NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tengku Maimun cipta sejarah wanita pertama dilantik Ketua Hakim Negara


PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mencipta sejarah menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan setelah mendapat perkenan Seri Paduka.

Tengku Maimun menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

Lulusan Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur 60 tahun pada Julai, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk majistret, hakim mahkamah sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat, menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo