NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Kira-kira 78,372 responden hilang pekerjaan


KUALA LUMPUR: Hampir separuh atau sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden yang menyertai ‘kajian khas kesan coronavirus (COVID-19) terhadap ekonomi dan individu’ mengakui kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak berkenaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sembilan daripada 10 responden yang masih bekerja juga mengakui mengalami pengurangan pendapatan daripada biasa dengan sektor pertanian dan perkhidmatan merekodkan peratusan kehilangan pekerjaan lebih tinggi berbanding lain.

Mengulas lanjut beliau berkata, majoriti responden turut menyatakan ketidaksediaan sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 14 April ini dilanjutkan kecuali pekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

“Dari segi simpanan kewangan, lebih daripada dua per tiga atau 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi bagi tempoh kurang daripada satu bulan.

“Hanya 6.2 peratus responden menyatakan kurang terkesan berbanding 52.6 peratus responden yang menyatakan sangat terkesan dari segi kewangan, ” katanya melalui kenyataan media, di sini hari ini.

Kajian pusingan satu itu dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara atas talian bermula 23 hingga 31 Mac lalu disertai 168,182 responden yang berusia 15 tahun ke atas.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, tempoh bekerja turut mempengaruhi simpanan kewangan di mana sebanyak 69.7 peratus yang bekerja dalam tempoh kurang daripada setahun menyatakan simpanan kewangannya bertahan kurang daripada 1 bulan.

Katanya, manakala 11.4 peratus yang bekerja bagi tempoh 21 hingga 30 tahun dan 11.7 peratus yang bekerja lebih daripada 30 tahun mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan.

“Dapatan kajian khas ini menunjukkan sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain kesan daripada COVID-19 iaitu masing-masing sebanyak 21.9 peratus dan 15.0 peratus.

“Sebanyak 33 peratus pekerja di sub sektor perikanan melaporkan kehilangan pekerjaan manakala di pertanian dan perladangan sebanyak 21.1 peratus manakala di sub sektor perkhidmatan makanan dan minuman pula merangkumi 35.4 peratus diikuti sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dengan 18.7 peratus.

Beliau berkata, dapatan daripada kajian ini diharap dapat membantu kerajaan dan penduduk Malaysia dalam menangani kesan COVID-19 terhadap ekonomi dan pekerjaan di mana analisa yang dikongsikan adalah berdasarkan kepada responden yang menyertainya dan tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ia harus ditafsir secara berhati-hati bagi menilai kesan COVID-19 di Malaysia dan ia bukanlah statistik rasmi. Namun, ia boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran mengenai situasi semasa.

“Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dijangka dapat membantu golongan yang terjejas ini sekaligus turut memacu ekonomi dan menjana pendapatan boleh guna rakyat serta dapat meningkatkan penggunaan domestik, ” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/674919/covid-19-kira-kira-78372-responden-hilang-pekerjaan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo