Abu komunis dan Empayar NATO

oleh: Abdul Muein Abadi

MINGGU ini istilah komunis menjadi tumpuan penganalisis politik dalam dan luar negara. Jika kita di Malaysia dikejutkan dengan cubaan pihak tertentu yang tidak sudah-sudah memuliakan komunisme dan penderhakaan Parti Komunis Malaya (PKM), pemimpin negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang berhimpun di London pula bakal membincangkan isu berkaitan Komunis China.

Kebetulan, pemimpin NATO itu berhimpun di London bagi upacara memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan NATO pada 1949 – tahun dan usia yang sama dengan Republik Rakyat China berada di bawah cengkaman Parti Komunis China.

Selepas Perang Dingin kedua berakhir dengan runtuhnya Tembok Berlin dan pembubaran Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat melalui NATO telah dilihat tiada tercabar lagi dalam mencorakkan tata kelola politik antarabangsa. Namun, ternyata pesaing dari Tembok Berlin di Barat dahulu kini beralih ke Tembok Besar di Timur.

Rejim Komunis China hari ini bukan sekadar bertindak cuba menakluki seluruh Laut China Selatan, mengetepikan kedaulatan dan hak Zon Ekonomi Eksklusif negara-negara ASEAN termasuk kita Malaysia, bahkan juga melancarkan perang demografi ke atas umat Islam Uighur di Xinjiang serta mencuri, meniru dan mengintip teknologi strategik kuasa-kuasa Barat, khususnya anggota NATO.

NATO pula hari ini berada dalam keadaan kurang bersatu padu. Jika dahulu ia dilihat sebagai proksi Empayar Amerika untuk mengepung Rusia dan China, namun dasar Presiden Donald Trump hari ini lebih menekankan komitmen domestik Amerika.

Pada masa yang sama, Trump sering mengkritik kuasa Barat lain dalam NATO seperti Perancis dan Jerman yang dituduh tidak membayar pembiayaan yang sepatutnya kepada NATO. Sedang China makin kukuh dicengkam ‘Maharaja Xi Jinping’, Empayar NATO pula semakin longgar hinggakan Presiden Perancis sibuk mengusahakan EuroArmy – angkatan ketenteraan Kesatuan Eropah yang tersendiri dan bebas daripada bayangan Washington.

Dasar luar

Bagi kita pula, hubungan strategik Malaysia pasca kemerdekaan adalah berorientasikan British. Bahkan dahulu Tunku mempertimbangkan untuk menyertai pakatan ketenteraan Barat ala-NATO di Asia Tenggara iaitu SEATO (Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara) tetapi dibantah Pemuda UMNO.


Hanya selepas British mengundurkan angkatan ketumbukan tentera mereka pada 1970-an barulah pemimpin kita mula mengusahakan perhubungan dengan China secara lebih proaktif. Berbeza dengan Tunku Abdul Rahman yang pro-Barat, Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak telah memilih untuk menjalankan dasar memulihkan hubungan Malaysia-China pada 1974.

Dasar luar kita terhadap Amerika dan China kemudiannya diimbangi di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu. Pada 1984, kita menandatangani Perjanjian Latihan dan Konsultasi Bilateral (BITAC) dengan Amerika, sementara pada waktu yang sama mengeluarkan sebuah dokumen yang bertajuk Menguruskan Hubungan Terkawal Dengan China.

Pentadbiran Tun Mahathir dahulu menaik taraf BITAC menjadi Perjanjian Pemerolehan dan Perkhidmatan Rentas (ACSA) pada 1994 yang memberi keizinan kepada kapal-kapal tentera laut serta pesawat udara milik Amerika untuk transit di Malaysia bagi mendapatkan pengisian semula bekalan dan penyelenggaraan.

Secara tersiratnya, langkah itu boleh ditafsirkan sebagai isyarat keras terhadap pengumuman Undang-undang Wilayah oleh China pada 1992 yang telah secara signifikannya menggugat wilayah maritim kita di Kepulauan Spratly.

Namun, pentadbiran Tun Mahathir hari ini diuji dengan rakan kongsi yang agak bermasalah. Tidak cukup dengan membawa pulang abu mayat Chin Peng, ada pula sambutan istimewa besar-besaran peringatan para penderhaka komunis. Sebelum ini ada yang terang-terangan memuja komunis dengan menyebarkan komik propaganda ke ribuan sekolah di seluruh Malaysia sebelum dirampas Kementerian Dalam Negeri.

Tidak kurang juga yang terang-terangan berbangga datuk dan abangnya dahulu adalah penderhaka komunis. Dahulu kita boleh dan telahpun mengalahkan komunis dalam hutan kita. Sekarang kita sedang berdepan pula kemaraan komunis di lautan kita dan dalam arena ideologi politik kita.

Maka, wajib kita renungi bersama, mampukah kita berperang sekali lagi dengan anasir komunis yang sedang cuba dibangkitkan semula daripada abu setelah susah payah perwira kita mengirim mereka ke neraka jahanam?

* Abdul Muein Abadi ialah pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post