NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teknologi digital pacu pendapatan dari rumah


Oleh Ruwaida Md Zain

SHAH ALAM: Menguasai teknologi digital penting terutama wanita yang berhasrat menguasai bidang perniagaan meskipun pada skala kecil-kecilan bermula dari rumah.

Teknologi berkenaan bukan sekadar memasarkan produk, sebaliknya diperlukan ketika hendak memulakan perniagaan termasuk pendaftaran, membuat carian maklumat, pesanan bahan mentah dan menambah rangkaian pelanggan.

Mengulas situasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif BETA Foundation, Lilyana Abdul Latif, berkata pihaknya menyediakan program membantu usahawan wanita dalam meningkatkan pengetahuan mengenai penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi.


Beliau berkata, tidak dinafikan masih ramai wanita mempunyai kepakaran dalam perniagaan namun masih belum mampu menguasai bidang teknologi dalam usaha melonjakkan hasil jualan mereka.

Katanya, yayasan itu memberi tumpuan istimewa untuk usahawan wanita kerana mahukan golongan itu selesa dengan teknologi digital.

“Jika ada program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, E-Usahawan oleh MDEC, rebutlah peluang sertai kerana ini antara usaha kerajaan membantu golongan sasar menguasai teknologi digital dalam perniagaan masing-masing.

“Adakalanya program sebegini sukar untuk dapatkan peserta sedangkan sangat bermanfaat kepada usahawan,” katanya ketika ditemui di pejabat BETA Foundation di Denai Alam, di sini, baru-baru ini.

Jamin kehidupan lebih selesa

Lilyana berkata, menerusi laman sesawang https://www.beta-foundation.org/ atau Facebook BETA Foundation, mereka boleh melihat pelbagai program yang dikemaskini dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, bukan sekadar memaparkan program yayasan itu setiap minggu, maklumat yang ada turut memaparkan program rakan kerjasama kepada BETA Foundation.

“Saya berharap, lebih ramai wanita memanfaatkan penggunaan teknologi dalam mengembangkan perniagaan sama ada untuk pasaran mahupun menghasilkan produk.

“Selain menikmati pelbagai faedah, peserta juga boleh menjana pendapatan keluarga untuk nikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.

Lilyana berkata, bagi wanita yang tiada kemahiran tetapi berminat menerokai teknologi untuk mengubah kehidupan, perkara pertama mereka perlu ada sekurang-kurangnya memiliki e-mel sendiri.

Katanya, menerusi e-mel usahawan boleh melakukan pelbagai perkara termasuk mempunyai log masuk atau mendaftar untuk menyertai program selain membuat salinan data telefon bimbit.

Tingkat jualan 30 peratus

Beliau berkata, antara aktiviti disediakan BETA Foundation adalah Program Jual Beli Online dengan syarat peserta sekurang-kurangnya mempunyai satu perniagaan kecil-kecilan walaupun berniaga biskut di rumah, mempunyai telefon bimbit serta e-mel.

“Apa yang diajar bermula daripada kemahiran asas teknologi maklumat, kiriman emel penting termasuk menggunakan aplikasi WordPress serta Facebook. Program bertujuan meningkatkan jualan perniagaan peserta sehingga 30 peratus dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Pada tempoh tiga hingga enam bulan selepas program, kami akan memantau prestasi peserta untuk melihat perkembangan perniagaan mereka.

“Jika program ini mendapat tajaan agensi kerajaan sepenuhnya, penyertaan percuma. Sekiranya tiada penaja kami mengenakan yuran pada kadar berpatutan.

“Peserta perlu bersedia membuat pelaburan memandangkan kemahiran ini penting untuk mereka dalam mengembangkan perniagaan,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo