Muhyiddin mohon maaf jika singgung Tun M


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkongsi intipati surat yang dikirimkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan hasrat bertemu bekas perdana menteri itu.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini, Muhyiddin berkata, beliau menyatakan kesediaan bertemu Dr Mahathir pada bila-bila masa demi kepentingan negara.


“Pertama, saya doa Tun dan keluarga sihat walafiat ...yang kedua paranya, saya kata sekiranya dalam tempoh beberapa hari lalu perkara-perkara yang telahpun dilakukan menyinggung perasaan Tun, saya mohon maaf.

“Para ketiga saya mohon kalau ada masa untuk saya bertemu dengan Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir), tapi telah terima jawapan beliau kata, belum sampai masa untuk berjumpa,” katanya.

Muhyiddin turut menegaskan, kerajaan baharu yang ditubuhkan adalah sah dan berperlembagaan.

“Kami (Perikatan Nasional) membentuk kerajaan ini, dan saya mahu Tun (Dr Mahathir) menyokong kerajaan ini. Ini adalah kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Kerajaan Persekutuan yang dibentuk melalui Perikatan Nasional mewakili semua rakyat dan akan berkhidmat dengan baik.

“Kerajaan ini mewakili semua bangsa. Kami akan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dan kami akan bersikap adil kepada semua rakyat,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut berterima kasih kepada Dr Mahathir yang menyatakan kerajaan di bawah kepimpinannya akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Perdana menteri berkata, tumpuan kini adalah untuk mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional bagi memastikan rakyat terus mendapat manfaat.

“Tun kata Kabinet ini akan bertahan sehingga diadakan pilihan raya umum akan datang, terima kasih kepada Tun atas komen beliau itu.

“Rakyat berharap bahawa kerajaan ini akan berkhidmat dengan baik dan kami berjanji bahawa kami akan berkhidmat dengan baik.

“Jika anda mahu diadakan pilihan raya mengejut, saya tidak mahu itu (pilihan raya mengejut). Ini bukan masa yang sesuai... kami berada di sini untuk berkhidmat.

“Saya harap semua orang bukan hanya Tun sahaja, untuk memberikan dorongan kepada kami semua untuk melakukan yang terbaik untuk semua,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan kesemua 31 menteri yang hadir pada mesyuarat Kabinet itu mengenai komitmen kerajaan untuk memerangi dan menghapuskan rasuah.

Sebagai sebahagian daripada komitmen itu, jemaah menteri diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka, dan Muhyiddin menetapkan tempoh sebulan untuk mereka berbuat demikian.

Beliau turut menegaskan kepada menteri mengenai komitmen kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat, ambil perhatian kehendak rakyat dan sedar tentang apa yang perlu dilakukan segera.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mencari penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi rakyat,” kata Muhyiddin.

Barisan menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post