NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahukah anda? 45 kamera AWAS telah beroperasi sejak 1 Mac lalu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah beroperasi sejak 1 Mac lalu, ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Daripada jumlah itu, 29 adalah kamera peraturan had laju dan 16 kamera peraturan lampu isyarat.

“Untuk pengetahuan, daripada jumlah ini tiada pun satu pun kamera di Sabah Sarawak. Semua di Semenanjung Malaysia sahaja,” katanya sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat.

Tambahnya, ketika ini kerajaan masih belum melaksanakan sebarang pemasangan kamera baharu dengan menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya.

“Kesemua kamera AWAS yang terlibat telah dipasang di bawah kontrak terdahulu. Kos pemasangan bagi pemasangan kamera adalah ditanggung oleh kedua syarikat dan tiada dinyatakan dengan terperinci dalam kontrak sedia ada.



“Namun begitu, adalah dianggarkan kos pemasangan sebuah kamera adalah di antara RM200 ribu sehingga RM250 ribu termasuk kos kerja tanah, kos kabel elektrik, kos pembangunan infrastruktur dan kos kamera,” tambahnya lagi.

Kerajaan juga sebelum ini telah memansuhkan lebih 4 juta saman AES bernilai RM600 juta memandangkan hasil kutipan berkenaan tidak diperoleh kerajaan, sebaliknya dua syarikat swasta dilantik.

“Sistem AES terdahulu melibatkan lebih 4 juta saman yang dikeluarkan. Kita telah mansuhkan saman itu sebelum 31 Ogos 2018. Apabila kontrak dahulu tamat, maka semua saman itu kita batalkan semuanya. Maka apa-apa hasil saman yang dikutip, bukan kerajaan dapat. Namun dibayar kepada dua syarikat swasta tersebut,” katanya

Setakat ini katanya, lebih kurang 90,000 saman AWAS telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun ia berada di kadar yang rendah iaitu 10 peratus sahaja. Namun, kita galakkan pihak yang kena saman bayar saman atau anda diambil tindakan,” ujarnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo