NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengagihan Zakat Oleh Non-Muslim; Pertimbangan Fiqh Implikasi


oleh: Ustaz Rizuan Rahmat
30 Mei 2019

Dewan Ulama PAS Negeri Selangor mengambil perhatian terhadap polemik pandangan yang membenarkan orang bukan Islam menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf. Alasan yang diberikan ialah bantuan itu adalah sah dari sudut syarak. Namun, keharusan membenarkan orang bukan Islam mengagihkan zakat kepada orang Islam perlu dilihat dari sudut implikasi hukum.

Pelaksanaan sesuatu hukum tidak sekadar melihat kepada sah dan batal semata-mata. Beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira ialah kesudahan atau implikasi sesuatu perkara. Ini dikenali sebagai Fiqh al-Maalat iaitu Fiqh Implikasi.

Menurut Imam Syatibi, dalam kitabnya al-Muwāfaqāt; “Implikasi daripada sesuatu perbuatan itu perlu diambil kira dan diukur menurut pertimbangan syarak, sama ada perbuatan itu menepati atau menyalahinya.

Sebagai contoh
1- Syarat memiliki sijil kahwin dan pengesahan bujang sebagai syarat tambahan kepada pernikahan. Biarpun sah kahwin tanpa sijil dan pengesahan, tetapi ia membawa implikasi yang besar sekiranya calon pengantin tidak memiliki keduanya.

2- Imam Besar Masjid Negara mengimamkan solat Jumaat dengan memakai seluar tracksuit dan t-shirt. Biarpun solat itu sah, tetapi ia menyalahi adat dan kebiasaan orang Malaysia. Ia membawa implikasi yang tidak baik kepada institusi imam.

3- Melantik peguam syarie dalam kalangan orang bukan Islam. Biarpun tiada halangan untuk melantik mereka kerana fungsi tetapi membenarkan mereka menjadi peguam syarie akan membawa implikasi yang besar kepada Islam dan orang Islam.

4- Membina masjid pada asalnya adalah salah satu amalan-amalan yang soleh, tetapi apabila masjid itu dibina oleh orang-orang munafik dengan tujuan untuk memecah belahkan orang-orang Islam, maka Rasulullah SAW mengarahkan agar masjid itu dibakar

Ini adalah beberapa contoh pertimbangan yang perlu difahami dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Meletakkan hukum berasaskan kepada pertimbangan Fiqh implikasi (al-maalat) dan fiqh yang lain seperti fiqh keutamaan (al-awalwiyyat), fiqh pertimbangan (al-muwazanat) merupakan hukum yang berteraskan kepada al-Siyasah al-Syariyyah. Walau bagaimanapun, Fiqh al-Maalat ini perlu digunakan secara berhemah dan orang yang berkelayakan kerana khuatir semua hukum syarak akan terbatal atas alasan implikasi.

WAKIL ORANG BUKAN ISLAM DALAM MENGAGIHKAN ZAKAT

Terdapat pandangan yang mengatakan sah kepada mana-mana orang bukan Islam yang menyampaikan bantuan zakat. Memang pengagihan itu sah, tetapi ia bagaikan menandakan tiada orang Islam yang layak untuk menyampaikan agihan berkenaan. Tidakkah di kawasan itu terdapat imam, ketua kampung atau pemimpin masyarakat dalam kalangan orang Islam yang boleh mewakili institusi zakat dalam pengagihan berkenaan.

Menurut Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2001, orang bukan Islam tidak boleh dilantik menjadi amil iaitu mengutip, mengurus dan mengagihkan zakat. Keputusan ini terpakai dalam isu mewakilkan orang bukan Islam dalam mengagihkan zakat. Biarpun mungkin tiada lantikan rasmi, tetapi mewakilkan mereka tidak bertepatan dengan al-Siyasah al-Syariyyah.

Ustaz Rizuan Rahmat ialah Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Selangor

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo