Ajar Sains, Matematik dalam bahasa ibunda lebih berkesan




Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yakin pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, subjek Sains dan Matematik telah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Mengimbau kegagalan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) suatu ketika dahulu, beliau berkata, pada 2003-2012, program berkenaan telah merosakkan masa depan hampir 3 juta murid di negara ini.

Program itu memberi kesan besar terutama anak-anak Melayu luar bandar dan usaha meramaikan nisbah penguasaan bidang Sains dan Matematik tidak tercapai 60:40, katanya.

"Kegagalan PPSMI 2003-2009 (-2012) telah terbukti dalam ujian antarabangsa TIMSS dan PISA, di mana prestasi murid Malaysia dalam TIMSS berada di atas purata Dunia pada 1999 dan 2003, tetapi ia telah menjunam hampir 100 mata ke bawah purata Dunia pada 2007, 2011 dan 2015. Peningkatan prestasi pada 2015 naik sedikit kerana PPSMI sudah dimansuhkan pada 2012.

"Manakala prestasi PISA pada 2009, 2012, 2015 dan 2018 masih di bawah purata Dunia walaupun Malaysia memilih murid-murid DLP BI untuk menduduki ujian PISA.

"Prestasi murid-murid PPSMI dan DLP BI dalam BI dan Sains dan Matematik tidak meningkat tetapi menjunam di bawah purata dunia," katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Mohd Azizee berkata, pihaknya bimbang langkah Tun Dr Mahathir Mohamad mengundang masalah kepada anak-anak di luar bandar dan menjadikan mereka kurang berminat kepada subjek Sains dan Matematik.

"iGuru menggesa Tun mengambil kira kegagalan PPSMI dan mencari langkah terbaik untuk memastikan murid-murid menguasai bahasa Inggeris dengan pendekatan yang lebih berkesan dan produktif.

"Menjadikan Sains dan Matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik, sebaliknya perlu menyiapkan murid-murid mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris. Ia untuk membina laluan kerjaya masa depan, selaras dengan apa yang termaktub di dalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Justeru iGuru berharap sebarang keputusan Tun tidaklah dilakukan secara terburu-buru tetapi perlu mengambil kira aspek demi masa depan anak-anak kita," katanya.

Terdahulu, Tun Mahathir dilaporkan berkata, bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Perdana Menteri berkata, penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan perlu terus digalakkan terutama dalam pembelajaran Sains dan Matematik.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/01/31/ajar-sains-matematik-dalam-bahasa-ibunda-lebih-berkesan/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post