NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesan Belanjawan 2020 Terhadap Kewangan Individu


oleh: Razali
On October 13, 2019

Saya senaraikan kesan Belanjawan 2020 terhadap kewangan individu mengikut kategori yang berkenaan. Ulasan ringkas saya berikan di hujung artikel.

Harga Minyak dan Tol
1. Subsidi minyak diberikan untuk mereka yang mempunyai tidak lebih 2 kereta dan 2 motosikal. Kriteria kelayakan ialah kereta penumpang dengan enjin 1,600 dan ke bawah, atau jika lebih 1,600cc, mesti berusia lebih 10 tahun. Untuk motosikal kapasitinya ialah 150 cc dan ke bawah, atau jika lebih 150cc mesti berusia lebih 7 tahun.
2. Bagi penerima BSH: RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal. Wang dimasukkan terus ke akaun.
3. Bagi yang lain, Subsidi petrol RON95 menerusi Kad95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.
4. Harga akan diapungkan selepas pelaksanaan subsidi
5. Harga minyak Sabah dan Sarawak kekal pada kadar siling RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel melainkan kerajaan negeri mahu menyertai program subsidi
6. Diskaun 18% atas kadar tol di PLUS.
7. Kerajaan ambil alih empat tol Lembah Klang: Kesas, LDP, SPRINT dan Smart Tunnel. Tol digantikan dengan caj kesesakan yang lebih murah.
8. Kadar tol diselaraskan di Jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang kepada RM7.

Bantuan Sara Hidup B40
1. Prorgam dilanjutkan kepada bujang berusia 40 tahun dan ke atas dan pendapatan kurang daripada RM2,000, yang menerima RM300
2. Individu kurang upaya berusia 18 tahun dan ke atas dapat RM300
3. Bantuan Sara Hidup B40 yang diteruskan dari tahun lepas:
– Pendapatan RM2,000 dan ke bawah – Bantuan RM1000
– Pendapatan RM2,001 hingga RM3,000 – Bantuan RM750
– Pendapatan RM3,001 hingga RM4,000 – Bantuan RM500
– Bantuan tambahan BSH RM120 untuk anak berumur bawah 18 terhad kepada 4, kecuali OKU yang tiada had umur

Cukai
1. Julat cukai baru bagi mereka yang berpendapatan RM2 juta dan ke atas, dengan kadar cukai dinaikkan kepada 30%.
2. Mulai Januari 2021, mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas dan entiti korporat akan diberikan nombor cukai.

Hartanah
1. RPGT – tahun asas untuk menilai hartanah yang dibeli lebih daripada 5 tahun lepas ialah 1 Jan 2013. Kadar RPGT dikekalkan.
2. Skim pembiayaan sewa untuk membeli (RTO) untuk pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000. Pemohon menyewa rumah sehingga 5 tahun. Selepas tahun pertama, penyewa boleh beli rumah berasaskan harga yang ditetapkan pada masa perjanjian sewa ditandatangani.

Kesihatan
1. Perlindungan MySalam diluaskan untuk meliputi 45 penyakit kritikal daripada 36 sebelum ini dan juga had umur individu dinaikkan kepada 65 berbanding 55 buat masa ini.
2. Di bawah MySalam, penghidap penyakit kritikal terima tunai RM8,000; mereka yang dirawat di hospital kerajaan juga boleh menuntut gantian upah RM50 sehari selama 14 hari.
3. Bujang 40 tahun dan lebih, dan OKU yang terima BSH juga dimasukkan secara automatik sebagai penerima Skim Takaful MySalam
4. Skim Peka B40 akan dilanjurkan kepada mereka yang berusia 40 dan ke atas berbanding 50 dan ke atas sekarang dan sehingga pendapatan maksimum RM100,000.
5. Program saringan percuma menerusi mamogram, pemvaksinan HPV dan PaP Semar di hospital dan klinik kerajaan diteruskan.

Penjawat Awam
1. Bantuan Khas Kewangan RM500 diberikan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah dan Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada pesara kerajaan
2. Menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana.
3. Faedah Ex-Gratia Kematian akan diberikan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150,000.
4. RELA akan nikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020.
5. Semua anggota bomba akan menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan.
6. Bayaran sekali RM500 akan diberikan kepada kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia.
7. Insurans kemalangan peribadi (sehingga RM100,000) untuk 2 tahun kepada pengambil pinjaman kerajaan baharu
8. Penjawat awam yang berkhidmat 15 tahun dan ke atas boleh tebus bayaran Gantian Cuti Rehat selama hingga 75.

Insentif Pekerja
1. Gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 di bandar raya utama mulai 2020.
2. Kelayakan kerja lebih masa ditingkatkan kepada mereka yang meraih pendapatan hingga RM4,000 sebulan.
3. Cuti bersalin ditambah kepada sehingga 90 hari mulai 2021.
4. Memperkenalkan program Malaysia@Work untuk bantu empat kategori (Ihsan KWSP)
a. Graduan: Graduan baharu terima insentif RM500 selain daripada gaji setiap bulan selama 2 tahun. Majikan terima RM300 bulan untuk tempoh yang sama
b. Wanita: Untuk wanita berusia 30 – 50 tahun yang kembali bekerja selepas sekurang-kurangnya setahun terima insentif RM500 daripada kerajaan selama dua tahun dan RM300 bagi majikan, selain terima pelepasan cukai sehingga tahun 2023.
c. Pekerja tempatan: Rakyat Malaysia yang menggantikan pekerja asing dalam kerja kemahiran rendah terima RM350 atau RM500 sebulan selama dua tahun. Majikan terima RM250 sebulan untuk tempoh yang sama.
d. Perantis. Elaun tambahan RM100 untuk pelajar TVET.
5. Elaun nelayan ditambah daripada RM200 kepada RM250 sebulan.
6. Guru agama KAFA terima kenaikan RM100
7. Bayaran sekali RM500 kepada imam, bilal dan penjaga masjid

Suri Rumah
1. Program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang 2 peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Digital dan Komunikasi
1. Untuk tingkatkan penggunaan e-dompet, kerajaan tawarkan rangsangan digital RM30 kepada rakyat Malaysia layak berusia 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan tahunan kurang RM100,000

Defisit Fiskal dan Hutang Negara
1. Defisit fiskal dianggarkan 3.2% pada 2020 dan dijangka dikurangkan kepada 2.8% dalam jangka pertengahan.
2. Nisbah hutang dan liabiliti kepada KDNK dijangka meningkat kepada 77.1% pada akhir Jun 2019 berbanding 75.4% daripada 2018.

Bagi saya belanjawan ini adalah positif secara keseluruhan. Agak sukar untuk mengurangkan defisit ke tahap lebih rendah atau mengurangkan hutang dalam keadaan semasa di mana hasil kerajaan berkurangan dan situasi kemelut global di mana ekonomi perlu dirangsang. Mungkin penghematan boleh dilakukan mulai 2022.

Ini bukan masanya untuk melaksanakan belanjawan austerity.

Sumber: The Edge, The Star, Berita Harian, Free Malaysia Today, Bernama

https://rencanaringgit.com/2019/10/13/kesan-belanjawan-2020-terhadap-kewangan-individu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo