NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersedia hadapi kemelesetan besar akibat #Covid19

 Jadual pasaran saham dagangan di seluruh dunia yang menunjukkan penurunan bagi tempoh beberapa minggu lalu

KETIKA Malaysia sedang memerangi penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang mencatatkan 14 kematian setakat semalam, harga minyak global menunjukkan penurunan berterusan di bawah paras AS$30 setong.

Penurunan harga minyak di bawah paras harga itu sudah pasti amat membimbangkan ditambah arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu sejak 18 Mac lalu dijangka dilanjutkan untuk satu tempoh sehingga wabak itu dapat dikawal.

Kebimbangan terhadap masa hadapan ekonomi negara semakin ketara apabila Bernama semalam mendedahkan Bursa Malaysia dibuka rendah dengan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.64 peratus atau 60.58 mata kepada 1,242.70.

Ketika indeks pasaran saham negara itu merudum, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada AS$28.15 setong sekali gus dianggap paras terendah sejak tahun 2003. Harga itu turun hampir tiga peratus kelmarin.

Lebih mengejutkan, minyak mentah Brent susut 66.16 peratus daripada nilainya pada tahun ini. Keadaan itu sekali lagi mengundang kebimbangan sama ada kewangan negara mampu menghadapi apa yang dipanggil The Great Depression (Kemelesetan Besar) ketika ini.

Selain itu, tumpuan rakyat juga terarah kepada kemampuan negara menyempurnakan Belanjawan 2020.

Seorang wanita dilihat melintasi jalan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ketiga terhadap rakyat di negara ini. -Foto Bernama
Seorang wanita dilihat melintasi jalan ketika tinjauan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ketiga terhadap rakyat di negara ini. -Foto Bernama
Mengenai prestasi pasaran saham global, Malacca Securities melalui nota penyelidikannya menegaskan, pasaran global masih di tahap tidak menentu seiring dengan prestasi indeks global terutama Dow Jones Industrial Average dan Bursa Saham New York (NYSE).

Susulan jangkaan harga minyak global berterusan mengalami penurunan dalam tempoh beberapa bulan, ditambah implikasi negatif Covid-19 sangat besar, bagaimana pula dengan nasib pasaran saham dan ekonomi negara kita yang sangat bergantung kepada pendapatan hasil penjualan minyak mentah?

Penganalisis Ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pasaran saham Malaysia menjunam teruk sejak 11 tahun lalu apabila jatuh ke paras 1,219.72 Khamis lepas dan akan kekal di bawah 1,300 mata sehingga Isnin.

Menurutnya, satu pertiga syarikat (324 kaunter) yang tersenarai di Bursa Malaysia telah jatuh nilainya melebihi 70 peratus sejak beberapa minggu lepas.

“Selagi wabak Covid-19 belum dapat dibendung di peringkat global, pasaran saham dijangka terus merudum.

“Kemungkinan ia berlarutan untuk dua hingga tiga bulan akan datang dan bakal menyaksikan pergerakan saham yang amat tidak stabil setiap hari,” katanya.

Muflis
Ahmed Razman berkata, susulan pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung bantuan kewangan bagi menangani Covid-19 semalam, amat penting bagi pemimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turun padang untuk memastikan rakyat tidak dibebani masalah hutang dan kesukaran membeli barangan keperluan asas.

Menurutnya, jika perkara itu tidak dilakukan, ramai orang akan jatuh muflis termasuk perniagaan akan gulung tikar yang bakal mengakibatkan masalah lebih buruk kepada ekonomi dan sosial.

“Kemampuan kita memacu semula ekonomi domestik bergantung kepada kerjasama semua termasuk pihak swasta iaitu majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri. Paling penting adalah memastikan semua dana yang disalurkan terus sampai kepada pihak sepatutnya tanpa berlaku pertindihan dan ketirisan,” katanya.

Ahmed Razman turut menjangkakan kesemua pasaran saham dunia terus mengalami kejatuhan teruk malahan Dow Jones Industrial Average di AS sendiri mengalami kejatuhan terbesar sejak Oktober 1987.

Selain itu, beliau menegaskan terdapat beberapa isu ekonomi dunia selain Covid-19 yang berlaku pada masa ini sebenarnya memberi kesan kepada Malaysia seperti perang minyak antara Arab Saudi dan Rusia.

