NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasaran Baharu Sawit Meluas, Satu Harapan Besar Pekebun Kecil Sawit


oleh:TUAN CHE ALIAS BIN HAMID 

1. Penerokaan pasaran baharu minyak sawit yang semakin meluas sama ada di negara Afrika, Arab Saudi mahupun Asia merupakan satu peluang bagi meningkatkan pendapatan peneroka-peneroka kecil di negara kita yang dihimpit kesukaran sejak pemboikotan minyak sawit yang semakin mengganas di Kesatuan Eropah.

2. Usaha Kerajaan menyertai satu misi ataupun mesyuarat ke negara-negara pasaran baharu bagi mempromosikan minyak sawit merupakan satu langkah yang perlu diteruskan secara berkesan. Hal ini juga merujuk Misi Ekonomi Minyak Sawit di Arab Saudi yang telah disertai oleh pihak Kerajaan bagi membincangkan hubungan perdagangan termasuk pasaran komoditi minyak sawit.

3. Saya percaya dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan dalam meningkatkan penerokaan pasaran baharu dan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara maju seperti China dapat memperkasakan lagi sama ada produk berasaskan minyak sawit mahupun minyak sawit mentah (MSM) negara kita.

4. Pada masa yang sama, Kerajaan juga perlu konsisten menghadapi diskriminasi yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah dengan berstrategi dan berkesan. Kempen “ Love My Palm Oil” perlu ditingkatkan dan diperluaskan lagi supaya lebih ramai yang membeli produk minyak sawit dan mendapat fakta yang benar mengenai sawit.

5. Saya juga menyarankan kepada Kerajaan supaya merancang pelan tindakan yang efektif dalam bertindak balas menghadapi turun naik harga pasaran minyak sawit seperti yang dicadangkan oleh bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin. Hal ini bagi mengelakkan sumber pendapatan pekebun kecil terjejas.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID ialah Ahli Parlimen Kemaman

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo