NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPM 2018: Terengganu Kekal Rekod Terbaik

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Terengganu terus mengungguli dalam bidang pendidikan apabila Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 merekodkan peningkatan dengan Gred Purata Keseluruhan (GPK) negeri 4.90 mengatasi GPK kebangsaan 4.95.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, ini merupakan kejayaan yang membanggakan bagi 2018 dan tertinggi yang pernah dicapai Terengganu dalam SPM.

"Seramai 19,627 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2018 pada tahun lalu di 168 pusat peperiksaan seluruh negeri.

"Daripada jumlah itu, 276 calon memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan SPM di Terengganu," katanya pada sidang akhbar pengumuman SPM di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti beberapa subjek atau mata pelajaran yang telah menyebabkan pelajar tidak mendapat semua A+.

“Antara subjek yang kita kenal pasti ialah subjek teras seperti bahasa Melayu, matematik termasuk bahasa Inggeris. Kita akan fokus kepada subjek-subjek ini dengan melakukan post mortem selepas ini.

"Namun bagi subjek Sejarah dan Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan yang amat baik berbanding tahun lepas.Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat," katanya lagi.

Dua pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat semua A+ ialah Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Terengganu dan Nurin Batrisya Mohd Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang mendapat 11A+.

Sementara itu, Amirah Husna Abdul Kahar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus dan Nur Atiqah Syuhadah Hamdan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Tengku Lela Segara, Marang mendapat 9A+.

Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Terengganu dan SBP Integrasi Batu Rakit, Kuala Nerus pula merupakan sekolah paling cemerlang manakala calon berkeperluan khas (CBK), Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Abang Dungun yang mengalami masalah penglihatan pula adalah calon CBK cemerlang negeri, dengan mendapat 1A+, 4A, 3B+, 1B, 1C+ dan 1C.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo