NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Semenyih: 'PH perlu akur, muhasabah diri' - Syed Saddiq

IPOH: Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran keputusan pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semua pihak dalam PH perlu akur dan bermuhasabah diri di samping meneruskan kerja untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan sekarang adalah untuk PH mencari titik pertemuan bagi memastikan parti itu melangkah jauh di masa hadapan.

"Sekarang bukan masa untuk kita tuding jari. Dalam hal ini, kita semua perlu bermuhasabah, semua ada peranan untuk dimainkan, semua boleh perbaiki termasuk diri saya, termasuk Armada termasuk Pemuda Harapan.

"Lebih baik kita bermuhasabah, akur kepada kekalahan tersebut, ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional, selepas ini terus bekerja dengan lebih keras untuk memastikan rakyat tetap bersama dengan kita," kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Esports Professional Industry Conference (EPIC) di sebuah hotel di Meru, Ipoh pada Ahad.

Sementara itu, dalam postingnya di Twitter malam tadi, Syed Saddiq mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan di PRK Semenyih.

Semalam, BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih daripada PH selepas calon mereka, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan tiga lawannya.

Zakaria memperoleh 19,780 undi manakala calon PH, Muhammad Aiman Zainali mendapat 17,866; Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia memperoleh 874 undi; dan calon Bebas, Kuan Chee Heng dengan 725 undi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo