NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Tetap Kenakan Syarat Untuk Persinggahan Kapal Persiaran


KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Terengganu tetap akan mengenakan syarat dan garis panduan bagi persinggahan kapal persiaran di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menegaskan, perancangan untuk membawa kapal mewah dan segala peraturan berkaitan usaha itu masih di peringkat perbincangan.

Katanya, segala cadangan pelaksanaan untuk mengurus kehadiran pelancong tersebut akan dirujuk kepada kerajaan, pejabat Mufti Terengganu dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ada sedikit salah faham dalam laporan 'Malaymail' semalam, sebenarnya yang berlaku adalah berbeza iaitu sekiranya kapal itu datang ke sini, kita (rakyat Terengganu) tidak dibenarkan untuk naik ke kapal mereka.

“Dan kita juga tidak akan menyedia dan membenarkan sekitar 4,500 pelancong dan krew kapal itu terlibat dengan aktiviti maksiat termasuk minuman arak.

“Kita akan sediakan bot dan bas khusus untuk membawa mereka melawat tempat-tempat menarik di Terengganu ini, mereka hanya turun ke darat sekitar tujuh jam sahaja dan tidak bermalam di daratan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Piala Batik Arfa 2019 sempena Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat segala aktiviti di atas kapal mereka.

“Kita juga tak tahu apa yang ada serta berlaku di atas kapal dan semua yang mereka jalankan di sana berada di luar bidang kuasa kerajaan,” tambah beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga berkata, pada asasnya kerajaan negeri bersetuju untuk membuka ruang kepada pengendali kapal persiaran singgah di Terengganu.

“Tinggal lagi apa yang boleh, apa yang tidak boleh dan apa yang perlu dibuat, jadi saya rasa tidak ada lagi maklumat yang lengkap dan jelas,” ujar beliau semalam.

Berita yang memetik laporan Channel News Asia (CNA) itu mengatakan bahawa kerajaan Terengganu bersedia untuk melonggarkan syarat bagi membawa masuk kapal persiaran ke negeri itu.

Pelonggaran syarat itu dikatakan menyentuh isu judi dan arak yang didakwa mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo