NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan 2020: Siapa dapat manfaat?



KUALA LUMPUR: Berikut ialah inti pati Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ dengan bertunjangkan empat teras utama dalam usaha untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan negara kerajaan.

 Empat teras berkenaan ialah :

Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dana Ekonomi Baharu dan Era Digital Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan.

Mewujudkan Masyarakat Yang Bersatu, Inklusif dan Saksama.

Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam

Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan semula GST.



Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan perkenalkan kemudahan pembayaran tertunda bagi percepat proses pelepasan dagangan rentas desa.

Kerajaan akan bangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara sepanjang lima tahun.

Kesalinghubungan di kawasan pedalaman di Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak akan ditingkatkan untuk pasti tiada pihak terpinggir dalam era digital SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk sediakan akses jalur lebar menerusi teknologi satelit.


Kerajaan akan perkenal Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk dana geran padanan secara bidaan bagi galak lebih banyak projek perintis aplikasi digital.

Kerajaan bercadang tubuh 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri untuk mudahkan akses pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan.

Kerajaan perkenal konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) untuk tingkat keupayaan kerja masa depan dengan kemahiran digital.

Kerajaan Pakatan Harapan iktiraf potensi tinggi e-Sukan dan tingkat peruntukan sebanyak RM20 juta tahun depan.

Sebanyak RM200 juta disediakan untuk Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil Risda dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).


Kerajaan peruntuk RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada 2020 bagi tingkat pendapatan pekebun kecil sebanyak RM810 juta disediakan untuk jaga kebajikan masyarakat FELDA termasuk RM250 juta bagi program tingkat pendapatan 11,600 peneroka dan RM300 juta bagi hapus kira faedah pinjaman peneroka.

Sebanyak RM738 juta disediakan untuk laksana pelbagai program jana pendapatan lebih 3,000 pekebun kecil dan 10,000 peserta FELCRA.

Peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ditingkatkan kepada RM4.9 bilion pada 2020 untuk tingkat pendapatan pengusaha pertanian.

Elaun sara hidup nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 sebulan kepada RM250 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak RM152 juta.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk program integrasi tanaman bagi bantu petani, nelayan, dan pekebun kecil.

Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang akan beri manfaat kepada 1,200 petani.

Kerajaan tingkat peruntukan input padi sebanyak RM855 juta tahun depan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk tingkat hasil padi.

Sebanyak RM43 juta disediakan untuk pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

Kerajaan akan memperuntukkan RM11 juta menerusi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk galakkan lebih ramai pelajar ke bidang STEM.

Kerajaan teruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion untuk jayakan VMY2020.

Kerajaan akan sumbang sebanyak RM100 juta untuk pembinaan sistem kereta kabel baharu ke Bukit Bendera.

Kerajaan akan anjur Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 untuk isi program VMY2020 bagi perkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan

Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) untuk wujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada belia dan wanita.

Program #MalaysiaKerja dijangka akan wujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun.

Kerajaan akan tingkat peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA di bangunan kerajaan terutamanya di hospital dan sekolah untuk ringan bebanan ibu bapa.

Kerajaan kaji untuk tingkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Kerajaan bercadang untuk memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan

Kerajaan bercadang tingkatkan gaji minimum kepada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh PERKESO akan diperluas bagi membolehkan caruman oleh 18 kumpulan yang bekerja sendiri mulai tahun 2020.

Program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang dua daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Kerajaan akan tambah peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf sekolah daripada RM652 juta tahun lalu kepada RM735 juta tahun depan.

Kerajaan memperuntukkan RM783 juta untuk baik pulih sekolah daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah kebangsaan mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kerajaan tingkat peruntukan kepada RM5.9 bilion bagi perkasa program TVET.

KWSP akan memperluaskan skop pengeluaran untuk biayai pendidikan di peringkat sijil.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion bagi institusi pendidikan di bawah MARA dan RM2 bilion bagi biayai pinjaman untuk 50,000 pelajar.

Kerajaan tingkat peruntukan pembangunan luar bandar kepada RM10.9 bilion dalam usaha rapatkan jurang pendapatan dengan bandar.

Kira-kira RM587 juta diperuntukkan untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar dengan RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak.

Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang bakal beri manfaat kepada lebih 30,000 orang dengan majoriti penerima tinggal di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan peruntukkan RM1 bilion untuk pembangunan jalan luar bandar di seluruh Malaysia dengan tumpuan untuk bina jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak kekal jadi negeri penerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion.

Kerajaan akan tingkatkan subsidi dan bantuan sosial kepada RM24.2 bilion termasuk bantuan Kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) serta subsidi berkaitan bahan api

Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH dan perluaskan skim kepada 1.1 juta individu bujang berumur lebih 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

OKU berumur 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak terima bayaran BSH.

Individu bujang berumur 40 tahun ke atas dan OKU layak terima RM300 dan secara automatik jadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma.

Kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk menaik taraf, baiki dan selenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk urus, tadbir dan perluaskan program Food Bank ke seluruh negara.

Kerajaan naikkan elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA dengan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta.

Kerajaan cadang beri bantuan khas one-off sebanyak RM500 kepada imam, bilal (Muazzin), tok siak/noja/merbot (penjaga masjid) dan guru takmir.

Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk inisiatif Rahmatan Lil-Alamin bagi bangunkan pemahaman Maqasid Syariah.

Sebanyak RM1.6 bilion untuk bina hospital baharu, naik taraf dan besarkan hospital sedia ada.

Peruntukan RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters.

Perlindungan mySalam dipanjangkan mulai 1 Januari 2020 kepada 45 penyakit kritikal, individu yang berumur sehingga 65 tahun dan mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000.

Kerajaan bercadang sediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz babitkan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara.

Kerajaan akan memperuntukkan RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat.

Peruntukan RM179 juta untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik.

Dana Bantuan Bencana RM100 juta untuk pinjaman kepada petani terjejas dengan bencana alam dengan kadar faedah empat peratus.

Kerajaan memperuntukkan RM48 juta untuk memulihara keaslian hutan dan biodiversiti semula jadi Malaysia.

Kerajaan akan tingkat peruntukan Kementerian Pertahanan daripada RM13.9 bilion dalam tahun 2019 kepada RM15.6 bilion bagi tambah kesiapsiagaan pertahanan.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM235 juta untuk membeli tambahan 20 mesin pengimbas kargo bagi ditempatkan di semua pintu masuk pelabuhan yang strategik.

Perbelanjaan mengurus untuk membaiki dan menyelenggara aset awam sedia ada akan ditingkatkan kepada RM10.5 bilion pada 2020 berbanding hanya RM6.3 bilion pada tahun 2019.

Kerajaan akan tambah 100 orang kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2020.

Kerajaan akan menaikkan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

Faedah Ex-Gratia Kematian akan diberikan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150,000.

Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan nikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta.

Semua anggota bomba akan menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta membabitkan 14,400 anggota bomba.

Bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang membabitkan peruntukan sebanyak RM35 juta.

Bantuan Khas Kewangan RM500 diberikan kepada kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah dan Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada pesara kerajaan.

– BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo