NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPR Kaji Buat Persempadanan Semula Dalam 2 Tahun


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya sedang mengkaji sama ada persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan dalam 2 tahun ini berbanding setiap 8 tahun yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, beberapa kajian juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti kesan persempadanan semula yang dilakukan pada 2016 ke atas keputusan pilihan raya umum ke-14.

“Kita sedang melihat bagaimana persempadanan semula dibuat tahun lalu dan kita akan menganalisa kesan kepada ekonomi, perkauman serta trend pengundian ketika itu.

“Kita juga akan kaji sama ada ia dilakukan dengan adil atau tidak, sebelum menghantar usul daripada kajian itu,” katanya pada majlis pelancaran laporan reformasi pilihan raya di Parlimen, hari ini.

“Tetapi, kita kena buat dan selesaikan dalam masa 2 tahun, tak boleh lebih 2 tahun. Kalau ikutkan tak boleh buat persempadanan lagi sebab peruntukan jelas menyatakan persempadanan semula boleh dijalankan cuma sekali dalam masa 8 tahun.”

Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu diadakan tidak kurang 8 tahun dan tidak melebihi 10 tahun selepas persempadanan semula terdahulu.

Kali terakhir SPR menjalankan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Semenanjung Malaysia dan Sabah ialah September 2016.

Azhar berkata, pindaan boleh dibuat ke atas kajian persempadanan semula berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau pinda boleh, tapi kita perlu kaji sama ada Parlimen boleh memutuskan untuk membatalkan persempadanan sebelum ini. Itu persoalan yang kita nak lihat.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya pun kena pinda, malah proses pilihan raya juga perlu dilihat peraturannya semula sebab kita seboleh-bolehnya nak permudahkan proses pilihan raya.”

Sementara itu, Azhar berkata, usul menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat, manakala akta dana politik di peringkat draf dengan peruntukannya sedang dibincangkan. – FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo