GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui parti itu akan berdepan saingan sengit dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, kelebihan sudah tentu berpihak kepada penyandang kerusi itu, MIC memandangkan parti itu memegang kerusi Parlimen itu sekian lama.
"Kerusi ini tidak pernah dimenangi Pakatan Harapan atau DAP. Memang ini satu perlawanan sengit. Sungguhpun kelebihan kepada MIC, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencipta sejarah memenangi kerusi Cameron Highlands supaya rakyat dapat rasai hasil ekonomi dan pembangunan lestari.
"Kita tak mahu pembangunan semata-mata, kita mahu pembangunan yang lestari, khususnya di kawasan hijau seperti Cameron Highlands," katanya selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor, semalam.
Lim berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan calon yang akan bertanding pada PRK itu.
"Saya akan maklumkan kerana kita pun nak buat persiapan juga," katanya.
Pada 4 Jun lepas, calon DAP, M Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan pilihan raya berkenaan terbatal.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Disember lalu mengesahkan Sivarraajh yang merupakan naib presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK itu.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dan 3 calon lain.
No comments
Post a Comment