NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK P165 Tanjung Piai: BN Dijangka Menang Selesa, Undi Cina Beralih



Pola Pengundian Dan Prediksi Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai

BN DIJANGKA MENANG SELESA, UNDI CINA BERALIH

Pendahuluan

Tinjauan akhir ILHAM Centre dalam Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional mampu memenangi dan menafikan status quo kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini dengan majoriti yang selesa.

Pilihan raya kecil kesembilan ini dilatari oleh arus populisme Melayu-Muslim dan sentimen kempen Buy Muslim First (BMF) yang kuat, namun ianya seakan terhenti apabila pembangkang Barisan Nasional meletakkan calon yang berbangsa Cina daripada MCA untuk berlawan dengan calon parti pemerintah Pakatan Harapan yang berbangsa Melayu.

Pakatan Harapan pula kelihatan bergelut untuk menambah undi Melayu di samping mengekalkan undi Cina yang diperolehi mereka dalam PRU14 terdahulu walaupun tampil dengan kelebihan sebagai parti pemerintah yang menguasai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Bagi Barisan Nasional, pilihan raya kecil amat penting bagi menentukan arah tuju Muafakat Nasional di samping berusaha bagi mendapatkan kembali keyakinan pengundi bukan Melayu.

Kajian secara tatap muka ini telah diadakan pada 9 sehingga 11 November 2019 dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Kajian lapangan ini melibatkan 394 responden yang merupakan pengundi berdaftar P165 Tanjung Piai mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti. Data dikumpul oleh penyelidik menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Faktor Johor

Menjelang PRU14 lepas, laporan prediksi kami menyatakan Johor adalah pemicu utama perubahan kerajaan buat pertama kali dalam sejarah di Putrajaya dan hasilnya Johor menyumbang sebanyak 18 kerusi Parlimen kepada PH termasuk Tanjung Piai berbanding hanya 5 kerusi Parlimen dalam PRU13.

Kejatuhan Johor yang merupakan negeri kelahiran dan negeri terkuat UMNO disumbangkan oleh faktor-faktor yang berlaku di Putrajaya dan bukan disebabkan oleh kepimpinan negeri Johor. Kajian kami menunjukkan ‘approval rating’ yang tinggi terhadap kepimpinan Khaled Nordin selaku Menteri Besar Johor ketika itu. Pencapaian, kemajuan dan trek rekod UMNO Johor berada pada tahap cemerlang. Masalahnya di sini hanya kepada imej Najib Razak yang menyebabkan BN Johor menerima hukuman.

Ini bermakna anjakan undi yang berlaku adalah disebabkan mood inginkan perubahan atas faktor kritikal tetapi tidak mengubah pegangan parti mereka. Pola pengundian sebegini amat rapuh dan tidak kekal kepada PH.

Justeru, kita dapat melihat meskipun berlaku pertukaran kerajaan negeri dan persekutuan, kepimpinan dan kegiatan sosial di peringkat akar umbi masih lagi digerakkan oleh ahli-ahli UMNO.

Demografi Tanjung Piai

Demografi lokaliti ini menunjukkan kawasan ini adalah kawasan bercampur dengan pengundi Melayu mempunyai 57 peratus dan pengundi Cina mempunyai 42 peratus manakala yang lain-lain hanya 1 peratus dengan mempunyai 27 daerah mengundi. Daripada 27 daerah mengundi tersebut, hanya 11 daerah mengundi sahaja dimenangi oleh PH dan hampir kesemuanya adalah kawasan majoriti Cina atau bercampur. BN pula memenangi 16 daerah mengundi dengan kesemuanya adalah majoriti Melayu.

Kemenangan calon PH sebelum ini dalam PRU14 adalah disumbangkan oleh berlakunya perlawanan tiga pepenjuru antara PH, BN dan PAS. Dengan membuat matematik mudah, PH sebenarnya sudah ketinggalan kira-kira 1,902 undi sebelum perlawanan bermula lagi.

Dalam erti kata yang lain, Tanjung Piai adalah kawasan kuat BN sejak ianya diwujudkan pada 2004 lagi.

Kedua, pengundi Cina yang membentuk sebanyak 42 peratus di lokaliti ini telah menyumbang kemenangan signifikan kepada Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik calon PH dalam PRU14 lepas. Segmen ini menyumbang sebanyak 74 peratus kepada PH berbanding hanya 26 peratus memilih BN.

Jumlah ini iaitu 74 peratus secara purata adalah rendah berbanding sokongan pengundi Cina di peringkat nasional iaitu 94 peratus mahupun di peringkat negeri sebanyak 89 peratus. Ini membuktikan bahawa MCA mempunyai pendukung dan akar umbi yang kuat di Tanjung Piai.

Sebarang peralihan undi PH ke BN, ataupun tidak keluar mengundi, ataupun mengundi calon-calon lain, akan memberi kesan yang besar terhadap majoriti yang diperolehi oleh pemenang.

Pengundi Melayu Tidak Berganjak, Undi PAS ke BN

Dalam PRU14, pengundi Melayu telah menyumbang undi sebanyak 60 peratus kepada BN berbanding 28 peratus kepada PH dan PAS sebanyak 11 peratus.

Pada peringkat awal apabila calon yang bertanding diumumkan BN, momentum bersama PH apabila wujud seakan elemen protes di kalangan akar umbi UMNO yang mahukan calon terdiri daripada mereka dan bukannya daripada MCA. Walau bagaimanapun masuk fasa pertengahan kempen BN telah berjaya meredakannya dengan 94 peratus responden Melayu yang mengundi BN dalam PRU14 lepas bersedia untuk mengundi Wee Jeck Seng pada hari pembuangan undi nanti.

Pengundi yang memberi undi kepada PAS pada pilihan raya lepas pula tidak kekok untuk memberi undi kepada BN semasa hari pembuangan undi dengan peratusan sebanyak 82 peratus. Jelas sekali bagi pengikut PAS, mereka akur dengan arahan parti dan kepimpinan tertinggi agar memenangkan calon BN sebagaimana dibuktikan siri pilihan raya kecil di Cameron Highlands, Port Dickson, Semenyih dan Rantau.

Ditanya mengenai adakah Muafakat Nasional mampu menumbangkan kerajaan PH dalam pilihanraya akan datang, seramai 76 peratus berkeyakinan sedemikian. Mereka juga beranggapan Kerajaan dikuasai oleh DAP (69 peratus). Tambah menarik, hanya 22 peratus yang bersetuju bahawa latar belakang calon PH Hj Karmaine Sardini sebagai imam memberi kelebihan besar buat PH.

Wee Jeck Seng Lebih Unggul daripada Karmaine Sardini

Disebalik anggapan banyak pihak bahawa pemilihan calon berbangsa Cina dari MCA sebagai calon BN akan memberi kelebihan kepada PH yang menampilkan calon Melayu, ternyata pemilihan Wee Jeck Seng adalah tepat.

Wee Jeck Seng telah berdamping dengan penduduk Tanjung Piai sejak 1990-an lagi sebagai pembantu bekas Presiden MCA Ong Ka Ting merangkap Ahli Parlimen di kawasan ini (Pontian dan Tanjung Piai). Pada 2004, Wee Jeck Seng memenangi DUN Pekan Nenas yang berada bawah Parlimen Tanjung Piai sebelum memenangi kerusi Parlimen ini pada 2008 sehingga 2018.

Sepanjang observasi kempen, kami menilai Wee Jeck Seng adalah seorang yang sangat berkeyakinan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Perwatakan beliau yang mesra menambat hati pengundi Melayu mahupun Cina. Ini dibuktikan beberapa dapatan seperti berikut.

Seramai 67 peratus responden bersetuju dengan pernyataan bahawa “calon BN mempunyai banyak jasa semasa menjadi wakil rakyat dan diterima baik oleh penduduk” manakala 18 peratus mengatakan tidak pasti dan hanya 16 peratus tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut. Responden juga mengatakan Wee Jeck Seng mempunyai kredibiliti yang paling tinggi berbanding calon lain iaitu sebanyak 75 peratus. Hj Karmaine Sardini pula hanya mendapat keyakinan pengundi sebanyak 24 peratus sahaja.

Dapatan kualitatif turut menunjukkan bahawa calon BN ini sangat cekap membantu penduduk yang ditimpa kesusahan seperti kes bantuan ribut, rumah terbakar dan lain-lain dalam jangka masa singkat dan ini menjadi buah mulut penduduk di sini.

Cuma kekurangan Wee Jeck Seng ialah parti BN yang diwakilinya adalah pembangkang, kekurangan sumber dan kelihatannya jentera UMNO tidak sepenuhnya membantu kempen beliau namun ianya langsung tidak menjejaskan kredibiliti Wee Jeck Seng.

Meskipun Hj Karmaine Sardini adalah calon yang mewakili parti pemerintah kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, mempunyai latar belakang seorang imam dan berkecimpung dalam bidang arkitektur, ternyata calon PH ini gagal ditonjolkan oleh jentera PH dan dilihat sebagai sangat ‘low profile’ dan tidak menonjol sepertimana Wee Jeck Seng.

Undi Cina Dijangka Beralih

Dalam kajian lapangan ini, kami mengesan akan berlaku peralihan undi Cina ke BN disebabkan beberapa faktor-faktor seperti kegagalan prestasi Kerajaan menunaikan manifesto (59.1 peratus), prestasi Kerajaan Persekutuan yang kurang memuaskan (59 peratus), prestasi Kerajaan Negeri yang kurang memuaskan (53 peratus) dan kos sara hidup semakin tinggi berbanding zaman BN (60 peratus).

Ditanya adakah kerjasama BN-PAS dalam Muafakat Nasional akan meminggirkan kaum minoriti kaum Cina, India dan lain-lain, hanya 40 peratus sahaja yang bersetuju, 37 peratus menyatakan tidak pasti dan 23 peratus mengatakan tidak bagi pernyataan ini.

Jentera BN dan PH Mendominasi Kempen

Pertembungan kali ini hanya tertumpu kepada BN dan PH sahaja. BERJASA, GERAKAN dan dua lagi calon bebas tiada dalam perkiraan pengundi di sini. Jentera BN dan PH lebih tersusun dan wujud di semua pusat daerah mengundi walaupun wujud kelompongan jentera lokal pada pihak PH.

Namun dari sudut struktur jentera pilihan raya, PH lebih tersusun berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini. Walau bagaimanapun, jentera PH nampaknya gagal mengambil teladan daripada siri pilihan raya sebelum ini untuk bekerja dalam satu ketumbukan yang bersepadu. Dalam pilihan raya kali ini, juga kelihatan jentera parti-parti komponen PH masih mengamalkan berkempen secara ‘silo’.

Bagi jentera kempen BERJASA, mereka hanya tertumpu di lokaliti Melayu sahaja manakala GERAKAN menumpukan kempen mereka di lokaliti Cina. Sebagai sebuah parti politik, BERJASA dan GERAKAN mempunyai kekuatan jentera mereka tersendiri walaupun kebanyakan jentera adalah terdiri daripada pihak luar.

Dari segi kempen, sesuatu yang ironi apabila BN dan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional iaitu PAS tidak memainkan isu perkauman sebaliknya PH yang dilihat cuba memainkan isu ini dalam siri kempen mereka.

Di media sosial, ternyata jentera BN menguasai dan mendominasi medium ini berbanding jentera PH mahupun calon-calon yang lain.

Kesimpulan

Menjelang hari-hari terakhir pembuangan undi, PH mengharapkan kempen ‘grand finale’ yang dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim akan memangkin sokongan undi kepada mereka manakala BN pula mengharapkan momentum sokongan yang diperolehi sepanjang kempen kekal bersama mereka.

Jika berlaku peralihan undi Cina, pastinya ianya suatu tamparan yang hebat kepada PH yang dilatari oleh elemen protes terhadap penyampaian perkhidmatan dan dasar di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan. Namun begitu, ianya bukanlah satu ‘endorsement’ terhadap Muafakat Nasional di kalangan pengundi Tanjung Piai.


Laporan ini disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Mohd Azlan Zainal (Pengarah Eksekutif), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidik) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo