NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Sabah sokong calon BN


PAS Sabah menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, 18 Januari ini.

Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling berkata, parti itu memutuskan memberi sokongan kepada Datuk Mohamad Alamin sekali gus memastikan kemenangan itu dimiliki oleh BN.

“Dalam mesyuarat hari ini, PAS membuat keputusan untuk membantu dan memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

“Kita akan menggerakkan semua jentera di seluruh negeri dengan bantuan dari Semenanjung,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Sembulan, hari ini.

Mohd Aminuddin berkata, ia adalah pendekatan muafakat nasional untuk membantu BN dalam pilihan raya kecil itu.

Menurutnya, parti itu juga akan memberi tumpuan di kawasan tertentu di Parlimen Kimanis untuk berkempen.

“Kami juga mendapati 70 peratus pengundi adalah majoriti Bumiputera Islam dan berharap mereka akan memberi sokongan kepada BN.

“Kita juga mempunyai ahli bukan Islam untuk berkempen di kawasan Bumiputera bukan Islam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, parti itu akan mengeluarkan kenyataan pada hari Jumaat ini berkaitan PRK Kimanis.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka melancarkan jentera parti itu esok di Dewan Membakut pada 3.30 petang.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terbatal kerana melanggar peraturan pilihan raya.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 4 Januari dan hari mengundi 18 Januari.

Anifah yang mewakili BN dalam pilihan raya umum 2018 menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo