NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Cameron Highlands: Linangan Air Mata PAS


Oleh: Ustazah Asmak Husin

SAYA berteleku memerhatikan pengorbanan yang dibuat oleh penyokong PAS tegar untuk mengundi Barisan Nasional. Bagi orang biasa mungkin mereka tidak merasa apa-apa apabila mengundi mana-mana calon. Yang penting siapa yang dia rasa baik, maka dia akan pangkah.

Ada sesetengahnya juga memangkah dengan sebab yang mudah seperti siapa yang paling banyak muncul dalam newsfeed Facebooknya dia pangkah, siapa yang dia rasa bendera penyokong nampak lebih banyak di luar pusat mengundi, dia akan pangkah parti tersebut dan macam-macam sebab lagi. Malah ada yang memilih untuk tidak mahu mengundi kerana bagi mereka, undi siapa pun sama sahaja.

Tetapi bagi penyokong tegar, mengundi adalah satu ibadah yang sangat besar, biarpun tidak menang tetapi sekurang-kurangnya mereka sudah menggunakan kuasa di tangan mereka untuk usaha menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Bukan semua orang boleh memahami perasaan ini, tetapi saya sebagai orang yang sudah lama terdidik dengan tarbiah ini semenjak kecil, saya sangat memahami perasaan ini. Sesetengah orang merasakan ini bahana indoktrinisasi dan melabelkan sebagai fanatik. Sebaliknya kami tidak pernah terasa dipaksa. Ianya subur hasil didikan dan pilihan kami setelah memahami setiap Talaqqi yang kami dapati dari pemimpin dan orang tua kami. Saya pasti sahabat daripada parti PAN juga memahami perasaan ini walaupun mungkin mereka menafikannya. Oleh sebab itu saya memahami mengapa mereka memilih untuk berjuang di dalam parti lain untuk menegakkan agama Allah. Namun saya sejak dahulu, apabila diajak menyertai kepimpinan Umno mahupun PAN, saya lebih yakin untuk bersama PAS dulu kini dan selamanya insyaAllah. Adakah saya fanatik? PAS juga adalah sebuah parti politik aliran demokrasi yang meletakkan perjuangan Islam sebagai asas dan ijtihad saya meyakini jalan ini.

Umno di luar politik adalah sahabat tetapi mereka menjadi musuh yang lama dalam dunia politik. Pernah berta'awun, pernah bertahaluf, pernah juga bermusuh sampai ke tulang hitam. Hubungan PAS dan Umno penuh dengan perasaan manis bercampur pahit lagi membusung di dalam dada. Saya tersenyum apabila ada yang menuduh PAS sebagai lebai bisu apabila berdepan isu 1MDB dan lain-lain. Mereka ini hilang ingatan ataupun pura-pura tidak cerdik? Hal ini kerana kawasan yang banyak dimenangi PAS dalam PRU14 ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah masih lagi mengekalkan pertembungan musuh tradisi PAS dan Umno walaupun pada awalnya seakan rakan-rakan PH ingin menggugat tetapi ternyata mereka tidak diterima oleh sebahagian besar rakyat di kawasan tersebut. Agak-agaknya isu apa yang PAS gunakan untuk menumbangkan lawan tradisi kami?

Ironinya, perubahan kerajaan di Persekutuan dan pendekatan barisan kepimpinan baharu yang penuh kontroversi, kurang berpengalaman, pelaksanaan tuntutan hak yang tidak seimbang, sambil lewa berjanji dan tidak pasti ingin menunaikannya atau tidak, kenyataan tergopoh gapah, isu rasisme yang diangkat secara persepsi telah menyebabkan semua rakyat Malaysia berhenti sekejap dan berfikir sejenak. Sehingga akhirnya, penyokong tegar terpaksa keluar dari kepompong dan berfikir di luar kotak yang pastinya mengundang kegelisahan yang memeritkan terutamanya bagi orang muda seperti saya yang ketika berlaku peristiwa besar perpecahan PAS 1978, saya masih dalam perut ibu. Kami tidak biasa dengan praktis ijtihad yang menyongsang horizontal walaupun semuanya demi kelangsungan Islam.

Mujurlah kami diajar wala' kepada pimpinan dan kami penuh yakin dengan konsep syura yang ada, setiap keputusan sudah melalui sistem penapisan spiritual mahupun ruhiyah.

Walaupun bagi orang lain, ia hanyalah satu undi dan ada juga bertepuk tangan kerana akhirnya PAS bekerjasama dengan Umno telah membenarkan dakwaan mereka selama ini. Biar orang Umno bergabung dengan PPBM atau PKR tetapi jangan sesekali dengan PAS. Tetapi bagi setiap penyokong tegar PAS dalam PRK kali ini, tugasan ini dilakukan dengan penuh linangan air mata kerana terpaksa berkorban perjuangan dan perasaan hanya kerana untuk maksud yang satu sahaja iaitu menegakkan kuasa Islam walaupun di hati hanya Allah yang mengetahui kocakan yang berlaku.

Wahai penyokong dan pendukung PAS, marilah kita teruskan munajat dan tarbiah kita kerana ke depan kita harus menghadapi setiap situasi dengan penuh kesabaran, bertenang, istiqamah, kreatif, ilmu dan kefahaman yang jelas dan moga-moga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah pasti akan mengilhamkan jalan keluar.

Hanya Allah yang mengetahui masa lepas, masa sedang dan masa depan. Yang pastinya hikmah Islam memimpin yang harus diutamakan dalam arus perubahan kali ini. Yang lainnya kita serahlah pada Allah. Demi Islam kami sanggup terima semua sahabat kami sama ada Umno, PAN, PKR, Bersatu mahupun yang lain asalkan Islam memimpin.

Coretan ini hanya untuk ahli PAS sahaja.

ASMAK HUSIN ialah Ahli Dewan Negara

Seusai keputusan PRK CH - HARAKAHDAILY 27/1/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo