NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dap Sepak Undang-undang Negara Sesuka Hati?


WAN MUHAMMAD AZRI
11 Julai 2019 12:31 PM


Saya direman empat hari tiga malam dan dikenakan pertuduhan di mahkamah semata-mata kerana saya memegang bahu seorang menteri. Saya tidak merogol. Saya tidak meliwat, malah saya tidak mencabulnya.

Saya sekadar meletakkan tangan di atas bahunya sahaja. Tiada jaminan yang diberikan oleh polis untuk membebaskan saya.

Namun berbeza pula dalam kes yang melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN dari DAP di DAP Perak yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Dia telah dituduh merogol amahnya yang merupakan warga Indonesia. Wanita itu sendiri yang membuat laporan polis.


ADUN DAP terbabit kemudiannya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mengikut prosedur, tertuduh tidak boleh dijamin sebaliknya ditempatkan di pusat tahanan sementara.

Tujuannya adalah untuk memastikan keselamatan pengadu atau mangsa selain memastikan juga agar mangsa atau pengadu tidak diganggu oleh yang tertuduh bagi tujuan mempengaruhi siasatan.

Namun saya sangat terkejut dengan keputusan pihak polis yang memberikan jaminan kepada tertuduh. Tidak sampai beberapa jam selepas ditahan, ADUN DAP terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Apakah jaminan yang dapat diberikan oleh polis yang tertuduh tidak akan mengancam atau mengugut mangsa? Sejauh manakah jaminan polis bahawa tertuduh tidak akan merisikokan keselamatan wanita warga Indonesia itu? Malah sejauh manakah keyakinan polis yang ADUN DAP terbabit akan mematuhi undang-undang serta tidak akan mengganggu siasatan ke atas kes jenayahnya?

Polis seharusnya memberikan perlindungan kepada mangsa tanpa mengira status kewarganegaraannya. Keputusan dan tindakan polis memberikan jaminan untuk membebaskan ADUN DAP terbabit dari tahanan, dilihat sebagai mencabuli kedaulatan undang-undang itu sendiri dan pada masa yang sama, PDRM selaku penguatkuasa undang-undang dilihat terlalu takut kepada ancaman dan nada garang para pemimpin DAP.

Dalam kes ADUN DAP Perak yang dituduh merogol ini, pemimpin DAP yang paling lantang bersuara dan menentang penangkapan serta siasatan dijalankan ke atasnya adalah Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong merangkap Setiausaha DAP Kuala Lumpur.

Lip Eng dalam kenyataannya menyatakan polis telah melakukan kesalahan kerana menangkap dan menahan suspek. Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis yang menurutnya bertentangan dengan Prinsip Tidak Bersalah Selagi Tidak Didapati Bersalah.

Malah menurutnya, polis terlalu tergesa-gesa mengambil tindakan tahan dan siasat ADUN DAP terbabit. (Malaysiakini, 10 Julai 2019).

"Polis perlu berhenti menangkap orang secara tergesa-gesa dan apatah lagi cuma berdasarkan laporan yang dibuat semata-mata.

"Penangkapan cuma boleh dibuat selepas bukti yang pasti menunjukkan seseorang itu bersalah telah ditemukan oleh polis," kata Lim yang juga seorang peguam.

Namun bertentangan dengan kenyataannya dalam kes membabitkan ADUN DAP Perak itu, pada 25 Ogos 2018, Lip Eng telah menubuhkan perkhidmatan rundingan perundangan secara percuma di Kepong selain pada masa yang sama menubuhkan Biro Pengaduan Awam DAP Kuala Lumpur.

Alasan penubuhan pusat khidmat tersebut adalah untuk membantu mangsa dan keluarga mangsa rogol selain masalah perundangan antara penduduk dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Malahan Lip Eng turut bermegah-megah yang biro yang ditubuhkannya itu telah mendapat sambutan hangat, menyaksikan sejumlah peguam bersetuju untuk berkhidmat secara percuma.

Antara kes yang dikendalikan adalah membabitkan seorang gadis OKU berusia 25 tahun yang dirogol oleh jirannya.

Lip Eng tidak berpuas hati kerana siasatan polis mendapati, hubungan seksual tersebut adalah bersifat suka sama suka memandangkan ia bukanlah perbuatan kali pertama, bahkan berulang-ulang.

Menurut Lip Eng, ibu gadis tersebut tidak dapat membuktikan anaknya OKU memandangkan anaknya tidak memiliki kad OKU. (Star Online, 25 Ogos 2018)

‘Amaran’ yang diberikan oleh Lip Eng itu, pastinya mengingatkan kita kepada kes seorang pemimpin DAP Pahang yang memberi amaran keras kepada seorang Ketua Polis Daerah pada Mei lepas menerusi WhatsApp kerana cuba mempertahankan ahli DAP yang ditahan kerana menjual rokok serta arak seludup.

“Sesiapa yang lawan PH, akan datang dia pun tak boleh aman.”

Ironinya, walaupun terdapat bukti bertulis, malahan laporan polis juga telah dibuat oleh OCPD yang diugut itu, pemimpin DAP Pahang itu akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis selepas beberapa jam ditahan. Dia tidak direman. Malahan selepas dua bulan polis menyiasat, tiada sebarang dakwaan dibuat.

DAP sedang menggambarkan bahawa mereka bebas berbuat sekehendak hati. Polis tidak berkuasa ke atas mereka. Undang-undang negara juga mereka boleh sepak sesuka hati.

Justeru tidak mustahil dalam kes ADUN DAP Perak dituduh merogol amah Indonesia juga, kesnya juga akan diberikan status NFA. Apatah lagi melihat kepada kecenderungan Peguam Negara yang telah membebaskan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP walaupun kes rasuah dan penyelewengan kuasanya sedang dibicarakan di mahkamah, kes rogol ini juga bakal berakhir dengan nasib yang serupa.

Biarpun polis dalam kenyataan media memberikan jaminan bahawa mangsa ADUN DAP tersebut telah diletakkan di tempat selamat sehingga kertas siasatan dirujuk ke pihak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwaraya, persepsi masyarakat sekarang melihat tindakan polis menjamin dan membebaskan tertuduh yang kemudian bebas pula membuat sidang media, sebagai usaha awal membebaskannya daripada tuduhan jenayah.

Wan Muhammad Azri adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO
.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo