NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warisan dan Pakatan Harapan tidak boleh diharap


Oleh : Mustaman Bin Mustain

16 Januari 2020

KIMANIS : Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ust Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PH / Warisan tidak boleh diharap untuk mentadbir negara kearah yang lebih baik.

Jelasnya, hal ini kerana sejak PH / Warisan mentadbir, hutang negara semakin meningkat, aset negara dijual, banyak kemudahan rakyat ditarik semula, malah berlaku kecamuk sesama menteri.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah di Kampung Pelalai dekat sini, semalam.

Justeru beliau menyeru pengundi Kimanis untuk memberi kemenangan kepada BN dalam PRK ini sekaligus mewakili rakyat Sabah yang menolak PH / Warisan.

“Setiap kali PRK, PAS akan menghantar jentera untuk membantu pembangkang kerana tidak mahu PH menang dan terus membuat kerosakan dalam negara,” tambahnya.

“Petugas PAS datang ke Kimanis dengan biaya sendiri, sanggup keluar duit sendiri, tiada dana dari parti, datang ke sini semata-mata mahu melihat BN menang,” ujarnya disambut sorakan orang ramai.

Tuan Ibrahim dalam pidato berkenaan turut mengingatkan rakyat Kimanis untuk sentiasa menjaga muafakat dan perpaduan sesama penduduk.

“Tidak kira kita menyokong parti mana dalam PRK ini, kesatuan perlu dijaga dan perpecahan perlu dielakkan,” jelas beliau.

“Bunga tidak akan cantik kalau hanya ada bunga, perlu juga daun, batang, duri dan sebagainya, begitulah kita dalam negara ini yang sentiasa saling memerlukan,” hujahnya lagi.

Beliau turut mewakili jentera PAS yang berkempen bersama BN memohon maaf sekiranya melakukan kesalahan kepada rakyat Kimanis sepanjang siri kempen.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo