NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahniah! Semua Daerah Di Terengganu Sifar Kemiskinan

KUALA TERENGGANU, 15 April- Semua daerah di negeri ini termasuk Hulu Terengganu, Setiu dan Besut berjaya keluar daripada senarai 28 daerah yang dikategorikan sebagai daerah termiskin di negara ini.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tuan Sivarasa K Rasiah yang memberitahu semua daerah di Terengganu sifar kemiskinan.

Menurutnya, rekod terbaharu itu memberi petanda baik kepada ekonomi Terengganu hasil pelbagai inisiatif kerajaan negeri mewujudkan program dan pembangunan untuk menaik taraf pendapatan rakyat.

“Pada masa yang sama, walaupun berlainan fahaman politik dengan Kerajaan Pusat, pihak kami tetap membantu Terengganu merapatkan jurang pendapatan masyarakat luar bandar supaya berjaya keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Terengganu 2019, di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dr Azman berkata, beliau terharu mendengar penjelasan pihak kementerian yang menyataka semua daerah di Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

Katanya, kerajaan negeri sedaya upaya memberi tumpuan kepada semua golongan di negeri ini termasuk menumpukan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Setiu dan Besut supaya seimbang pembangunan dan kemajuan seperti daerah lain.

“Antaranya memberi fokus untuk merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar melalui pelbagai program yang sedang dan bakal dirancang.

“Masyarakat yang tinggal di kawasan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu tidak boleh bercita-cita untuk memiliki daerah seperti Kemaman yang maju dengan penglibatan pelbagai industri petroleum dan gas serta Kuala Terengganu yang mempunyai pusat pentadbiran kerajaan,”katanya.

Menurutnya, ini kerana tiga daerah itu memiliki kedudukan, bentuk geografi dan kepadatan penduduk yang berbeza untuk membina pelbagai kemudahan seperti lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi.

“Bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengambil cakna perihal penduduk di tiga kawasan terbabit dengan menumpukan empat bidang utama yang dianggap mampu menambah pendapatan penduduk dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Sektor pertanian, perladangan, perikanan dan penternakan antara bidang yang boleh membantu golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo