TSIS: Terkesankah Eksport Sawit Malaysia ke India Disebalik Ketegasan Isu Kashmir?

Oleh : Muhammad Hafiz bin Mansor (Felow Kluster Hal Ehwal Antarabangsa)

Ringkasan
▪ Kerajaan India jelas mencabuli hak asasi bersuara rakyat Kashmir.
▪ Malaysia terus tegas mempertahan isu Kashmir disebalik tekanan pengurangan eksport sawit Malaysia oleh sebahagian pemain
industri.
▪ Eksport sawit dari Malaysia terus kukuh dalam tempoh Januari –
Oktober 2019.
Pendahuluan

Ucapan Perdana Menteri berkenaan isu Kashmir dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ke-74 telah menerima pelbagai reaksi balas. Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan bahawa:

...Now, despite UN resolution on Jammu and Kashmir, the country has been invaded and occupied. There may be reasons for this action but it is still wrong. The problem must be solved by peaceful means. India should work with Pakistan to resolve this problem. Ignoring the UN would lead to other forms of disregard for the UN and the Rule of Law.
Tun Dr Mahathir telah menyatakan dengan jelas bahawa hak rakyat Jammu dan Kashmir telah diceroboh Kerajaan India selain mengajak mereka bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan konflik serta tidak meminggirkan resolusi PBB dan kedaulatan undang-undang bagi rakyat Kashmir.

Malangnya disebabkan kenyataan tersebut kempen #BoycottMalaysia terus dilancarkan dalam media sosial sebagai tanda protes. Bantahan turut dihalakan terhadap industri minyak sawit negara disebabkan India merupakan pengeksport terbesar minyak sawit dari Malaysia ketika ini.

Pengguguran Status Khas Jammu dan Kashmir

Pada 5 Ogos yang lalu, Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah mengumumkan suatu dekri presiden (presidential note) untuk menamatkan status khas yang diberikan kepada wilayah Jammu dan Kashmir berdasarkan Perkara 370 Perlembagaan India. Tindakan tersebut berpandukan kepada Perkara 370(3) yang memberi kuasa melalui dekri presiden sama ada meneruskan atau menamatkan status khas Jammu dan Kashmir.

Kerajaan India turut mengumumkan penghapusan hak keistimewaan di bawah Perkara 35(A) yang memberi implikasi terhadap status permanent residents dalam soal hak pemilikan tanah dalam wilayah, yang turut menyentuh soal pekerjaan, biasiswa dan faedah sosial lain khusus kepada rakyat Kashmir. Begitu juga Kanun Keseksaan Jammu dan Kashmir (the Ranbir Penal Code Jammu and Kashmir) yang turut dibatalkan dan diselaras di bawah Kanun Keseksaan India semata-mata.
Apa yang menjadi perhatian di sini adalah hak bersuara rakyat Kashmir terus dinafikan oleh Kerajaan India. Mereka tidak pernah diberi ruang untuk dirundingkan mengenai masa depan mereka. Ini termasuklah tindakan unilateral pentadbiran New Delhi yang mengumumkan penamatan status khas terhadap Jammu dan Kashmir.

Sejak awal pembahagian India dan Pakistan, wilayah Kashmir yang ditadbir seorang Maharaja telah diberi pilihan untuk memilih sama ada kekal berkecuali atau berada di bawah pentadbiran India atau Pakistan. Pertelingkahan terus menerus berlaku mengenai status wilayah Kashmir sehingga garisan sempadan antarabangsa pada 1949 dilukis bagi membahagikan wilayah Jammu dan Kashmir di bawah pentadbiran India manakala wilayah Azad Kashmir di bawah pentadbiran Pakistan. Namun pertembungan dua gergasi neuklear terhadap wilayah berkenaan masih gagal dibendung.

Masyarakat Kashmir juga mengalami tekanan yang kuat daripada pihak ketenteraan India. Selepas pengumuman unilateral Kerajaan India tersebut, mereka telah dikenakan perintah berkurung dan segala hubungan komunikasi diputuskan. Malah, sejak sekian lama hak rakyat Kashmir terus dicabuli Kerajaan India. Kira-kira 70 ribu masyarakat awam dipercayai terbunuh sejak 1989. Begitu juga rekod kes-kes golongan wanita yang dirogol dan dibunuh oleh tentera India seperti mana yang pernah menggemparkan dunia pada 2009 yang lalu.

Pendirian Kerajaan Malaysia dalam menyuarakan hak masyarakat Kashmir tepat pada masanya, menggambarkan kegagalan New Delhi sendiri memberikan hak bersuara dan hak kehidupan yang sepatutnya ditunaikan kepada masyarakat Kashmir. Beberapa resolusi PBB sejak 1948 khususyna untuk memberikan hak menentukan pilihan sendiri (self-determination) rakyat Kashmir melalui referendum atau plebiscite masih tidak ditunaikan Kerajaan India sehingga ke hari ini.

Resolusi PBB pada 1948 menyebutkan;
The Government of India should undertake that there will be established in Jammu and Kashmir as Plebiscite Administration to hold a plebiscite as soon as possible on the question of the accession of the State to India or Pakistan.”

Tambahan lagi, resolusi tersebut juga menjelaskan bahawa referendum yang dilakukan juga mesti bersifat adil, bebas dan tidak berpihak sebagaimana yang dijelaskan, “necessary for holding a fair and impartial plebiscite including, for that purpose only, the direction and supervision of the State forces and police.

Ironinya sehingga hari ini rakyat Kashmir tidak mendapat hak menentukan masa depan mereka sendiri. Resolusi PBB pada 1951 sekali lagi menjelaskan hak referendum yang sama iaitu;

“...that the final disposition of the State of Jammu and Kashmir will be made in accordance with the will of the people expressed through the democratic method of a free and impartial plebiscite conducted under the auspices of the UN.”
Meskipun hak bersuara rakyat Kashmir ditegaskan dalam siri-siri resolusi PBB, namun Kerajaan India masih tegar untuk tidak menunaikannya. Tindakan unilateral menghentikan (ceased) status khas Jammu dan Kashmir dalam Perkara 370 baru- baru ini juga tanpa ada sebarang rundingan dengan pimpinan mahupun rakyat Kashmir.

Desakan Henti Eksport Sawit ke India

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan tidak akan menarik balik pendirian beliau dalam isu Kashmir meskipun terdapat ura-ura yang kuat bahawa Kerajaan India akan mengurangkan pengeksportan sawit dari Malaysia. Desakan penarikan balik eksport tersebut dikeluarkan Solvent Extractors’ Association of India (SEAI) yang mendesak Kerajaan India supaya mengurangkan perdagangan sawit Malaysia sebagai tanda protes terhadap pendirian Perdana Menteri dalam isu Kashmir.

Impak jika India mengambil langkah mengurangkan eksport sawit akan memberi kesan kepada inventori sawit negara, ditambah lagi dengan pemboikotan Parlimen Kesatuan Eropah terhadap industri sawit sejak Jun yang lalu, ceteris paribus. Malah, dalam masa yang masa, India turut mempunyai alternatif mengimport minyak sawit daripada Indonesia, selain mengambil pendekatan meningkatkan import barangan gantian (substitute goods) bagi minyak sayuran lain seperti minyak soya atau minyak bunga matahari.

Berdasarkan rekod perdagangan eksport sawit Malaysia, India merupakan negara pengeksport sawit tertinggi negara diikuti China dan Pakistan. Jadual di bawah menunjukkan tiga negara pengeksport tertinggi sawit negara bagi tempoh Januari – Oktober 2019.

India terus mencatatkan peningkatan eksport sawit sepanjang Januari – Oktober 2019 dengan jumlah eksport mencecah 4.13 juta metrik tan. Jumlah tersebut meningkat 107.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018. Malah, jumlah eksport India sepanjang tahun 2018 juga hanya mencecah 2.51 juta metrik tan sahaja.

Selain itu, dalam tempoh Ogos sehingga Oktober 2019, jumlah kesuluruhan eksport sawit ke India mengalami peningkatan iaitu 0.96 juta metrik tan pada Ogos, 1.16 juta metrik tan pada September manakala 1.27 juta metrik tan pada November.

Peningkatan jumlah eksport India ini didorong oleh pengurangan 4 peratus duti import minyak sawit mentah (MSM) kepada 40 peratus dan 9 peratus bagi minyak sawit ditapis (refined palm oil) kepada 45 peratus yang berkuatkuasa 1 Januari tahun ini.

China dan Pakistan merupakan negara kedua dan ketiga tertinggi pengeksport minyak sawit Malaysia dengan masing-masing mengeksport 1.89 juta metrik tan dan 0.90 juta metrik tan bagi tempoh Januari – Oktober 2019. Namun, prestasi eksport ke Pakistan mengalami penurunan kira-kira 70 ribu metrik tan berbanding tempoh yang sama pada 2018.

Jika diteliti data di atas, eskport sawit Malaysia ke India masih kukuh dan menunjukkan prestasi yang positif serta tidak menampakkan tanda-tanda New Delhi akan mengambil langkah drastik mengurangkan pengimportan minyak sawit dari Malaysia. Dalam masa yang sama, Tun Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia kekal mengambil sikap berdiplomasi disebalik ketegasan yang disuarakan beliau dalam isu Kashmir.

Tambahan lagi, pertikaian terhadap ekstradisi Dr Zakir Naik oleh India beberapa tahun kebelakangan ini juga tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan terhadap prestasi hubungan dagang yang baik di antara kedua-dua negara.

Kesimpulan
Hubungan dagang khususnya dalam industri minyak sayuran seperti sawit di antara Malaysia dan India masih kekal utuh meskipun pelbagai desakan mengurangkan kebergantungan perdagangan minyak sawit terhadap Malaysia. Hal ini timbul disebabkan pendirian tegas yang diambil Perdana Menteri untuk telah menyuarakan nasib masyarakat Kashmir ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB.

Walau bagaimanapun, Kerajaan India perlu terus didesak memberikan hak self- determination ke atas rakyat Kashmir. Ini kerana berdasarkan laporan berita, bukan sahaja hak menentukan pilihan sendiri ini tidak pernah diberikan kepada mereka, bahkan hak-hak asasi beragama yang lain juga turut dinafikan oleh pihak berkuasa. Justeru, ketegasan Malaysia dalam menyuarakan hak ini sangat dialu-alukan.




Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post