NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sungai Kandis ujian untuk UMNO


UMNO menghadapi ujian sulungnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bermula semalam selepas terkejut kalah pada PRU-14 pada Mei lalu. Ujian berlangsung selama 14 hari sehingga Sabtu 4 Ogos depan.

Markah kelulusan ujian getir ini perlu cemerlang atau A+, bukan sekadar lulus mendapat B, C, D atau E. Jika mendapat F, bermakna gagal dan perlu terus berusaha lagi untuk lulus cemerlang dalam ujian yang akan datang sehingga PRU-15 yang dijangka pada 2023.

Namun, berdasarkan keputusan PRU-14, Sungai Kandis dijangka tidak memberi markah lulus kepada UMNO dan BN. Parti itu gagal, bukan sahaja di Sungai Kandis, malah pada peringkat nasional. Di Selangor sahaja, BN hanya mampu menang empat daripada 56 kerusi yang ditandingi.

PAS yang kali ini menjadi rakan sekutu tidak rasmi kerana tidak meletakkan calon hanya meraih satu kerusi daripada 49 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang 51 daripada 56 kerusi.

BN sebenarnya sudah pun gagal dalam ujian pada Mei lepas kerana tidak mampu meraih sokongan pengundi Selangor walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh BN sepanjang lima tahun selepas PRU-13.

Kali ini, Datuk Lokman Noor Adam dipertaruhkan untuk membawa panji BN dalam ujian di Sungai Kandis yang dahulunya DUN Seri Andalas. Ujiannya amat sukar dan getir. Tidak mudah bagi beliau. Bukan sahaja kerana Lokman orang luar, tetapi pengundi di Selangor seperti tidak mahu lagi kepada BN.

Pada PRU-14 calon PKR, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiee yang mendapat 23,988 undi, menang 12,480 undi majoriti pada pertandingan empat penjuru. Calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518); PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573); dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (76)

Pada PRU-13, calon PKR, Xavier Jayakumar menang 15,633 undi majoriti pada pertandingan lima penjuru. Sebelum itu, ketika PRU-12, beliau menang 10,203 undi majoriti. Ketika PRU-11 pada 2008 kerusi itu dimenangi calon BN, Kamalam Annasamy dengan majoriti 7,694 undi.

Berdasarkan rekod berkenaan, tugas BN khususnya UMNO yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sukar merampas kerusi itu hanya berselang 67 hari selepas 9 Mei lalu.

Tempoh 67 hari tidak cukup untuk beliau membuktikan kepemimpinannya. Tidak memadai untuk beliau dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti itu meyakinkan 51,230 pengundi, penambahan 430 orang daripada 50,800 pengundi pada 9 Mei lalu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang baru dilantik minggu lepas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sendiri mengakui UMNO perlu lulus ujian ini. Tidak memadai jika hanya mampu menambah undi. Menurut Naib Presiden UMNO itu, jika gagal, parti perlu membuat kajian teliti dalam merencana program pemulihan parti sebelum menghadapi ujian seterusnya pada PRU-15.

Lokman sendiri kurang yakin BN mampu menggugat dan mengakui BN sukar untuk memenangi kerusi DUN itu kerana ia kubu kuat PKR.

"Jika BN dapat tambahan undi yang diperoleh pada PRU-14 pun sudah dikira kemenangan moral kepada BN," katanya semalam.

Justeru, jika calon BN pun tidak yakin, UMNO perlu membuat banyak ulang kaji untuk memastikan BN lulus cemerlang pada PRU-15 atau terpaksa menanggung nasib serupa pada 9 Mei lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo