NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perlu dedah akaun, masalah sebenar MAS, kata bekas CEO

Bekas CEO MAS, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, beliau pelik bagaimana MAS yang memenangi anugerah syarikat penerbangan terbaik Asia mengalami kerugian.
KUALA LUMPUR: Veteran Malaysia Airlines (MAS) mempersoalkan apakah aset yang dimiliki oleh syarkat penerbangan itu sekiranya ia mahu dijual kepada pihak swasta.

Bekas ketua pegawai eksekutif MAS, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, perkara itu perlu dijelaskan oleh kerajaan kerana ramai yang tidak tahu apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh syarikat itu.

“Kita tidak tahu apakah aset dan liabiliti MAS. Orang (pihak swasta) nak masuk susah juga, nak beli itu, nak beli apa,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, kerajaan berkata ia terbuka kepada mana-mana cadangan bagi menyelamatkan MAS, termasuk pembeliannya oleh sektor swasta.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan mengenai MAS untuk tujuan itu.

Aziz berkata, beliau tidak faham bagaimana MAS dikatakan terus mencatatkan kerugian besar, walaupun mempunyai kadar muatan penumpang sebanyak 78%.

Beliau berkata, perkara itu tidak munasabah kerana sepanjang tempoh beliau mengetuai MAS, jika syarikat mencapai kadar muatan penumpang sebanyak 72 atau 73% maka ia sudah boleh meraih keuntungan berjuta dolar.

Aziz yang menerajui MAS dari 1981 hingga 1991 mempersoalkan bagaimana MAS boleh rugi sehingga RM800 juta.

“Ini satu perkara yang aneh. Kita nak tengok akaun MAS.

“MAS juga baru-baru ini meraih anugerah syarikat penerbangan terbaik di Asia, tetapi rugi RM800 juta, sedangkan syarikat yang tidak dapat anugerah dapat keuntungan. Perlu ada penjelasan,” katanya.

Susulan dakwaan kerugian berterusan yang mencecah angka berbilion dolar, Dr Mahathir sebelum ini berkata, kerajaan mempunyai 3 pilihan bagi mengatasi masalah itu, iaitu sama ada menutup syarikat pernerbangan itu, menjualnya atau menukar pengurusan dan mengecilkan saiznya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo