahun (bangsanya tidak disebut) telah ditahan oleh polis kerana memuat naik rakaman video menghina polis ketika hebahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelajar itu mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat dengan menyebut ‘kepala bapak kau’ terhadap anggota polis yang sedang membuat hebahan PKP itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan palang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

Di kebelakangan ini, terutama sekali semenjak PKP dikuatkuasakan, anggota polis yang menjalankan tugas mereka kerap dimaki hamun, malah dibaling gelas minuman kepada mereka.

Orang ramai sudah tidak menghormati anggota polis yang bertungkus lumus, berpanas berhujan melaksanakan tugas mereka untuk menguatkuasakan undang-undang bagi kepentingan awam. Mereka tahu, jika mereka dihadapkan ke mahkamah pun, hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan hanya RM100.00. Apa yang hendak dihairankan.

Untuk makluman, seksyen 14 yang berkenaan berbunyi begini:

Mana-mana orang yang menggunakan perkataan-perkataan yang lucah, mengugut, kasar atau menghina, atau berkelakuan dengan cara yang mengugut atau menghina, atau menampal atau melekatkan atau mempamerkan apa-apa kertas bertulis atau lukisan yang lucah, mengugut, kasar atau menghina dengan niat membangkitkan keadaan tidak aman, atau di mana suatu keadaan tidak aman mungkin akan berlaku, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ratus ringgit.”
Walau pun undang-undang itu telah disemak semula dan ada hukuman yang telah ditambah, pada keseluruhannya, pada masa ini, hukuman-hukuman itu tidak sepadan dengan kesalahan berkenaan. Sudahlah tiba masanya undang-undang ini disemak semula dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan itu ditambah supaya ia lebih munasabah dan boleh menjadi pengajaran kepada orang-orang yang melanggarnya.

Mengenai seksyen 14, ia bolehlah dikekalkan (dengan hukumannya ditambah), tetapi satu seksyen lagi diadakan, iaitu mengenai kesalahan yang dilakukan terhadap pegawai-pegawai awam yang sedang menjalankan tugas. Untuk seksyen baharu ini, klausa “dengan niat membangkitkan keadaan tidak aman, atau di mana suatu keadaan tidak aman mungkin akan berlaku,” tidaklah perlu. Hukumannya, hendaklah lebih tinggi daripada kesalahan dalam seksyen 14 yang ada sekarang, walaupun setelah ditambah.

Jika boleh, saya syorkan kesalahan-kesalahan dan hukuman-hukuman itu diselaraskan dan ia dijadikan satu akta yang terpakai di seluruh negara, supaya kita cuma perlu merujuk kepada akta itu apabila kita hendak mengetahuinya.

Oleh sebab akta ini terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, maka kementerian tersebut patutlah mengambil inisiatif melakukannya.[i]

05 04 2020

tunabdulhamid@gmail.com

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post