“Ramai tidak menyedari perang minyak ini sebenarnya menyebabkan harga minyak dunia jatuh dengan teruk seperti minyak mentah Brent jatuh di bawah AS$30 setong.

“Situasi ini memberi kesan kepada kita kerana Belanjawan 2020 dibuat adalah berdasarkan harga minyak AS$62 setong dan pendapatan daripada hasil petroleum menyumbang kepada 30.9 peratus pendapatan negara,” katanya.


Sementara itu, Pakar Ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berpendapat pasaran saham negara sangat dipengaruhi oleh pasaran saham NYSE, di mana kejatuhan teruk nilai saham NYSE pada Jumaat lalu ternyata memberi kesan besar kepada pasaran saham tempatan.

Menurutnya, apabila mata kejatuhan NYSE semakin hari semakin teruk, secara automatik ia memberi petunjuk kesan kegawatan ekonomi semakin hampir manakala wabak Covid-19 sekadar mempercepatkan lagi tempoh kegawatan itu.

“Kitaran kegawatan ekonomi yang dijangka bermula pada bulan hadapan atau suku kedua tahun 2020 adalah sangat serius sehingga boleh dianggap sebagai tempoh kemelesetan besar ekonomi negara.

“Kegawatan ekonomi kali ini adalah tiga kali ganda lebih teruk daripada kitaran terdahulu. Ia terkesan daripada wabak Covid-19, penurunan harga minyak yang berterusan dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan yang hampir melumpuhkan ekonomi domestik,” katanya.

Barjoyai berkata, meskipun bursa saham Malaysia masih dibuka dengan pelabur dibenarkan membuat urus niaga pelaburan dari rumah, ia masih tidak dapat menutup hakikat bahawa ekonomi negara tidak berjalan lancar.

Beliau menjelaskan, pelabur perlu mengetahui maklumat persekitaran dan keadaan ekonomi domestik sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Justeru, apabila pelabur-pelabur ini diarahkan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan bersikap pesimistik kerana mereka gelisah tidak mendapat maklumat persekitaran sebenar sebelum membuat keputusan melabur.

“Dengan sentimen pelaburan yang akan berterusan pesimistik dan negatif, saya tidak menolak kemungkinan pelabur akan hanya tertumpu kepada aktiviti dagangan membabitkan sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Barjoyai turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu tabung kemanusiaan bagi menampung masalah isi rumah yang tiada sumber pendapatan jika Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan selepas bulan Mac ini.Tabung RM30 bilion

Menurutnya, kerajaan memerlukan dana sekurang-kurangnya sehingga RM30 bilion bagi menjayakan tabung itu di mana dana itu mungkin disalurkan dalam bentuk baucar makanan.

“Saya yakin 85 peratus isi rumah yang bekerja dalam sektor swasta akan diarahkan cuti tanpa gaji kerana majikan-majikan terutama bagi industri kecil dan sederhana (IKS) tidak mampu membiayai pekerja mereka yang diarahkan cuti lebih daripada dua minggu.

“Saya yakin manfaat tabung kemanusiaan ini akan dirasai lebih tujuh juta keluarga dan secara tidak langsung membantu ekonomi domestik untuk terus bernafas dengan dana baucar makanan itu akan memberi pendapatan kepada peniaga-peniaga,” katanya.

Berdasarkan pandangan diberikan dua pakar penganalisis ekonomi terbabit, ada baiknya semua rakyat Malaysia lebih berjimat cermat dalam menguruskan kewangan isi rumah masing-masing daripada bersikap boros dengan melakukan pembelian panik ketika ini.

Tempoh kegawatan ekonomi dianggap paling serius turut dijangkakan berterusan sehingga penghujung tahun sekali gus mengundang kebimbangan nasib 14.6 juta pekerja sektor swasta yang berisiko tinggi diberhentikan kerja atau hilang punca pendapatan akibat syarikat masing-masing gulung tikar.

Sebagaimana pesanan Perdana Menteri semalam: “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” maka sudah tiba masanya seluruh rakyat bersatu dalam mendepani dua cabaran utama negara iaitu kegawatan ekonomi dan wabak Covid-19.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/75241/KHAS/Koronavirus/Bersedia-hadapi-kemelesetan-besar-akibat-Covid-19

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo