5 lesen tubuh bank digital



BANK Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan sehingga lima lesen kepada pemohon yang layak untuk menubuhkan bank digital sama ada perbankan konvensional atau secara Islam di Malaysia.

Bank pusat itu berkata, pihaknya mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan bank digital sebagai sebahagian daripada langkah yang dilaksanakan untuk membolehkan penggunaan teknologi yang inovatif dalam sektor kewangan.

“Draf dedahan itu menggariskan rangka kerja yang dicadangkan bagi pelesenan bank digital yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan untuk menangani jurang pasaran dalam segmen kurang dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

“Penubuhan bank digital ini dijangka dapat memberikan akses yang lebih bermakna kepada pengguna kewangan untuk mendapatkan solusi kewangan bersesuaian dan termampu serta menggalakkan penggunaan produk kewangan yang lebih bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut BNM, ia menerima pakai pendekatan yang seimbang untuk membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai yang kukuh serta memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan serta menjaga kepentingan pendeposit, dengan mengambil kira bahawa bank digital sedemikian masih belum beroperasi dalam kitaran kewangan dan ekonomi sepenuhnya.

Bagi mencapai hasil yang dikehendaki, BNM berkata, ia telah menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana tidak melebihi RM2 bilion pada tiga hingga lima tahun awal operasi.

“Tempoh yang ditetapkan berfungsi sebagai ‘fasa asas’ bagi bank digital berlesen untuk menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala bagi bank, tempoh itu bertujuan memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya.

Katanya, bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), termasuk keperluan berkaitan yang terdiri daripada standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Sepanjang tempoh asas yang dinyatakan, bank digital berlesen akan tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berkaitan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

“Berhubung dana modal minimum, bank digital perlu mengekalkan dana modal minimum yang tidak terjejas oleh kerugian RM100 juta sepanjang tempoh fasa asas dan selepas tamat tempoh itu, jumlah yang ditetapkan adalah RM300 juta.

“Draf Dedahan ini akan dikeluarkan bersama-sama dengan Application Procedures for New Licences under FSA and IFSA dan Application Procedures for Acquisition of Interest in Shares and to be a Financial Holding Company untuk memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai prosedur dan kriteria yang ditetapkan dalam proses permohonan untuk menjadi pihak yang dilesenkan di bawah FSA dan IFSA,” katanya.

Sehubungan itu, bank pusat mengalu-alukan maklum balas secara bertulis terhadap draf dedahan ini, termasuk bidang yang memerlukan penjelasan lanjut atau cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan.

Maklum balas bertulis perlu disokong oleh alasan yang jelas dan disertakan bukti atau ilustrasi untuk membolehkan pihak bank membuat penilaian dan dihantar selewat-lewatnya pada 28 Februari 2020 menerusi e-mel digitalbank@bnm.gov.my.

“Bank akan menilai semua maklum balas yang diterima dan akan memuktamadkan Dokumen Dasar pada separuh pertama 2020. Permohonan untuk mendapatkan lesen akan dibuka sebaik saja Dokumen Dasar dikeluarkan,” katanya.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post