NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Acara Ponggal di sekolah cabul akidah pelajar Islam



Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 27 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Penganjuran pesta yang bertentangan dengan syarak, membabitkan pelajar Islam perlu dipertegaskan larangannya supaya tidak terus dianjurkan di sekolah-sekolah lain.

Mengulas mengenai acara memasak nasi susu atau sakkarai ponggal di sebuah sekolah baru-baru ini, Ketua Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim mengakui aktiviti berkenaan boleh dianggap sebagai pencabulan terhadap akidah mereka.

Katanya, fatwa telah lama menjelaskan larangan umat Islam menyambut pesta Ponggal.

'Apa sahaja urusan keagamaan, umat Islam mesti merujuk pihak berautoriti, jangan buat sesuka hati. Ini soal hukum," katanya.

Kelmarin, tular di media sosial gambar pelajar, termasuk pelajar beragama Islam, di sebuah sekolah di Cyberjaya, menjalani program memasak nasi susu, hingga mencetuskan kebimbangan kerana perbuatan itu adalah upacara bagi penganut Hindu berterima kasih kepada dewa.

Susulan itu, ada ibu bapa menghubungi Ismaweb.net meluahkan rasa tidak puas hati apabila pihak sekolah anaknya membenarkan penganjuran berkenaan, tanpa sebarang makluman.

Difahamkan, program berkenaan mendapat kelulusan, apabila pengetua sekolah yang juga seorang mualaf telah merujuk kepada ustaz dan ustazah di sekolah itu.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar berkata, aktiviti berkaitan hukum dan akidah sepatutnya dirujuk dengan mereka yang lebih pakar.

"Anak-anak mungkin pergi dalam keadaan jahil, tapi ustaz dan ustazah patut tahu aktiviti seumpama itu dilarang. Sekali pun tidak tahu, tanyalah mereka yang berautoriti.

"Semua pihak mesti sensitif, lebih-lebih lagi membabitkan perkara akidah. Izzah dan berbanggalah dengan Islam. Ingatlah kata-kata Saidina Umar, kita adalah satu umat yang telah dimuliakan Allah dengan Islam. Jika kamu cari selain Islam, nescaya kamu kelak akan dihinakan oleh Allah," katanya.

Ponggal adalah perayaan sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari. Ia bukan amalan budaya sebaliknya adalah berunsur keagamaan Hindu.

'Al-Afkar #39: Muslim menyertai pesta Ponggal' terbitan Mufti Wilayah Persekutuan, menjelaskan bahawa secara asasnya umat Islam adalah dilarang menghadiri dan menyertai pesta Ponggal yang disambut dalam kalangan masyarakat beragama Hindu kerana ia adalah perayaan keagamaan.

Al-Afkar turut menjelaskan bahawa orang Islam dilarang untuk terbabit dalam program memasak nasi susu kerana ia masih dalam ruang lingkup upacara keagamaan, kerana asalnya, ia adalah makanan yang dipersembahkan untuk Dewa Surya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo