NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMT-UniSZA: Majlis Profesor UMT tolak penggabungan


KUALA NERUS 14 Sept. - Majlis Profesor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menolak cadangan untuk menggabungkan universiti tersebut dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Majlis Profesor UMT dalam satu kenyataan hari ini menegaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira visi dan misi kedua-dua universiti yang berbeza serta tidak mempunyai banyak pertindihan daripada bidang pengkhususan untuk digabungkan selain faktor jarak fizikal antara kedua-dua universiti.

“Majlis Profesor UMT telah mendapat makluman tentang cadangan penggabungan yang tular di laman sosial yang kemudiannya disahkan oleh kenyataan rasmi Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada 11 September lalu.

“Sebagai sebuah badan yang hampir kesemua ahlinya adalah anggota senat UMT, Majlis Profesor UMT tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggabungkan UMT dan UniSZA atau sebarang cadangan yang dibuat ke arah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Majlis Profesor UMT menegaskan setiap cadangan yang hendak dilaksanakan sepatutnya berasaskan kajian menyeluruh serta mengambil pandangan kesemua pemegang taruh termasuk pelajar, kakitangan, ibu bapa, komuniti dan kerajaan negeri.

Ia bagi memastikan keputusan akhir yang dicapai itu nanti adalah adil dan saksama serta tidak meminggirkan mana-mana pihak.

“UMT mempunyai perancangan rapi untuk menjadi institusi yang tersohor dalam bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik melalui Pelan Strategik UMT 2018-2022.

Jemaah Menteri pada 4 September lalu secara prinsipnya bersetuju dengan penggabungan UMT dan UniSZA yang dilihat akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan sebelum ini dilaporkan menyambut baik cadangan kerajaan untuk menggabungkan kedua-dua institusi itu akan memberi manfaat dan membuka lebih ruang kejayaan dan mampu meningkatkan kualiti universiti dalam pelbagai aspek. - BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo