NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakatan Nasional: Apa pilihan Melayu ada?




BANGI, 15 Jamadilakhir 1441H, Ahad – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, apabila menyentuh berkenaan 'Pakatan Nasional', ramai yang mempertikaikannya dengan pelbagai hujah.

Pun begitu, persoalannya, apakah ada di sana pilihan untuk orang Melayu selain dari 'pakatan' itu, katanya.

Terdahulu, Pakatan Nasional menimbulkan spekulasi sebagai satu gabungan politik antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Spekulasi itu tercetus pada 3 Februari lalu apabila bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan mengenai perkara berkenaan.

Haji Aminuddin berkata, meskipun Pakatan Nasional bukan menjadi pilihan utama sesetengah pihak, namun banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebenarnya.

Pertama sekali, kata beliau, untuk mengharapkan agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal adalah agak sukar atau kemungkinannya terlalu tipis.

"Kedua, kita semua tahu serta sedar bahawa DAP dan konco-konconya sedang meratah segala yang ada yang merosakkan negara. Ketiga, kita dimaklumkan bahawa ada 100 undang-undang yang bakal dipinda dan semua itu akan menjejaskan keutuhan agama Islam serta kedudukan bangsa Melayu.

"Keempat, gerakan subversif seperti komunis dan LTTE semakin berani, semakin popular dan semakin diagungkan-agungkan melalui propaganda-propaganda yang berlaku. Kelima, kita semua sedar bahawa kedudukan raja-raja Melayu semakin dipertikai melalui pelbagai peristiwa yang berlaku muktahir ini," katanya dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, Haji Aminuddin menambah, kedudukan peniaga-peniaga Melayu juga semakin terhakis dengan dasar kemakmuran bersama yang diperkenalkan di mana tidak menguntungkan bangsa berkenaan.

Selain itu, Islamofobia semakin subur dalam kalangan masyarakat bukan Islam, termasuk golongan Melayu yang liberal, tegasnya.

"Sebenarnya, banyak lagi malapetaka lagi yang dijangka menimpa negara selain tujuh contoh yang saya berikan tadi. Saya faham ramai yang fobia dengan tindakan-tindakan Tun Mahathir. Ada juga yang tidak gemar dan selesa apa yang diistilahkan sebagai masuk ikut 'pintu belakang'. Bagi saya, semua itu pasti ada justifikasinya.

"Bagaimanapun, kita kena ingat bahawa kita ada lebih tiga tahun lagi untuk 'bertahan' sebelum tiba masanya PRU-15 wajib diadakan. Sepanjang tempoh 'bertahan' ini, bermacam-macam perkara DAP dan sekutunya boleh lakukan yang amat sukar untuk dibaiki balik pada masa hadapan.

"Apakah kita sanggup tunggu dan melihat sahaja segala kerosakan yang berlaku dan yang akan berlaku?," soalnya.

Malah, lebih membimbangkan, kata beliau, jika Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada 'PM-in-waiting', yang mana umum mengetahui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi memperjuangkan agenda bangsa Melayu dan Islam.

"Akhirnya, kedudukan bangsa dan agama semakin terpinggir. Bagi saya, ini perkara dharuri yang kita semua kena fikirkan secara rasional dan matang.

"Kita perlu ketepikan juga emosi dan kepentingan peribadi. Yang penting, agama Islam dan bangsa Melayu dapat dijamin dan diangkat kembali," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/02/09/pakatan-nasional-apa-pilihan-melayu-ada/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo