NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

97 pasar segar terkawal beroperasi sehingga 14 April


KUALA LUMPUR, 3 April -- Sebanyak 97 pusat Pasar Segar Terkawal (PST) akan beroperasi di seluruh negara, secara berperingkat sehingga 14 April ini, bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekap pengedaran makanan negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan, PST adalah gerai peruncitan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), seperti pasar tani yang dijenamakan semula.

Jelasnya ia melibatkan jualan barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan, daging, barangan runcit, dan barangan asas tani.

“Untuk fasa pertama pelaksanaan PST, sebanyak 37 ‘outlet’ FAMA di seluruh Malaysia telah beroperasi sejak 1 April iaitu 17 buah Pusat Operasi FAMA, 17 buah Pasar Tani Kekal dan tiga buah MyFarm Outlet,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 17 Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan yang diselia LPP turut beroperasi, membabitkan jumlah keseluruhan beroperasi sebanyak 54 buah.

“Untuk fasa kedua, sebanyak 10 pasar tani terpilih dan 16 Pasar Tani Kekal akan beroperasi. Pasar tani terpilih akan beroperasi sebanyak dua kali seminggu dari jam 8 atau 8.30 pagi hingga 11 pagi atau 12 tengah hari.

“Pasar Tani Kekal, MyFarm Outlet dan Pusat Operasi FAMA akan dibuka seawal 8 atau 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau 4 petang setiap hari,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, jarak sosial di antara gerai-gerai akan dilakukan dan pintu masuk dan keluar akan dikawal selia oleh pihak berkuasa, bagi mencegah penularan COVID-19.

“Para pengguna juga dinasihatkan untuk membuat bayaran secara dalam talian dan tanpa tunai sama ada melalui pembayaran QR Pay dan E-wallet, supaya dapat membendung penularan wabak COVID-19 melalui wang kertas,” katanya.

Jelasnya, setiap outlet pemasaran FAMA perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, antaranya pengunjung beratur dengan jarak satu meter, melepasi saringan suhu serta menggunakan cecair pembasmi kuman disediakan.

Orang ramai juga digalakkan melayari portal Agrobazaar Online (www.agrobazaar.com.my) untuk membuat pesanan awal atau WhatsApp secara pra-pesanan, dan membuat bayaran terus secara dalam talian bagi memudahkan urusan pengambilan di tempat pengambilan dan urusan pandu lalu di pusat pemasaran terpilih.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo