NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Lesen Motosikal Percuma Akan Diteruskan


KUALA TERENGGANU, 15 April- Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) bakal diteruskan pada tahun depan mengikut keperluan rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata LMTS yang menjadi janji manifesto PAS memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan, malah setiap peserta akan dilindungi insurans sepanjang mengikuti kursus LMTS.

"Untuk tahun hadapan, berapa orang bakal mendapat manfaat dari LMTS, kita belum dapat pastikan sebab belum tahu jumlah termasuk cadangan bajet yang bakal dibentangkan pada tahun 2020.

"Namun pihak kerajaan negeri bersedia memberi keutamaan kepada pemohon-pemohon yang gagal baru-baru ini dengan mengisi semula borang sama ada mengemas kini maklumat yang diperlukan nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2019 di Batu Buruk Driving Academy (BBDA), Batu Buruk, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan wakil Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tambah beliau, selepas peserta mendapat maklumat berjaya dalam permohonan itu, mereka boleh mendapatkan baucer daripada pejabat daerah masing-masing.




"Kemudian baucer itu dibawa ke institut memandu yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri, melibatkan 12 buah di seluruh Terengganu.

"Sehinggalah mereka lulus ujian berkomputer terlebih dahulu dan selepas mereka mendapat lesen 'L', mereka boleh pula pergi ke pejabat daerah untuk menuntut baucer yang kedua dan seterusnya perlu menjalani ujian dan latihan sehingga mereka dapat lesen penuh,"katanya lagi.

Ketika diminta mengulas keperluan untuk menambah institut memandu di negeri ini memgikut keperluan, Wan Sukairi berkata pusat latihan memandu sedia ada sudah mencukupi dan hanya akan dinilai semula sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

Untuk rekod, LMTS merupakan satu daripada 20 manifesto kerajaan PAS yang dijanjikan untuk rakyat negeri Terengganu.

Sebanyak 12 janji manifesto tersebut telah dilaksanakan dan sedang berjalan secara berperingkat hanya dalam tempoh hampir setahun pemerintahan PAS di Terengganu.

Jumlah pemohon program tersebut sehingga 1 Mac baru-baru ini seramai ialah 49,193 orang dan daripada jumlah itu, kerajaan negeri memilih hanya 25 ribu orang sahaja pemohon berdasarkan jumlah bajet 2019 yang ditetapkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu terdahulu.

Daripada jumlah tersebut, Kemaman mencatat permohonan tertinggi iaitu 8,484 permohonan, manakala Hulu Terengganu merekodkan permohonan paling rendah iaitu sebanyak 4,189 orang.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/04/lesen-motosikal-percuma-akan-diteruskan.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo