NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cinta Kelantan Untuk Marawi 2


Oleh : Nazman Bin Che Iberahim
Sukarelawan Amal

Yayasan Amal Malaysia dengan kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) menganjurkan satu program yang cukup bermakna buat para pelarian dan mangsa perang Marawi 2017. Persidangan Antarabangsa Marawi yang diadakan di Duyong Marina & Resort Terengganu bermula 19 hingga 21 Julai 2019 telah membuka mata ramai pihak akan kesusahan dan keperitan hidup yang dihadapi umat Islam di negeri Lanao del Sur.

Peperangan selama lima bulan bermula Mei sehingga Oktober 2017 meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada Bandar Islam Marawi, Mindanao. Sehingga kini ratusan ribu masih tinggal dalam khemah dan rumah rumah sementara setelah kediaman asal mereka hancur dibedil tentera kerajaan.

Setelah hampir dua tahun berlalu, muslim di Mindanao telah mengundi dalam kutipan suara agar Bangsamoro diberikan kuasa auntonomi pada 21 Januari 2019. Ini satu sinar baharu buat umat Islam di bandar ini untuk mencorakkan kembali kebangkitan mereka.

Tuan Guru Presiden dalam ucapannya di persidangan ini menegaskan bahawa umat Islam akan sentiasa diuji. Berlakunya pasang surut, rebah bangun, menang kalah dan maju serta mundur. Bandar Marawi adalah bandar Islam yang berada dalam Wilayah Mindanao katanya. Tuan Guru turut mengingatkan hadirian akan kegemilangan pemerintahan Islam zaman lampau yang pernah bermula dari Acheh, Champa, Tanah Melayu, Merauke sehinggalah ke Mindanao.

Namun kekuatan umat Islam rantau nusantara ini berakhir apabila tibanya kuasa Eropah seperti Portugis, Belanda, British, Perancis, Amerika Syarikat dan sebagainya. Mereka menjajah dan memecah-belahkan kuasa Islam hingga terburai. Negara rumpun Melayu berpaksikan agama tauhid ini diletakkan sempadan nasionalis sehingga semangat patriotik rakyat masing masing melebihi sempadan akidah ummah yang sebenarnya.

Filipina sendiri sekian lama terjebak dalam konflik politik dan kuasa sehingga mendera dan menekan kehidupan umat Islam Mindanao. Hal ini berlangsung puluhan tahun dan memerlukan sentuhan ajaib oleh negara negara Islam berjiran. Mujurlah selepas perang lima bulan pada 2017 yang lalu, Filipina menerima nasihat serta tekanan negara serantau agar kuasa autonomi diberikan kepada Marawi.

Autonomi adalah pilihan terbaik untuk kedua duanya sama ada kerajaan Filipina ataupun pejuang pembebasan yang sekian lama telah mengangkat senjata. Islam sendiri menganjurkan perdamaian. Perang hanyalah apabila keadaan memaksa ianya berlaku. Allah SWT menyebut di dalam Al Quran melalui Surah Al Anfal Ayat ke 61 yang berbunyi,

‎ŁˆَŲ„ِŁ† Ų¬َŁ†َŲ­ُŁˆŲ§۟ Ł„ِŁ„Ų³َّŁ„ْŁ…ِ ŁَŁ±Ų¬ْŁ†َŲ­ْ Ł„َŁ‡َŲ§ ŁˆَŲŖَŁˆَŁƒَّŁ„ْ Ų¹َŁ„َŁ‰ Ł±Ł„Ł„َّŁ‡ِ ۚ Ų„ِŁ†َّŁ‡ُŪ„ Ł‡ُŁˆَ Ł±Ł„Ų³َّŁ…ِŁŠŲ¹ُ Ł±Ł„ْŲ¹َŁ„ِŁŠŁ…ُ

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Cara damai harus diutamakan khasnya di wilayah wilayah Islam itu sendiri. Pergeseran dalaman mahupun dengan pihak luar hanyalah membuka ruang dan mengundang campur tangan asing. Mereka akan mengintai apa sahaja peluang untuk memadamkan api dan cahaya Islam di mana mana tempat yang berlaku pertembungan serta peperangan ini. Akhirnya perang itu akan menjadi perang proksi semata mata yang berlaku dalam tanah air umat Islam. Apatah lagi jika ianya adalah pendekatan senjata, yang akan menumpahkan darah sesama Islam sahaja.

Namun, apa yang menarik adalah cahaya Islam tidak akan pernah mampu dipadamkan. Ini selaras dengan janji Allah SWT dalam Surah As Saff (8) iaitu,

‎ŁŠُŲ±ِŁŠŲÆُŁˆŁ†َ Ł„ِŁŠُŲ·ْŁِŲ¦ُŁˆŲ§ Ł†ُŁˆŲ±َ Ų§Ł„Ł„َّŁ‡ِ ŲØِŲ£َŁْŁˆَŲ§Ł‡ِŁ‡ِŁ…ْ ŁˆَŲ§Ł„Ł„َّŁ‡ُ Ł…ُŲŖِŁ…ُّ Ł†ُŁˆŲ±ِŁ‡ِ ŁˆَŁ„َŁˆْ ŁƒَŲ±ِŁ‡َ Ų§Ł„ْŁƒَŲ§ŁِŲ±ُŁˆŁ†َ

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Islam diganyang, ditekan, dihina dan dibuat apa sahaja, namun kekal terbela. Bahkan sebaliknya, dunia menyaksikan pula kegagalan agama dan fahaman fahaman lain. Kehancuran ideologi komunisme sehingga menjatuhkan Soviet Union dan dalam era moden ini China dan Cuba yang merupakan pendokong tegar Marxisme telah menukar corak pentadbiran serta ekonomi mereka kepada kapitalisme dan lebih liberal.

Barat masih berdendam dan menjadikan Islam sebagai sasaran dengan serangan pemikiran yang merendahkan moral, melemahkan iman serta menyebarkan fahaman Islamofobia. Sebab itulah umat Islam harus bersatu dan mengekalkan kekuatan sendiri agar dapat menolak segala dugaan dan serangan ini. Marawi wajib dibantu atas sifatnya sabagai jiran tetangga. Fadhilat membantu saudara sesama Islam, fadhilat silaturahim dan juga fadhilat menyantuni jiran tetangga akan kita perolehi dengan membantu Marawi.

Uniknya Persidangan Antarabangsa Marawi ini apabila ia diserikan dengan kehadiran dan penglibatan langsung Dr Saffrullah M.Dipatuan, Menteri Kesihatan di BARMM (Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao) atau dalam Bahasa Melayu disebut Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao. Beliau seorang pakar perubatan yang memiliki pengalaman selama 29 tahun dalam pengkhususan perubatan keluarga sehingga menjadi pengasas dan Pengerusi Hospital SMD General Hospital di Bandar Marawi. Dr Saffrullah juga menjadi Pengerusi Bangsamoro Development Agency (BDA) selama lebih kurang 7 tahun. Ini memberikan cabaran baru kepada pakar perubatan ini dengan menguruskan perkhidmatan bagi penduduk luar bandar serta pembangunan komuniti.

Melalui ucapannya yang penuh harapan dan rayuan, masih terpamer ketegasan dan kekentalan jiwanya yang berdenyut bersama semangat perjuangan lama Bangsamoro. Marawi yang dahulunya cantik dan damai, dengan cuaca sejuk dan dingin kini telah bertukar menjadi padang jarak padang tekukur. Kediaman lebih 200,000 rakyat berketurunan Maranao ini dibina rapat rapat dan tersusun namun selepas Mei 2017, segalanya musnah.

Dr Saffrullah menyebut bahawa pihak polis dan tentera memberi amaran akan ancaman kumpulan pejuang Pro-ISIS seminggu sebelum meletusnya perang. Namun pihak kerajaan dilihat tidak melakukan apa yang sepatutnya mereka buat. Ini menimbulkan tanda tanya dan misteri dalam kalangan rakyat.

Setelah lima bulan perang meletus hingga memusnahkan Bandar Islam Marawi ini, ramai pengkaji mulai mengemukakan naratif sebenar krisis yang dilihat jelas direkayasa ini. Kenapa Marawi menjadi mangsa? Kenapa Marawi dipilih? Antara asasnya adalah nama Marawi itu sendiri sebagai satu satunya “Islamic City” di Filipina yang apabila diserang dan dimulakan perang sedemikian maka ia mampu menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Ia satu lokasi urban yang tepat untuk “tindakan terancang” ini.

Banyak bangunan dan rumah ibadat yang dibom serta dibedil seperti masjid besar Bato Mosque yang mana pihak militia berharap untuk mengganggu proses genjatan senjata dan perdamaian antara tentera kerajaan dan MILF. Banyak kajian dibentangkan termasuklah The Big Bang Triangle Theory yang mana jelas dilihat elemen Pro-ISIS secara bermatlamat mahu menarik perhatian antarabangsa dengan peperangan yang meletus ini. Walaupun mereka hanya bersenjatakan senapang dan senjata berat lainnya, namun serangan udara oleh tentera kerajaan sudah pasti meninggalkan kesan besar dan akan dilapor oleh media media antarabangsa.

Melalui teori tadi juga dapat dilihat kerajaan Filipina sendiri melalui Presiden Duterte perlu memulakan serangan besar bagi mengimplimentasikan undang undang tentera dalam kawasan Bandar Islam Marawi ini. Ia memerlukan justifikasi yang rasional.

Dan ketiganya dalam teori segitiga ini dilihat peranan terdesak Amerika Syarikat yang bersungguh sungguh mahu mencampuri urusan dalaman Filipina setelah Duterte mengumumkan negara mereka mungkin menukar “kiblat” mereka kepada China dan Rusia. Maka US harus berbuat sesuatu yang menunjukkan kehadiran mereka di rantau ini masih diperlukan.

Apapun yang disebut oleh para pengkaji, yang pasti Marawi telah musnah. Malahan untuk membina semula bandar ini, ia memerlukan masa mungkin sehingga 70 tahun ataupun beberapa generasi bagi menjayakannya. Buat masa ini tidak banyak yang boleh dibuat di tanah air umat Islam ini. Satu satunya kerja yang signifikan setelah dua tahun perang tamat adalah membersihkan sisa sisa dan puing yang tinggal akibat runtuhnya bangunan dan rumah kediaman.

Apa yang Dr Saffrullah harapkan daripada rakyat Malaysia? Buat masa ini masih wujud puluhan ribu yang masih mendiami khemah khemah sementara yang sepatutnya paling lama dihuni adalah enam bulan sahaja. Namun setelah dua tahun, nasib mereka masih seperti tidak ketahuan. Cuaca panas, hujan, sejuk dan ribut semuanya dilalui dengan penuh hiba di dalam khemah setelah lebih dua tahun perang diumumkan tamat oleh Duterte.

Masyarakat antarabangsa diminta memberikan tekanan ataupun mungkin rayuan kepada kerajaan Filipina untuk tidak lagi menangguh apa apa proses rehabilitasi dan pembangunan semula Marawi. Lebih utama lagi adalah kerajaan melalui parlimen harus meluluskan segera Marawi Compensation Bill ataupun Usul Pembayaran Pampasan Marawi yang mana dianggarkan sebanyak 91.6 billion peso diperlukan bagi membayar pampasan kepada pemilik bangunan persendirian dan rumah kediaman yang musnah dibedil askar kerajaan.

Ketiganya, Menteri Kesihatan BARMM ini meminta agar kita meyakinkan kerajaan dan masyarakat antarabangsa untuk melanjutkan bantuan langsung dan bantuan segera bagi pembinaan semula infrastruktur awam seperti hospital dan sekolah.

Dan yang paling penting adalah Dr Saffrullah mohon bantuan antarabangsa untuk menyedarkan kerajaan Filipina bahawa mereka bukanlah memerlukan bangunan tinggi, lebuhraya enam laluan, gedung gedung besar dan seumpamanya. Apa yang rakyat perlu hanyalah rumah kediaman mereka seperti asalnya, dan rakyat Islam Marawi akan bangunkan semula bandar ini sama seperti nenek moyang mereka bangunkan suatu ketika dahulu. Itu sahaja yang penting sekarang. Filipina wajib “membenarkan mereka pulang ke rumah masing masing”.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo