NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peranan Agong Dalam Usul Akta Profesion Guaman Syarie Perlu Diketengahkan


KENYATAAN MEDIA RASMI
PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
PERANAN AGONG DALAM USUL AKTA PROFESION GUAMAN SYARIE PERLU DIKETENGAHKAN

1. Perkasa merujuk kepada tulisan Profesor Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam Malaysiagazette.com bertajuk “Usul Akta Profesion Guaman Syarie ketepikan peranan Agong?” bertarikh 15 Julai 2019 (https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/15/usulakta-profesion-guaman-syarie-ketepikan-peranan-agong/ 1137).

2. PERKASA pada asasnya bersetuju dengan penggubalan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang dibahaskan oleh Parlimen bagi memperkasa profesion guaman syarie secara khusus dan lantas memartabatkan syiar dan perundangan Islam di Malaysia. PERKASA juga mengambil maklum salah satu matlamat RUU Profesion Guaman Syarie 2019 diperkenalkan adalah untuk memperkasa kualiti, kebajikan dan profesionalisme peguam Syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Di samping itu, PERKASA bersetuju segala masalah yang bersangkutan dengan guaman syarie telah lama wujud. Maka ia diharapkan dapat diatasi dengan kadar seberapa segera.

3. PERKASA berpendapat profesion guaman Syarie berkait rapat dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Oleh yang demikian, Yang di-Pertuan Agong dan, atau Majlis Raja-Raja perlu “dirunding” terlebih dahulu sebelum RUU ini diperkenalkan dan dibahaskan dalam Parlimen. Adalah lebih molek jika profesion guaman Syarie dan yang berkaitan dengan sistem kehakiman dan keadilan Islam mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan, atau Majlis Raja-Raja. Jika dibelakangkan kuasa dan otoriti Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, tiadalah gunanya kewujudan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan tidaklah berfungsi Majlis Raja-raja dengan sebenarnya.

4. Fungsi, kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja hendaklah dipertahankan dalam hal ehwal yang berkaitan dengan Islam. Dua institusi penting ini perlu dikekalkan kerana sudah ada ura-ura untuk membenarkan peguam bukan Islam untuk menjadi Peguam Syarie secara langsung dalam perbahasan-perbahasan sebelum ini. Perkara ini walaupun boleh dibahaskan, ia tidak menjamin ruh dan semangat sistem kehakiman dan keadilan Islam dapat ditegakkan dengan sewajarnya. Pihak pemegang taruh iaitu mereka yang berada dalam sistem kehakiman Islam, para hakim yang bijaksana, para peguam syarie dan rakyat jelata perlu diminta dan diteliti pandangan mereka, dan bukannya meminta pandangan bukan Islam atau para peguam konvensional.

5. Sepatutnya kelulusan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-raja diperlukan untuk segala urusan membuat kaedah tentang hal ehwal Peguam Syarie dalam RUU ini dan bukan setakat Menteri sahaja. Keterlibatan Menteri semata-mata boleh melibatkan soal political interest dan peranan Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-raja seperti terabai. Kita mesti menunjukkan sifat ketaatan dan kesetiaan kepada Raja dan negara dan mengangkat martabat dan kedaulatan undang-undang.

6. PERKASA mencadangkan agar Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dikekalkan dalam RUU Profesion Guaman Syarie 2019. Ini bertujuan meletakkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong sebagai syarat utama kelulusan segala perkara yang berkaitan dengan RUU Profesion Guaman Syarie 2019. Kita perlulah memberikan sepenuh perhatian kepada isu ini kerana proses perundangan Islam dalam negara ini adalah perkara yang amat besar. Jangan berlaku pada masa hadapan, ia dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak berkepentingan tertentu.

DR. AMINI AMIR ABDULLAH
NAIB PRESIDEN PERKASA MERANGKAP
PENGERUSI BIRO HAL EHWAL ISLAM (BIHALIM)
DAN AHLI DEWAN TERTINGGI (ADT)
PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
16 Julai 2019
14.15HRS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo